PORT AUGUSTA (AUSTRALIA): Kereta solar buatan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) tiba di wilayah Australia Selatan semalam selepas mengharungi perjalanan mencabar sejauh 2,432km melintasi kawasan pedalaman negara itu sejak Ahad lepas.
Kereta Solar Ranger UNITEN itu adalah antara 32 kereta solar dari 15 negara yang menyertai Cabaran Solar Sedunia dari Darwin ke Adelaide sejauh 3,021 km.
Tiga penyertaan ditolak kerana gagal memenuhi syarat ketat yang dikenakan oleh penganjur. Daripada 32 kereta yang menyertai perlumbaan itu, dua menarik diri kerana masalah teknikal.
Solar Ranger UNITEN juga berdepan masalah teknikal menyebabkan kereta itu hanya mampu bergerak pada kelajuan maksimum 60 km sejam berbanding kemampuan mencapai sehingga 110 km sejam semasa ujian di kampus universiti itu di Bangi.
Walaupun menghadapi masalah teknikal, anggota pasukan UNITEN masih bersemangat tinggi untuk meneruskan perlumbaan sehingga garis penamat di Victoria Square di Adelaide.
"Azam kami ialah untuk menamatkan perlumbaan ini, dan Insya-Allah, kami akan sampai di Adelaide dalam masa yang ditetapkan pada Sabtu ini," kata pengurus pasukan Prof Halil Hussain
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: