Thursday, October 29, 2009

Ibu kena jel 20 bulan - Mengaku salah dera dua anak tiri


NORAINI diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas dijatuhi hukuman penjara 20 bulan di Kuantan.



KERATAN Kosmo! 24 Oktober 2009.


KUANTAN - Seorang suri rumah berusia 40 tahun dihukum penjara 20 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam selepas mengaku salah melakukan penderaan ke atas dua anak tirinya yang diselamatkan jiran baru-baru ini.

Majistret Nor Zaihan Mohamad Ali menjatuhkan hukuman itu selepas suri rumah terbabit, Noraini Yusoff yang berasal dari Batu 8, Jalan Gambang di sini, mengaku bersalah mendera kedua-dua anak tirinya itu pada 16 dan 20 Oktober lalu.

Nor Zaihan memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 22 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Noraini didakwa mendera anak tiri perempuannya berusia 11 tahun dengan cara memukul, mencubit dan menggigit sehingga mendatangkan kecederaan fizikal kepada mangsa di sebuah rumah di Batu 8, Jalan Gambang di sini kira-kira pukul 3 petang, 16 Oktober lalu.

Tertuduh turut didakwa melakukan kesalahan sama terhadap anak tiri lelakinya berusia sembilan tahun di tempat sama kira-kira pukul 3 petang pada 22 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun.

Sementara itu, dalam rayuannya, Noraini yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah tidak memenjarakannya atas alasan perlu menjaga anaknya berusia lima tahun, hasil perkahwinan dengan bapa kedua-dua mangsa.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: