Friday, October 30, 2009

Normala: Bukan saya tidak mahu


GELARAN Wanita Melayu Tercantik pernah diraih memang tepat buat Datin Seri Normala Samsudin.

Dalam usia menjangkau 45 tahun, ibu kepada tiga anak ini tetap kelihatan jelita.

Bahkan, dengan solekan nipis, keayuan wajahnya terserlah jelita seperti biasa.

Ditambah lagi, bibir yang tidak lekang menguntum senyum. Hakikatnya isteri kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Seri Azmi Khalid ini seorang yang mesra.

Senang membahasakan diri Kak Mala, katanya, dia kini masih mengacarakan program Bersama Normala Samsudin (BNS) di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebanyak 26 episod.

Bagaimanapun, beliau juga tidak mungkin muncul di TV3 buat masa ini.

"Dalam soal kemunculan semula di TV3, bukan saya tidak mahu, tetapi kena tengok keadaan macam mana dulu. "Lagipun, saya ada keluarga untuk diuruskan dan tidak lagi aktif mengacara sepenuh masa. Jadi, biarlah generasi muda pula mencuba nasib.

"Bukan apa, saya melihat masanya sudah tiba untuk tugas ini (pengacaraan) digalas gadis muda yang berbakat. "Namun, bukan maksud saya juga bahawa pengacara berpengalaman yang ada sekarang perlu undur diri, tetapi seharusnya bekerjasama.

"Jika tidak, mana munculnya yang 'baru' kalau tiada orang lama. Bagi saya, sebagai orang lama dalam pengacaraan ini tiada masalah rasanya untuk kongsi pengalaman yang ada. Malah, untuk berkongsi pendapat dan nasihat pun saya OK saja," katanya.

Memandangkan kini aktiviti utamanya menemani dan menyokong karier politik suami tersayang, Normala menganggap kemunculan pengacara baru sangat penting dalam mewarnai pentas penyiaran televisyen tanah air.
"Bagi saya, setiap individu yang menggalas tanggungjawab sebagai pengacara atau personaliti TV mempunyai kelebihan masing-masing.

"Justeru, golongan yang paling layak menilai sejauh mana bakat dan kemampuan itu semestinya penonton.


"Selain itu, perbandingan antara pengacara dulu dan sekarang juga rasanya tidak wajar diperkatakan. Ini kerana setiap program ada konsep dan sasaran penontonnya. Cuma, sekarang ini bagi saya lebih mencabar kerana kehendak penonton yang pelbagai.

"Justeru, kepada muka baru yang bergelar pengacara diingatkan jangan mudah putus asa. Anggap kritikan diberi sebagai pembakar semangat untuk buat lebih baik. Ingat satu perkara, kejayaan takkan datang bergolek tanpa usaha dan kesungguhan," katanya.

Menyedari Normala cukup glamor di zaman popularnya, tidaknya bakat dimiliki itu diwarisi anaknya?

Sambil tersenyum, beliau berkata anak kedua, Ruhila Roslan, 17, dilihat menunjukkan minat sebagai pengacara dan beliau tidak menghalang.

"Apapun, minat dan cita-cita mereka (anak) tetap saya sokong. Sebagai ibu, bakat ini diwarisi Ruhila mungkin disebabkan ketika saya mengandungkannya sangat aktif di hadapan kamera. Jadi, apabila meningkat remaja bakat itu diwarisinya.

"Namun, dua lagi anak iaitu Asyraf Roslan, 21, dan Rubilla Roslan, 1, saya dapati mereka kecenderungan mereka ke arah bidang lain. Bagaimanapun, saya akan sentiasa memberi mereka semangat untuk terus maju dalam hidup kerana masa akan datang lebih mencabar.

"Sekarang, apa yang penting bagi mereka adalah ilmu pengetahuan sebelum sebarang peluang ada di depan mata "Malah, saya sentiasa berdoa mereka akan berjaya dalam hidup. Tiada apa yang lebih penting bagi seorang ibu melainkan kejayaan anaknya.

"Jadi, apa yang saya lihat pada anak-anak sekarang ini, mereka gigih belajar. Asyraf kini ada di luar negara menyambung pelajarannya. Manakala, pencapaian pelajaran Ruhila dan Rubilla juga memberangsangkan. Kini, saya sangat bersyukur," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: