|
|
SELAMA tiga tahun beroperasi, stesen radio pertama milik Media Prima Berhad (MPB), Hot FM tidak pernah gentar untuk bersaing dengan mana-mana stesen radio di negara ini.
Kehadiran Hot FM bukan mahu berlumba-lumba untuk meletakkan diri mereka sebagai nombor satu tetapi apa yang penting bagi mereka adalah kepuasan buat pendengar setia mereka.
Biarpun kini sudah termaktub kedudukan nombor satu menjadi milik Hot FM dengan menewaskan Era FM yang memegang takhta itu lebih sedekad, namun itu bukan alasan untuk mereka berasa selesa.
Gelaran itu juga bukan bermakna mereka adalah yang terbaik kerana mereka juga sedar ada banyak ruang yang boleh diperbaiki untuk terus maju ke hadapan.
Ini diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul yang mahu terus memantapkan kedudukan mereka dengan menampilkan variasi seiring dengan kehendak pendengar mereka.
Bukan itu sahaja, kata Seelan, kehadiran Hot FM juga adalah untuk membantu membangunkan serta menaikkan imej industri hiburan tanah air.
“Kami memang bersyukur dan berterima kasih kepada pendengar yang memberi sokongan padu selama tiga tahun kami bersiaran.
“Apa yang kami lakukan sepanjang tempoh ini adalah untuk menghiburkan pendengar serta menepati cita rasa mereka menerusi program yang kami tampilkan.
“Kami bangga kerana apa yang kami tampilkan selama ini semuanya diterima dengan baik dan apa sahaja kritikan, kami terima demi memperbaiki kelemahan untuk terus memberi yang terbaik kepada pendengar,” katanya sewaktu ditemui pada majlis kesyukuran anjuran Rangkaian Radio MPB di Restoran Puteri, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Rangkaian Radio MPB iaitu Ahmad Izham Omar serta barisan penyampai radio Hot FM.
Menyambung bicara, Seelan dengan penuh jujur memberitahu, pihaknya memang cukup tertekan dengan gelaran nombor satu itu.
Malah, katanya, kejayaan itu bukanlah terletak pada satu pihak sahaja sebaliknya kepada semua pekerja di bawah rangkaian radio MPB yang berjaya meletakkan mereka di tangga teratas.
“Selain daripada muzik dan program yang kami tampilkan, saya percaya kejayaan yang kami kecapi hari ini adalah daripada kerjasama seluruh warga kerja Hot FM.
“Selain itu, kehadiran kami juga adalah untuk bersaing secara sihat dengan stesen radio yang lain dan apabila kami mendapat nombor satu, stesen radio lain datang dan ucapkan tahniah.
“Malah, semua stesen radio swasta sebenarnya menyokong antara satu sama lain dan kami turut mempunyai persatuan kami sendiri untuk membincang permasalahan yang dialami,” ujar Seelan yang pernah berkhidmat sebagai penyampai radio Era FM hampir lima tahun sebelum berhijrah ke Hot FM.
Untuk terus memperkasakan lagi kedudukan mereka sebagai radio nombor satu, jelas Seelan, pihaknya kini sedang memikirkan beberapa strategi untuk terus memartabatkan industri hiburan tempatan.
dilancarkan
Katanya, jika tiada aral melintang, program tersebut akan dilancarkan pada Disember ini dengan kerjasama stesen televisyen milik MPB.
Diasak dengan pelbagai pertanyaan agar dia memberikan sedikit maklumat tentang projek berkenaan, Seelan hanya mampu tersenyum dan mengunci rapat mulutnya.
Selain ‘projek rahsia’ itu, jelasnya, Hot FM dan stesen televisyen 8TV juga akan bekerjasama dalam menerbitkan program realiti, Twisties Bingit.
Program realiti tersebut merupakan kelangsungan daripada kejayaan program pencarian kumpulan muzik baru itu yang mendapat sambutan hangat tahun lalu.
“Kami percaya sinergi radio dan televisyen mampu menaikkan imej radio serta mengukuhkan lagi jenama dalam menarik perhatian masyarakat untuk mendengar radio,” jelasnya lagi.
Apabila sudah bergelar nombor satu, adakah ini memberi peluang buat Seelan untuk merombak barisan penyampainya dengan menampilkan pembaharuan tahun depan?
Melihat perkara berkenaan dari sudut yang positif, kata Seelan, setakat ini dia begitu gembira dengan barisan penyampai dan soal rombakan itu adalah perkara biasa.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kami menyerahkan keputusan kepada pendengar kami untuk merombak kedudukan penyampai radio kami kerana mereka yang tahu apa yang terbaik untuk mereka.
“Dalam masa yang sama, kami juga mencari bakat-bakat baru untuk diketengahkan terutama sekali bagi mengendalikan radio di hujung minggu,” ujarnya yang kini sedang melatih dua penyampai baru yang masih lagi dalam peringkat percubaan.
Bagi Faizal Ismail atau lebih mesra dengan panggilan FBI, dia juga tumpang gembira apabila Hot FM berjaya menjadi nombor satu selepas tiga tahun beroperasi.
Lebih membanggakan, segmen pagi kendaliannya bersama Fara Fauzana iaitu Hot FM Am Krew juga terus berada di takhta sebagai rancangan pagi nombor satu untuk tiga kali berturut-turut.
“Bukan mudah sebenarnya untuk mengendalikan segmen pagi kerana ia menuntut pengorbanan dan kesabaran yang tinggi.
“Selain itu, untuk mencari topik yang sesuai juga merupakan cabaran besar buat saya dan Fara kerana kami perlu memikirkan perkara yang mampu menarik perhatian pendengar.
merancang
“Ada kalanya kami sudah merancang terlebih dahulu sebelum ke udara tetapi perlu ditukar saat akhir bergantung kepada bahan berita yang terkini,” kata penyandang gelaran Penyampai Radio Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular selama dua tahun berturut-turut ini.
Harus diakui, nadi kekuatan Hot FM Am Krew juga terletak pada segmen Panggilan Hangit yang mendapat sambutan luar biasa.
Jelas Faizal, pihaknya menerima beratus-ratus kisah untuk dijadikan bahan segmen tersebut.
“Kami perlu mencari kisah yang menarik untuk dikenakan dalam Panggilan Hangit. Kalau cerita yang sama, kami tidak akan lakukan dua kali.
“Namun begitu, itu tidak bermakna semua pendengar suka segmen Panggilan Hangit itu kerana ada juga yang kurang senang dan sukar untuk menerimanya,” jelasnya lagi.
Dalam masa yang sama, Faizal turut memberitahu dia tidak pernah berasa selesa dengan kedudukannya sekarang ini.
“Saya pun sudah bersedia untuk ditukarkan ke mana-mana program dan bergandingan dengan penyampai lain,” ujarnya ringkas.
Menyentuh mengenai dakwaan Hot FM meminggirkan lagu-lagu tempatan, Pengarah Muzik Hot FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood atau lebih mesra dengan panggilan Azura berkata;
“Soal pemilihan lagu semuanya berdasarkan kepada kajian dan kehendak pendengar yang menilainya menerusi segmen Hot FM Prelude yang ke udara setiap Sabtu pukul 10 malam hingga 12 tengah malam.
“Kami menerima beratus lagu dalam seminggu dan pastinya ia memerlukan masa yang agak lama untuk dinilai oleh panel yang dilantik.
“Jika lagu berkenaan mendapat undian mahupun permintaan tinggi, maka lagu tersebut akan dimainkan.
“Kalau diperhatikan sekarang ini pun, lagu-lagu Indonesia semakin kurang dimainkan kerana itu adalah permintaan pendengar kami sendiri.
“Sebaliknya, lagu-lagu rock popular 90-an mula diminati semula dan mendapat permintaan tinggi daripada pendengar,” katanya.
Azura turut menjawab dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa Hot FM sering kali memutarkan lagu yang sama setiap waktu.
Katanya, jika sesebuah lagu itu mendapat permintaan yang tinggi, maka ia akan dimainkan dengan kerap mengikut kehendak pendengar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: