Friday, October 30, 2009

Pentas lahir pemuzik generasi baru


DALAM melahirkan pemain muzik dan artis berbakat pelbagai usaha dijalankan. Universiti Teknologi Mara (UiTM) umpamanya menerusi Fakulti Muzik tidak terkecuali memainkan peranannya.

Selain menjadi lokasi akademi bagi pelajar menuntut ilmu dalam bidang seni, UiTM juga cenderung mengasah bakat baru.

Selain bakat lakonan seperti Farid Kamil dan Fahrin Ahmad, UiTM juga menyerlahkan bakat dalam bidang seni suara seperti penyanyi Dina, Diafadilla dan Shafinaz Selamat.

Meneruskan kesinambungan itu, Fakulti Muzik menganjurkan Konsert Fakulti Muzik bertempat di Hotel Grand Dorsett Subang sempena Persidangan Muzik Antarabangsa 2009, baru-baru ini.

Timbalan Dekan Fakulti Muzik UiTM, Muhammad Shukor Abdul Moner, berkata penganjuran konsert berkenaan adalah sebahagian usaha pihaknya memberi ruang kepada mahasiswa mempamerkan bakat seni kepada umum.

"Selain mengetengahkan bakat seni mahasiswa universiti, konsert ini juga membuka perspektif akademi kepada masyarakat di samping memberi tanggapan baru kepada masyarakat mengenai apa itu muzik. Persembahan merangkumi semua aspek berkonsepkan klasik, barat, tradisional dan jazz.

"Malah, penyampaiannya juga mengikut kumpulan, kelompok kecil dan orkestra.

"Semua persembahan menunjukkan kematangan dan skil hebat pelajar. Persembahan dijayakan lebih 200 pelajar yang merangkumi tiga fakulti utama iaitu Jabatan Pendidikan, Jabatan Seni Persembahan dan Diploma Muzik.

"Persediaan untuk menjayakan konsert ini bermula sejak 10 bulan lalu dengan setiap persembahan dipantau pensyarah dan tenaga pengajar masing-masing.

"Pensyarah juga terbabit dalam penghasilan dan penciptaan lagu serta melodi menerusi konsert ini. Malah, ada juga di kalangan pelajar yang sudah mencipta nama dalam dunia seni tanah air seperti Idayu (Akademi Fantasia) dan beberapa pemain muzik yang berjaya menjadi band pengiring dan aktif memperjuangkan muzik indie," katanya.

Konsert itu adalah kali kedua dianjurkan fakulti berkenaan. Kali pertama konsert berlangsung ialah di Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang pada 2007.

Konsert kali ini turut membabitkan gandingan barisan pemuzik lama dan baru di samping penyertaan bekas pelajar UiTM.


Katanya, setiap pelajar perlu mempunyai kriteria tertentu sebelum dibenarkan menjayakan persembahan konsert.

"Kami menilai pada skil bermain alat muzik yang tinggi. Tahap persembahan yang tinggi dan tidak melakukan kesilapan ketika mengadakan persembahan serta ciri-ciri pemuzik pada tahap tinggi melayakkan pelajar membuat persembahan.

"Persembahan itu juga adalah sebahagian daripada sambutan 25 tahun bidang pengajian muzik ditawarkan di UiTM. Bermula sebagai pengajian di bawah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) sehingga tertubuhnya Jabatan Muzik sehingga kini," katanya.

Pihaknya juga berharap penganjuran konsert berkenaan memberi ruang kepada pihak instutusi pengajian tinggi untuk bertindak sebagai peneraju dalam akademik berkaitan muzik di Malaysia.

Mereka yang menyaksikan konsert berkenaan dihiburkan dengan persembahan lagu tradisi Melayu, Dia Datang; persembahan dengan rentak jazz, klasik, orkestra, koir, perkusi dan persembahan istimewa daripada Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Ibrahim Abu Shah menerusi lagu medley Makan Sirih & Pasir Roboh susunan Muhammad Shukor sendiri.

Di samping tetamu jemputan khas, turut hadir menyaksikan persembahan ialah Pengerusi Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanahair (Mahkota), Datuk A Rahman Hassan dan Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Omar Awang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: