Friday, October 30, 2009

Jadi pilihan anak VIP


SELEPAS lama menyimpan impian, akhirnya Naib Juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), Riz tersenyum puas album pertamanya Bermula Semula mula diedarkan.

Riz kini mengikuti jejak Stacy selaku Juara AF6 yang terlebih dulu menghasilkan album. Cerita lucu di sebalik kemunculan album itu ialah apabila ada desas desus mendakwa kononnya penerbitan album Bermula Semula ditaja oleh pihak tertentu, terutama daripada kalangan anak VIP dan beberapa wanita bergelar Datin.

Ketika ditemui di pelancaran albumnya di ibu negara baru-baru ini, jejaka berusia 23 tahun ini hanya ketawa apabila diajukan pertanyaan itu.


“Kalau ditaja agaknya sudah lama sudah muncul dengan album. Gosip dan cerita yang timbul itu tidak benar dan saya harus tekankan album ini terhasil dengan duit sendiri. Tajaannya cuma dari Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB). Selepas Maestro ditutup, AESB saja yang sudi menyumbangkan tiga lagu dalam album ini iaitu Hanya Sandiwara, Kehilangan dan Kau Wanita.

“Sejak keluar dari AF6 lagi, saya bersyukur kerana ada peminat yang masih sudi menyokong termasuklah kelompok wanita yang dimaksudkan. Mereka hanya menghargai bakat saya dan tidak lebih daripada itu. Saya yakin sokongan itu memberi erti kerana merekalah yang akan membeli album saya,” katanya sambil memberitahu album Bermula Semula ini diterbitkan syarikat miliknya Riz Entertainment dengan kerjasama Wake The Baby dan diedarkan Warner Music.

Menurut Riz, album yang terhasil ini memberikan simbolik di atas kegigihannya dalam bidang yang diceburi itu. Biarpun sudah lama mencuba nasib, namun hanya pada tahun ini saja impiannya jadi kenyataan. Sambil merahsiakan kos pembikinan album ini, Riz menjelaskan ia sebagai langkah percubaan pertamanya mengisi liga seni tempatan.

Lagu Bermula Semula ciptaan Ajai dan liriknya oleh Abie yang dipilih sebagai judul album sulungnya ini juga menggambarkan titik permulaan untuk terus membuktikan keupayaan bakatnya boleh dikongsi bersama mereka yang menghargai muzik.

“Lagu ini memberi makna tersendiri dalam hidup saya kerana kebetulan ia ada kena mengena dengan kehidupan ibu bapa saya. Lagu ini saya ditujukan khas kepada mereka. Ibu bapa saya pernah bercerai sebelum saya menyertai AF6 lagi,” katanya yang masih setia disokong kelab peminatnya, Riz Fan Club sekitar hampir 2,000 ahli.

Biarpun album ini tidak dapat dipenuhi 100 peratus, Riz yakin dan positif album ini memberi kelainan.

“Saya harus yakin terhadap album ini biarpun kebanyakan penyanyi kita memilih untuk muncul dengan lagu single saja.

“Kalau saya tak yakin, saya tak buat album ini. Untuk maju dalam bidang ini saya tidak boleh berpeluk tubuh tanpa berusaha melakukan sesuatu. Bukan senang menghasilkan album ini kalau tak ada duit. Alhamdulillah dengan simpanan duit yang ada selepas keluar AF6, saya mampu menjadikan semuanya kenyataan,” katanya yang masih kerap diundang membuat persembahan.

Menariknya juga album ini membabitkan nukilan kreatif wartawan berpengalaman seperti Abie Abdullah, Roslen Fadzil, Rosli Manah dan Saharuddin Mustapha. Album yang mula dirakamkan sejak Ramadan tahun lalu turut menggunakan khidmat vokalis kumpulan Hujan.

Ditanya kepada Ajai selaku ‘orang kuat’ Wake The Baby yang juga penerbit album, tiada istilah membodek dengan mengundang wartawan untuk terbabit sama dalam pembikinan album ini.

“Saya sudah bekerjasama dan kenal dengan wartawan sejak bersama Exist lagi. Tiada salahnya untuk saya menghargai bakat mereka,” kata Ajai yang mula memerhati bakat Riz sejak penyertaannya di Gang Starz.

Menurutnya, album Riz akan dipromosikan menggunakan pendekatan lama atau ‘old school’. Selain memberi tumpuan terhadap album fizikal, mengikuti aliran pasaran sekarang, fokus terhadap muat turun juga akan diberi perhatian.

“Cara lama yang saya maksudkan sudah pun dilakukan terhadap album Alyah iaitu dengan melawat stesen radio di seluruh negara. Begitu juga dengan pihak TV, wartawan dan peminat. Cara itu juga akan dilakukan untuk album Riz termasuk siri jelajah bagi menghebahkan kewujudan album ini,” kata Ajai.

INFO: Album Riz, Bermula Semula

  • Sepatutnya dilancarkan beberapa bulan lalu, namun disebabkan faktor kewangan ia dianjak hingga ke bulan ini.
  • Jika di dalam album Alyah, lagu Ku Pinjam Satu Bintang dinyanyikan secara duet oleh Alyah dan Riz, namun untuk album ini, Riz menyanyikan secara solo.
  • Album ini akan dijual dengan pek istimewa sebanyak 500 unit (edisi terhad). Selepas itu ia dicetak dan dijual dengan menggunakan pembungkusan biasa.
  • Lagu Bermula Semula turut menampilkan suara Alyah.


INFO: Riz
  • Nama Penuh: Mohammed Idris Mohd Zaizizi
  • Tarikh lahir: 19 Disember 1986
  • Asal: Grik, Perak
  • Pencapaian: Naib juara Akademi Fantasia musim keenam
  • Pernah menganggotai kumpulan Equal Star dan pernah menyertai pertandingan Gang Starz musim pertama
  • Idolanya, Anuar Zain dan Robbie William. Kata Riz, dia berharap dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan apa yang dikecapi Anuar sekarang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: