|
|
PUSAT pasaran untuk filem-filem dan rancangan-rancangan televisyen (MIPCOM) yang diadakan pada setiap tahun di Cannes, Perancis merupakan hab bagi pasaran produk-produk itu yang paling besar di dunia.
Dengan disertai lebih 13,000 peserta mewakili syarikat-syarikat penerbit dan pengedar filem serta rancangan televisyen dari seluruh negara menjadikan pasaran itu amat penting dalam menjana ekomoni.
Menyedari peri pentingnya MIPCOP, maka tidak hairanlah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga tidak mahu ketinggalan bagi menggunakan hab itu untuk membantu memasarkan filem-filem tempatan di sana.
Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, pada 5 hingga 9 Oktober lalu, Finas menerusi kerjasama dengan Pavillion Malaysia telah membawa wakil-wakil penerbit filem dan televisyen tanah air bagi menyertai pasaran itu.
"Sebanyak 16 buah syarikat tempatan telah menyertai pasaran MIPCOM bagi menjual atau mengadakan kerjasama penerbitan dengan wakil-wakil penerbit dan pengedar filem serta televisyen.
"Mereka ini datangnya dari 105 negara dari seluruh dunia. Kami amat mengalu-alukan penyertaan wakil-wakil dari Malaysia kerana MIPCOM menyediakan pasaran yang global," katanya kepada Hits ketika ditemuibaru-baru ini.
Membuahkan hasil
Pada pertemuan di Malam Penghargaan Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) itu, Finas telah memberikan sijil penghargaan kepada individu-individu yang telah menjayakan festival itu di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Ogos lalu.
Hadir sama pada majlis penyampaian sijil itu ialah Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong dan Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim, para pegawai Finas dan wakil-wakil media massa yang menjayakan festival tersebut.
Jelas Mohd. Mahyidin, penyertaan delegasi Malaysia ke MIPCOM berjaya membuahkan hasil apabila banyak syarikat penerbitan dari luar negara berminat untuk mengadakan penggambaran produk di sini.
"Pada kunjungan itu kita berjaya menjual lesen harta intelek berjumlah RM605,000 kerjasama penerbitan bernilai RM116,950,000 dan nilai pelaburan RM800,000 bagi penggambaran di Malaysia oleh syarikat produksi dari luar negara.
"Selain itu, para delegasi Malaysia juga turut mengambil peluang menyertai beberapa program utama termasuklah 43 seminar berkaitan bidang perfileman dan televisyen. Kita akan menyertai MIPCOM lagi pada masa akan datang," ujarnya.
Antara syarikat-syarikat tempatan yang menyertai MIPCOP kali ini ialah Primeworks Studios, KRU Studios, Red Communication, Nafalia Corporation, Les' Copaque Production Sdn. Bhd. dan Imagika.
Pada masa sama katanya, Finas turut menarik perhatian ramai pengedar di sana menerusi filem-filem dokumentari yang mereka terbitan seperti Silat untuk tayangan televisyen di luar negara.
"Filem-filem dokumentari paling mudah untuk dipasarkan kerana ia boleh dialih bahasa ke dalam pelbagai bahasa apatah lagi kalau ia berkisar tentang budaya setempat.
"Sebagai contohnya, dokumentari tentang Silat yang Finas terbitkan dengan kerjasama Discovery Channel baru-baru ini menjadi tumpuan ramai wakil-wakil stesen televisyen luar negara ketika di MIPCOM baru-baru ini," jelasnya.
Dalam pada itu, tambah Mohd. Mahyidin pada persidangan MIPCOP itu juga, KRU Studios yang diwakili oleh Pengarah Urusannya, Norman Abdul Halim telah menjalin kerjasama dengan syarikat Epic Pictures dari Amerika Syarikat (AS).
Menerusi perjanjian dan kerjasama itu, syarikat produksi dari AS terbabit bersetuju dalam produksi dan pengedaran enam buah filem cereka bersama KRU Studios yang bernilai RM108 juta.
Sementara itu, pada majlis yang sama, Kerajaan Sabah melahirkan rasa gembiranya apabila Finas memilih negeri itu sebagai tuan rumah FFM22 yang secara tidak langsung turut menjana sektor pelancongan di sana.
"Sambutannya amat luar biasa sekali di mana ramai rakyat Sabah yang sebelum ini tidak pernah berjumpa dengan seniman dan seniwati tanah air telah dapat peluang itu semasa mereka menyertai festival filem tersebut diadakan baru-baru ini.
"Malah, komposer veteran dari Singapura iaitu Kassim Masdor juga sempat mencipta lagu berjudul Semalam Di Sabah yang akan dinyanyikan oleh Idola Bandaraya Kota Kinabalu iaitu Nonna Masidah dalam album albumnya kelak.
"Lagu itu akan dipertandingkan selain kita juga akan menggunakannya sebagai salah satu lagu yang boleh digunakan bagi mempromosikan pelancongan ataupun lokasi untuk penggambaran filem tempatan atau dari luar negara di Sabah," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: