SEHINGGA sekarang penyanyi, pemuzik dan komposer terkenal Indonesia, Ahmad Dhani atau Dhani Ahmad Prasetyo tidak pernah membuka mulut mengenai dakwaan perkahwinannya dengan penyanyi Indonesia, Mulan Jameela.
Mulan merupakan pasangan duo dan rakan baik bekas isterinya, Maia Ahmad atau nama sebenarnya Maia Estianty.
Bagi vokalis band Dewa 19 ini, cerita menyentuh peribadinya itu tidak patut dihebahkan kepada orang ramai.
Pada awal tahun ini, Dhani baru sahaja menerbitkan album terbarunya, ‘Muhammad Dhani & The Swinger’ yang turut mempopularkan lagu ‘Madu Tiga’ nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dengan nafas baru.
Pengisian lagu itu bagaikan menepati gosip skandal cinta melibatkan Dhani, Maia dan Mulan.
Ketika sidang media dilakukan, Dhani ada menyebut yang lagu tema filem berjudul sama itu mendapat sambutan menggalakkan di Indonesia. “Mungkin kerana liriknya yang penuh unik atau mungkin juga pengalaman peribadi saya.”
Lantas terus ditanya apakah benar tentang pengakuannya lagu ‘Madu Tiga’ yang sedang popular di stesen radio tempatan ini mempunyai kaitan dengan dirinya, Dhani hanya menjawab:
“Soalan ini agak peribadi. Media di Indonesia juga pernah bertanya sama ada saya sudah berkahwin atau tidak dan ada yang sehingga mahu menawarkan 500 juta rupiah kepada saya untuk ditemubual tentang hal itu tetapi saya tolak.
“Setiap berita yang keluar dari mulut saya adalah berharga. Cerita seperti itu adalah rahsia..saya hanya boleh beritahu sudah atau tidak (poligami),” katanya yang turut merahsiakan sama ada dia sudah menemui pengganti Maia atau tidak.
Namun begitu, bapa kepada tiga orang anak iaitu Ahmad Al Ghazali, Ahmad Jalaluddin Rumi dan Ahmda Abdul Qodir Jaelani ini mempunyai naluri seperti orang lain yang tidak mahu memiliki isteri yang sibuk.
“Kalau boleh memang saya mahu dan suka perempuan yang biasa sebab dulu Maia juga bukan siapa-siapa.
“Tetapi saya tiada peluang untuk berjumpa dengan wanita yang bukan datang dari kalangan artis kerana tiada masa,” beritahunya yang turut dalam proses menyiapkan album terbaru bersama Dewa 19 yang dijangka siap pada Disember depan.
Setakat ini, single pertama dari album itu berjudul ‘Bukan Cinta Manusia Biasa’ telah diputarkan di stesen radio di Indonesia.
Mahu perkenal irama ‘Swing’ di Indonesia
Agak keliru juga apabila mendengar tajuk album solo pertamanya itu, ‘Muhammad Dhani & The Swinger’ sedangkan ramai yang mengenalinya sebagai Ahmad Dhani dan bukannya Muhammad Dhani.
Alasannya, Dhani berkata dia memilih nama Muhammad kerana meminati peninju terkenal Muhammad Ali.
Album dihasilkan dengan bajet sendiri yang dianggarkan lebih RM100,000 itu juga terhasil atas dorongan hobinya yang meminati muzik ‘swing’.
Walaupun album ini diterbitkan tanpa sokongan mana-mana syarikat rakaman di Indonesia disebabkan tidak komersial tetapi penyanyi ini tidak mudah berputus asa untuk menghasilkan album seperti itu lagi selepas ini.
Selain ‘Madu Tiga’, lagu-lagu lama yang dinyanyikan semula olehnya dalam album itu adalah ‘Killer Queen’, ‘Separuh Nafas’, ‘The Best Is Yet To Come’, ‘Underneath The Apple Tree’, ‘Aku Bukan Siapa Siapa’, ‘Rahsia Perempuan’, ‘I Get A Kick Out Of You’ ‘Kasidah Cinta’ dan ‘Arjuna’.
Ditanya tentang bagaimana idea untuk menyanyikan semula lagu ‘Madu Tiga’, Dhani berkata dia tertarik dengan lagu itu setelah terdengarnya di sebuah kedai di Sungei Wang, Bukit Bintang.
“Semasa dalam proses menyiapkan sebahagian daripada album itu di Sydney, Australia, saya terdengar sebuah lagu yang begitu unik dan menarik. Pada awalnya, saya tidak tahu siapakah penyanyinya.
“Selepas itu, terus saya tanya kepada jurucakap pengurusan Ahmad Dhani Record, Mohd Iman Tang untuk mendapatkan CD lagu itu,” cerita penyanyi berusia 37 tahun ini yang membikin album ini dengan menggunakan khidmat 20 pemuzik di Sydney.
Dhani juga telah menonton beberapa filem lakonan P. Ramlee untuk mengenali lebih dekat tentang seniman agung itu.
Dia menyifatkan P. Ramlee sebagai seorang yang penuh berkarisma dan disukai ramai terutama kaum wanita berdasarkan rupa dan bakat lakonannya.
Dhani berkata album yang telah pun berada di pasaran sejak Mac lalu ini merupakan album irama ‘swing’ pertama di Indonesia.
“Saya harap ada lagi album seperti ini kalau ada rezeki kerana album ini ibarat pembuka untuk saya popularkan irama ‘swing’ di Indonesia.
“Saya nak bawa muzik yang tidak popular di sana dan ramai yang tidak tahu tentang muzik ‘swing’,” katanya yang telah merakamkan sebuah lagi lagu Melayu berjudul ‘Diwajahmu Kulihat Bulan’.
Peminat muzik jazz ini juga memaklumkan yang dia tidak keberatan jika berpeluang untuk berkolaborasi dengan Ratu Jazz Negara, Datuk Sheila Majid. Katanya, dia pernah bermain piano melalui lagu ‘Emosi’ di mana waktu itu dinyanyikan oleh Sheila sendiri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: