Thursday, October 29, 2009

'Lebih baik tarik diri jika susah berbincang' - MUH

Kumpulan MUH membuat persembahan di Hard Rock Cafe dengan hit semasa sidang akhbar baru-baru ini.

MUZIK-MUZIK yang akan memulakan saringan separuh akhir mulai 6 November ini tidak akan menampilkan kumpulan indie Meet Uncle Hussin (MUH) apabila kumpulan itu menarik diri daripada bertanding.

Hasrat tersebut telah disuarakan oleh kumpulan ini melalui surat dan dihantarkan kepada pihak TV3, kelmarin.

Kumpulan yang sepatutnya mempertaruhkan lagu mereka berjudul ”Pari-Pari Di Bawah Angin” hasil ciptaan dan lirik oleh Taja, Tassiq dan Lan itu memberi alasan tiada persefahaman antara mereka untuk meneruskan saingan dalam Muzik-Muzik Separuh Akhir.

Menurut pengurus MUH, Nafisah Mohamat Yusof Khir atau lebih dikenali sebagai Kimi, keputusan tersebut terpaksa dibuat walaupun dia akui anggota-anggota MUH, terutamanya ketua kumpulan tersebut, Taja amat kecewa kerana perlu berbuat demikian.

"Sudah tentu mereka kecewa, tambahan pula Taja sendiri adalah salah seorang komposer dan penulis lirik lagu ini. Ketika kami dapat tahu MUH dapat masuk separuh akhir, kami memang amat gembira.

"Malah, kami juga sudah jumpa pengganti vokalis untuk beraksi dengan MUH nanti. Tetapi nak buat macam mana, rasanya ini adalah keputusan terbaik," kata Kimi.

TINGGAL KENANGAN... anggota kumpulan Meet Uncle Hussein dari kiri: Afat, Lan dan Taja.

Ditanya adakah punca utama MUH menarik diri disebabkan sukar mendapatkan kerjasama dengan bekas vokalisnya, Lan yang kini menubuhkan kumpulan baru, Azlan & The Typewriter, serta Tassiq yang turut terbabit di dalam penghasilan album band baru Lan itu, kata Kimi:

"Muzik-Muzik melibatkan penyanyi, komposer dan penulis lirik. Kami ada menghubungi Lan dan Tassiq menerusi syarikat rakaman mereka untuk mendapat tandatangan bagi persetujuan menyertai program ini, tetapi mereka dikatakan amat sibuk dan tiada masa untuk bertemu.

"Kami faham kesibukan mereka itu. Dan akhirnya, kata Taja sendiri, 'lebih baik tarik diri jika sukar untuk berbincang'. Lagipun, kami tidak mahu timbul masalah di kemudian hari."

Sehubungan dengan itu, MUH yang dijadualkan membuat persembahan pada minggu ke-2 separuh akhir iaitu pada 13 November ini bakal digantikan dengan kumpulan Grey Sky Morning dengan lagu “Cinta Gila” hasil ciptaan Sharnizad dan Hafizal, lirik oleh Hafizal.

Dalam pada itu, Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studio Sdn. Bhd. Fadzliniza Zakaria berkata, pihaknya menghormati keputusan yang dibuat oleh MUH dan menerimanya dengan fikiran terbuka.

"Walaupun kami merasakan yang peminat-peminat MUH akan kecewa dengan keputusan itu, namun kami akur dan berpendapat bahawa mereka haruslah menyelesaikan masalah dalaman antara mereka dahulu.

"Keputusan memasukkan kumpulan Grey Sky Morning diambil memandangkan kumpulan itu merupakan lagu seterusnya yang berada di dalam carta selepas 30 lagu.

"Kami juga percaya Grey Sky Morning mampu memberikan saingan kepada lagu-lagu lain," katanya.

Lagu-lagu yang layak dipertandingkan untuk separuh akhir Muzik-Muzik dipilih melalui markah tertinggi yang diperolehi melalui undian yang dibuat setiap minggu dan berdasarkan tempoh kedudukan lagu tersebut di dalam carta mingguan Muzik-Muzik.

Sebanyak 112 lagu telah dicalonkan sepanjang tahun ini iaitu mulai 4 April hingga 17 Oktober 2009 dan 30 buah lagu akhirnya terpilih untuk dipertandingkan ke peringkat separuh akhir yang akan dibahagikan kepada tiga bahagian mengikut undian.

Separuh akhir bahagian 1 (11 lagu) akan diadakan pada 6 November depan, bahagian 2 (11 lagu) akan berlangsung pada 13 November manakalan bahagian 3 (8 lagu) akan diadakan pada 20 November.

Empat belas buah lagu yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-24 (AJL24) akan diumumkan sejurus selepas separuh akhir Muzik-Muzik bahagian 3 dipertandingkan dan pemilihan akan dibuat berdasarkan pemarkahan oleh juri profesional.

Berikut adalah senarai 30 lagu yang berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik ke-24:

1. Bencinta (artis: Faizal Tahir, komposer: Audi Mok, penulis lirik: Faizal Tahir)

2. Pakai Buang (artis: Stacy, komposer/penulis lirk: Edry)

3. Aurora (artis: Estranged, komposer/penulis lirik: Estranged)

4. Benar-Benar (artis: Adam, komposer/penulis lirik: Edry)

5. Gila (artis: Mila, komposer: Audi Mok, penulis lirik: Nur Fatimah)

6. Rindu Terhenti (artis: Tomok, komposer: Aubrey Suwito, penulis lirik: Tinta)

7. Situasi (artis: Bunkface, Komposer/penulis lirik: Sam)

8. Dan Sebenarnya (artis: Yuna, komposer/penulis lirik: Yuna, Paan, Efry, Adil)

9. Kau Aku (artis: Aizat, komposer/penulis lirik: Aizat

10. Pergi (artis: Aizat, komposer/penulis lirik: Pete Teo)

11. Aku Skandal (artis: Hujan, komposer/penulis lirik: Noh)

12. Patri (artis: Jinbara, komposer/penulis lirik: Anjang)

13. Mirage (artis: Pesawat, komposer/penulis lirik: Jipie)

14. Cinta Adam Dan Hawa (artis: Misha Omar, komposer: Azmeer, penulis lirik: Loloq)

15. Khatimah Cinta (artis: Sixth Sense, komposer/penulis lirik: Sixth Sense)

16. Tak Mungkin Kerna Sayang (artis: Alyah, komposer: Ajai, penulis lirik: Habsah Hassan)

17. Cinta Gila (artis:Grey Sky Morning, komposer: Sharnizad dan Hafizal, penulis lirik: Hafizal)

18. Ku Pinjam Satu Bintang (artis: Alyah & Riz, komposer: Ajai, penulis lirik: Slen)

19. Dia, Aku Dan Kamu (artis: Nadia & Red Peanut, komposer: Eddie Hamid, penulis lirik: Ahmad Fedtri Yahya)

20. Raja Gelek (artis: One Nation Emcees, komposer: Damien Mikhail, penulis lirik: One Nation Emcees)

21. Oh Anok Anok (artis: Reshmonu, komposer: Reshmonu, penulis lirik: Farasha Osman)

22. Masih Jelas (artis: Hafiz, komposer: Aidit Alfian, penulis lirik: Ad Samad)

23. Tahu Tak Tahu Joget (artis: Jinbara, komposer: Anak Jin, Palut; penulis lirik: Anak Jin)

24. Bertamu Di Kalbu (artis: Jaclyn Victor, komposer/penulis lirik: Anjang)

25. Ketika Ini (artis: Estranged, komposer/penulis lirik: Estranged)

26. Seadanya Aku (artis: Nubhan, komposer: Sharon Paul, penulis lirik: Azalea)

27. Aku Rindu Sayang Kamu (artis: Black, komposer/penulis lirik: Yuzai)

28. Enjut (artis: Noraniza Idris, komposer: Cat Farish, penulis lirik: Ahmad Fedtri Yahya)

29. Fikirlah (artis: Aizat, komposer/penulis lirik: Anas)

30. Bengang (artis: Akim, komposer: Amir, penulis lirik: Sheikh Qalam)

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: