Friday, October 30, 2009

Konsep balai polis sehenti

Konsep balai polis sehenti dan laman sesawang itu sejajar dengan situasi semasa yang memerlukan satu mekanisme baru bagi mendekatkan pihak polis dengan orang ramai.




DENGAN satu klik, balai polis kini berada di hujung jari anda. Populariti penggunaan laman sesawang yang kini menjadi capaian sosial harian telah memberi idea kepada Polis Pulau Pinang. Pasukan itu mengguna pakai aplikasi sama sebagai satu cabang komunikasi baru dengan masyarakat.

Baru-baru ini, polis negeri ini melancarkan perkhidmatan Laman Sesawang Balai Polis (PWS) sebagai saluran kepada orang ramai bagi mendapatkan maklumat-maklumat termasuk semakan saman.

Sebagai projek rintis, Balai Polis Bayan Lepas (BPBL) dipilih menyediakan laman sesawang yang memaparkan maklumat-maklumat tentang pentadbiran, galeri foto serta media yang memaparkan berita kejayaan pihak polis kawasan itu.

Turut dipaparkan ialah panduan nombor telefon balai dan pondok polis kawasan Bayan Lepas, senarai nama pegawai penyiasat, penyelia dan anggota sektor yang bertugas bagi memudahkan orang ramai untuk berhubung.

Selain itu, orang ramai juga boleh mengetahui lebih jelas mengenai fungsi RakanCop, semakan saman dan panduan pencegahan jenayah. Laman sesawang itu nyata mesra pengguna walaupun baru pertama kali melayarinya.

Pelengkap kepada pendekatan pro aktif itu, Polis Pulau Pinang turut menaik taraf BPBL sebagai sebuah balai polis sehenti pertamanya.

Berkonsepkan Balai Polis Perkhidmatan Mesra (BPPM), ia menempatkan semua jabatan dan cawangan polis di bawah satu bumbung, termasuk bilik siasatan sulit bagi penyiasatan membabitkan jenayah seksual.

Kedua-dua idea yang diilhamkan oleh Ketua Polis negeri, Datuk Wira Ayob Yaakob merupakan antara langkah yang diperkenalkan oleh polis negeri sebagai maklum balas terhadap kehendak masyarakat selain mempercepatkan sesuatu siasatan.

Ketika merasmikannya, Ayob menjelaskan, konsep balai polis sehenti dan laman sesawang itu sejajar dengan situasi semasa yang memerlukan satu mekanisme baru bagi memudahkan orang ramai berhubung serta berurusan dengan pihak polis.


KETUA Polis Negeri, Datuk Wira Ayub Yaacob (tengah) membuat lawatan selepas melancarkan perkhidmatan mesra dan laman sesawang di Balai Polis Bayan Lepas.


Menurut beliau, pendekatan tersebut perlu apatah lagi dengan adanya kecanggihan aplikasi Internet mudah alih yang kini boleh dilayari menggunakan telefon bimbit, selain capaian Internet di rumah.

"Jika semuanya berjalan lancar, mungkin satu masa nanti kita boleh menyediakan perkhidmatan membuat aduan secara talian melalui perkhidmatan e-aduan," ujar Ayob.

Katanya, beberapa balai polis lain di negeri itu juga akan dinaik taraf sebagai BPPM secara berperingkat-peringkat. Ia juga akan melibatkan perubahan struktur perjawatan serta pertambahan anggota.

"Faktor keluasan serta demografi menyebabkan kita perlu mengenal pasti dahulu balai polis yang sesuai untuk dipertingkatkan sebagai BPPM.

"Konsep ini bukan sahaja memudahkan lagi tugas-tugas siasatan sesebuah balai polis, malah membolehkan kita memberi perkhidmatan yang efisyen sepertimana diperlukan masyarakat," jelasnya.

Diketuai oleh seorang pegawai berpangkat cif inspektor, BPBL dengan 28 anggota bertanggungjawab terhadap keselamatan daerah Bayan Lepas yang dihuni oleh 244,500 orang penduduk.

Tambah Ayub lagi, dengan nisbah seorang anggota polis bagi 3,943 penduduk di sini, konsep BPPM dan khidmat laman bukanlah jaminan kaedah membanteras jenayah menjadi semakin mudah. Tetapi ia menyenangkan proses komunikasi dan maklum-balas antara pengadu dan pihak polis.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu sebuah balai polis baru akan beroperasi di daerah tersebut iaitu di Bayan Baru yang lengkap dengan sebuah Kompleks Lokap Berpusat bagi menempatkan pesalah di kawasan Daerah Timur Laut.

Bakal dirasmikan Disember nanti, lokap moden yang dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) itu boleh menempatkan kira-kira 600 tahanan pada satu-satu masa.

"Dengan adanya lokap ini nanti, ia akan mengurangkan jumlah tahanan di balai-balai lain bagi membolehkan anggota (di balai polis) memberi tumpuan terhadap tugas mencegah jenayah," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: