Friday, October 30, 2009

'Beri kami peluang'


Pasangan Mirna mahu penonton bersikap positif dengan penyertaan ahli sukan

JIKA melihat jumlah undian yang diterima pasangan Mirna dan Norah dalam Debaran Sehati Berdansa Ahad lalu, pastinya ia menjadi malam terakhir kepada mereka untuk beraksi di atas lantai tari program ini. Undian sebanyak 41 peratus iaitu jumlah paling rendah di antara lapan pasangan lain, dan Mirna dan Norah sepatutnya mengucapkan selamat tinggal.

Namun, keputusan produksi untuk tidak membuat sebarang penyingkiran membuatkan Mirna dan Norah menghela nafas lega kerana masih ada peluang untuk membuktikan bahawa mereka juga mampu bersaing dengan pasangan lain. Bagaimanapun, terselamat pada minggu ini tidak bermakna nasib akan terus menyebelahi mereka untuk minggu seterusnya.


Sejarah Sehati Berdansa pernah membuktikan bahawa ahli sukan yang menyertai program realiti ini, biasanya jangka hayat mereka tidak lama. Contohnya pemain bola sepak, Azman Adnan dan Shahril Arsat, diketahui tersingkir lebih awal. Azman, yang menyertai Sehati Berdansa musim pertama tersingkir pada minggu ketiga, manakala Shahril (Sehati Berdansa 2) tersingkir pada minggu kedua.

Justeru, apabila Mirna atau nama sebenarnya Mirnawan Nawawi diumumkan sebagai peserta tercorot , dakwaan yang mengatakan Sehati Berdansa lebih memihak kepada golongan artis mungkin ada kebenarannya.

“Saya rasa penonton kita masih skeptikal dengan ahli sukan yang menyertai program ini. Bagi mereka, kami (ahli sukan) tidak pandai menari dan tersingkir awal. Jika persepsi seperti itu sudah tertanam dalam jiwa mereka, bagaimana orang seperti kami boleh meneruskan perjuangan dalam program ini.

“Kadang kala saya berasakan penonton terpengaruh dengan undian yang dibuat juri dan penonton seperti yang tertera di kaca televisyen. Kami harap penonton akan memberikan peluang kepada kami untuk bertahan dalam program ini,” kata Mirnawan sambil dipersetujui isterinya.

Biarpun tersasar jauh iaitu dari sukan hoki ke lantai tari namun bagi Mirna itu bukanlah halangan untuknya menempatkan diri sebaris dengan peserta lain yang kebanyakannya datang dari bidang hiburan.

“Maklumlah, yang lain itu memang sudah biasa dengan dunia seperti ini sedangkan saya baru nak berjinak-jinak. Tapi saya tak melihat persembahan kami teruk sangat. Malah kalau hendak dibandingkan sewaktu latihan, saya paling banyak buat kesilapan. Iyalah, biasa di padang hoki, kini kena menari.

“Tapi secara keseluruhannya saya puas hati. Kami sudah membuat persembahan sebaik mungkin. Bayangkan dalam masa tiga hari kami terpaksa berlatih hingga terpaksa membuat latihan di rumah.

“Mujurlah koreografer saya amat memahami dan dia sangat bagus melatih kami yang tak ada asas dalam tarian. Apabila nama kami diumumkan sebagai peserta yang disingkirkan, saya jadi sedih dan terkilan. Sedih kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawan yang baru saja kenali dan sedih kerana masih ada pihak yang sinis dengan kemampuan ahli sukan seperti saya,” luah Mirna yang dibimbing oleh Dayana.

Tidak mahu persepsi seperti itu terus melekat, isteri Mirna berkata mereka berjanji akan cuba mengubah pandangan penonton dengan usaha dan cara mereka yang tersendiri.

“Selagi mereka terus kurang yakin selagi itulah ahli sukan seperti Mirna tidak mampu meneruskan perjuangan. Kami berjanji akan berusaha dengan lebih gigih supaya persepsi seperti itu dapat diubah dan penonton dapat menerima kami seperti peserta lain,” kata Norah.

Peserta lelaki masih lemah

BIARPUN baru minggu pertama, tetapi semua pasangan berjaya menunjukkan persembahan memberangsangkan. Lama atau sekejap mengenali lantai tari bukanlah ukuran, kerana menurut juri hasil yang ditonjolkan seolah-olah mereka adalah penari profesional.

“Secara jujur tugasan untuk mempersembahkan tarian hip hop memang susah. Apatah lagi mereka mempunyai masa tiga hari saja sebelum hari pertandingan. Pun begitu, selepas melihat hasil yang ditunjukkan, tak dinafikan mereka cukup hebat. Malah mereka lebih hebat dari peserta dua musim sebelumnya.

“Bagaimanapun, pujian seharusnya diberikan kepada peserta wanita kerana mereka beraksi lebih bagus dari peserta lelaki. Mereka lebih fokus dan mampu menggerakkan badan manakala kelemahan pihak lelaki adalah dari segi tempo. Jadi saya harap selepas ini mereka akan lebih giat menjalani latihan sekali gus memperbaiki kelemahan ini,” kata juri tetap program ini, Joseph Gonzalez.

Mengulas persembahan pasangan Mirna, juri undangan Michael Voon Xavier berkata secara peribadi persembahan Mirna bukanlah sesuatu yang mengecewakan.

“Mereka masih menunjukkan persembahan hebat terutama Norah. Sebagai ahli sukan, saya tak nampak kesukaran kerana tarian dan sukan, masih ada persamaan terutama dari segi gerak tubuh. Mungkin sikap penonton yang masih lagi membandingkan antara mereka dengan artis yang bertanding, membuatkan mereka berada di tangga paling bawah,” katanya. Selain penari profesional itu, juri undangan musim pertama adalah penyanyi, pelakon dan komposer, Cat Farish.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: