Saturday, October 31, 2009

Azizi seronok buat kerja amal

Duta remaja Yayasan Kebangsaan Buah Pinggang Malaysia, Azizi Zakaria, 18, bangga mampu berbakti kepada golongan memerlukan pada usia muda pada satu majlis ‘Raya 1Malaysia’ anjuran Kelab Lions di sekitar Perak, baru-baru ini.

Naib Juara Digi Celebriteen 2007 itu merasa amat bertuah apabila diberi peluang meraikan penghuni Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Manjoi, Perak bersama dua selebriti iaitu Baki Zainal dan Dina Nadzir turut serta menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak di bawah jagaan pusat tersebut.

Menurutnya, sepanjang bulan Ramadan dan Syawal yang lalu, beliau telah menghadiri lebih daripada lapan buah rumah anak yatim di seluruh Malaysia termasuk Langkawi, Melaka, Johor Bahru, Lembah Klang dan Ipoh.

”Saya memang suka beramal. Ada yang berkata artis-artis sekarang menggunakan ini sebagai satu platform untuk mempromosikan diri. Bagi diri Azizi, sebagai artis remaja baru, niat saya hanyalah satu, beramal. Sekiranya Azizi dapat membawa keceriaan dan keseronokan kepada anak-anak yatim ini, sampai mana pun Azizi sudi hulurkan bantuan dan sokongan sekadar mana yang mampu.

“Lagi pun saya masih muda, tidak salah jika ingin beramal ketika masih muda. Tidak perlu menunggu ketika sudah berumur nanti baru nak beramal,” jelasnya ketika dihubungi.

Azizi yang pernah mengeluarkan single bertajuk Sentiasa berkata: “Pada masa kini, sambutan perayaan di negara Malaysia bukan lagi disambut untuk satu kaum sahaja, malah disambut oleh segenap lapisan masyarakat menerusi sesi beramah mesra dan rumah terbuka. Tambahan pula, ketika musim perayaan, kita dapat merapatkan lagi hubungan sesama rakyat Malaysia khususnya menerusi kerja-kerja amal sebegini.”

Dalam perkembangan lain, Azizi dan lebih 20 lagi selebriti Malaysia kini terlibat dalam sebuah lagi kempen amal menyelamatkan alam sekitar yang dianjurkan oleh sebuah syarikat produk kesihatan berasaskan bio-organik, Kiehl’s dan Yayasan Warisan Anak Alam yang dinamakan ‘Save Our Rare Earth’.

Pada 14 November ini, beliau dan selebriti lain yang terlibat dengan kempen tersebut akan melawat tapak perkhemahan yang disertai sekumpulan kanak-kanak istimewa di Gunung Nuang, Hulu Langat, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: