Saturday, October 31, 2009

Drama 'The Adjusters' penuh misteri...

SEBUAH lagi drama baru, 'The Adjusters' hasil produksi tempatan, bakal menemui penonton setia 8TV.

8TV dengan bangganya memperkenalkan drama bersiri terbaru berjudul ‘The Adjusters’.

Drama bersiri ini akan mula menemui penonton setiap hari Ahad jam 8.30 malam bermula 25 Oktober 2009.

Drama bersiri 13 episod ini membariskan pelakon-pelakon hebat tempatan antaranya Rynn Lim, Chris Tong, Aric dan Chan Fong.

Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim berkata, “Ini merupakan sebuah drama bersiri yang hebat yang telah diterbitkan oleh produksi tempatan yang tidak asing lagi iaitu Double Vision.

" ‘The Adjusters’ tampil dengan plot yang cukup unik yang penuh dengan teka-teki. Anda pastinya tidak mahu melepaskan peluang mengikuti perjalanan drama bersiri ini,” kata Swee Kim.

‘The Adjusters’ memaparkan kisah mengenai Andy Wong yang merupakan seorang ketua di sebuah firma Penyelaras Insurans yang dikenali ramai.

Andy mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan pengurus beliau – Pakcik Ming dan pembantunya Annie. Andy juga cukup dikenali ramai kerana telah banyak menyelesaikan kes-kes penipuan.

Manakala Wilson Wong pula merupakan seorang Inspektor Polis yang sudah lama menyimpan perasaan terhadap Annie namun Annie pula menjalinkan hubungan cinta dalam diam dengan Andy.

Etika pekerjaan mereka tidak membenarkan pekerja menjalinkan hubungan dengan rakan sekerja dan mereka berdua terpaksa merahsiakan perhubungan mereka.

Pakcik Ming yang merupakan mentor kepada Andy pula merupakan seorang penyelaras insurans yang paling berpengalaman.

Pakcik Ming juga merupakan rakan karib Andy dan menganggap Andy seperti adik kandung beliau.

Perhubungan mereka cukup akrab namun setelah isteri Pakcik Ming terlibat dalam kemalangan dan koma, Pakcik Ming berubah menjadi seorang yang pendiam.

Tidak lama kemudian, Pakcik Ming berhenti dan bekerja dengan sebuah firma sekuriti lain sebagai Pengurus.

Suatu rompakan terlah berlaku di pejabat baru Pakcik Ming dan suspek yang disyaki ialah pekerja baru yang dipilih sendiri oleh Pakcik Ming.

Andy telah dipilih untuk menjalankan siasatan ke atas kes rompakan tersebut.

Atas rasa bersalah dengan kejadian yang berlaku, Pakcik Ming menghantar surat perletakan jawatan dan suspek tersebut berjaya melarikan diri.

Syarikat terbabit membuat tuntutan insurans yang besar dan Andy dan agensi tempat beliau bekerja dipilih untuk mengendalikan kes tersebut.

Setelah melakukan beberapa penyiasatan Andy dan Annie mendapati ada beberapa kemusykilan yang berlaku dalam kes itu dan segala maklumat berbalik kepada Pakcik Ming.

Mampukan Andy menyelesaikan kes yang berkaitan dengan mentor beliau? Adakah Andy mampu menyelesaikan kes itu secara profesional dan melupakan persahabatan yang terjalin?

Berjayakah Andy dan Annie merahsiakan perhubungan cinta mereka dengan tekanan kerja yang mereka lalui?

Jangan ketinggalan untuk mengikuti misteri yang berlaku di sebalik drama bersiri ‘The Adjusters’ yang akan menemui anda setiap Ahad jam 8.30 malam bermula 25 Oktober 2009 hanya di saluran 8TV.

Anda juga boleh menonton siaran 8TV menerusi saluran Astro 708.

Kini anda boleh menonton rancangan-rancangan 8TV kegemaran anda menerusi telefon bimbit anda di mobile.8tv.com.my. Selamat menonton!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: