Pasangan yang sepatutnya tersingkir pada minggu pertama Sehati Berdansa 3, bekas pemain hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi atau Mirna dan isterinya, Noorah Mokhsin, kini sepatutnya berasa lebih lega apabila masih diberi peluang meneruskan perjuangan.
Wajah terkejut dan gembira pasangan ini juga jelas kelihatan apabila perjuangan mereka membuat kebajikan untuk Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak terhenti pada langkah mula.
Memungut kutipan markah yang terendah iaitu sebanyak 41 peratus, Mirna akui pada awalnya dia dan isterinya berasa amat sedih tatakala diumumkan tersingkir.
Namun setelah penyingkiran itu ditarik balik, mereka merasakan peluang untuk terus kekal di pentas Sehati Berdansa tidak akan disia-siakan.
Tambah pula dia enggan memberikan persepsi bahawa ahli sukan sepertinya tidak boleh menari dengan baik.
"Jika musim lalu, pasangan ahli sukan yang tersingkir awal tetapi saya ingin mengubah tanggapan penonton dimana ahli sukan yang keras dan tak pernah menari seperti saya masih lagi boleh menari.
"Sedih rasanya bila awal-awal lagi disingkir. Kami memang mengharap sangat agar tiada penyingkiran pada minggu pertama. Pada masa yang sama, kami juga tetap akan bersiap sedia kerana program ini akan mempunyai banyak kejutan.
"Apapun, kami gembira kerana diberikan peluang kedua. Sekurang-kurangnya kami sudah mempelajari tarian hip-hop pada minggu ini dan kalau boleh biarlah kami kekal lama supaya dapat belajar lebih banyak tarian lagi.
"Saya dan isteri akan cuba yang terbaik dan terpulanglah kepada pengundi di luar sana dan juri untuk menilai," katanya.
Tambah Mirna, berdasarkan persembahannya dan Norah pada minggu pertama yang bertemakan 'malam yo' atau tarian hip-hop, tidak terlintas di fikiran mereka akan mendapat markah terendah.
"Bila menonton semula persembahan kami, rasanya tidaklah terlalu teruk dan kami sudah buat yang terbaik.
"Kalau ikutkan, saya sendiri terkejut sebab mampu melakukannya walaupun hanya berlatih selama tiga hari. Memang saya dan isteri bangga dengan pencapaian kami.
|
|
"Tetapi mungkin juga juri melihat daripada aspek-aspek tertentu," kata Mirna yang dibimbing oleh koreografer, Dayana.
Beritahu Norah pula, jika melihat pada persembahan mereka, ia kelihatan seperti Mirna yang telah membuat salah dalam tarian, walhal Mirna berusaha menyembunyikan kesilapan Norah.
"Andai kata kami disingkir, pasti saya akan rasa bersalah. Kesilapan yang berlaku bukan kerana dia, tetapi daripada saya," ujarnya.
Pada malam pertandingan itu, Isma AF7 dan suaminya, Zul berjaya mengatasi lapan pasangan lain dengan mengumpul markah sebanyak 55 peratus. Dira dan Ash mendapat markah kedua tertinggi dengan jumlah 54 peratus diikuti dengan Sein dan Nana (51 peratus), Sazzy Falak dan Nazril (48 peratus), Didie Alias dan Sham (46 peratus), Oshin dan Firdaus (45 peratus), Enot dan Zainul (45 peratus), Anita Baharom dan Ismadi (45 peratus).
Pertandingan ini diadili juri profesional iaitu Joseph Gonzales dan dua juri jemputan, Michael Xavier serta Cat Farish. Sementara 50 peratus undian pula berdasarkan pilihan penonton melalui SMS dan talian tetap.
Setiap minggu sebanyak RM1,000 yang akan disumbangkan kepada badan-badan kebajikan yang diwakili mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: