SETIAP individu memasang impian dalam kehidupan mereka, tidak kira ia mampu dilaksanakan ataupun sebaliknya. |
Justeru, Astro Oasis menerusi saluran 106 yang terkenal dengan pengisian program televisyen keagamaan dan ilmuan menyiarkan program realiti, Segunung Harapan setiap Jumaat bermula 8 November jam 9 malam.
Program menarik yang julung kali disiarkan itu memaparkan kisah kehidupan individu dalam mengejar impian masing-masing.
Program yang mendapat kerjasama Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) disiarkan sebanyak 10 episod.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata pihaknya dan penaja utama PruBSN memainkan peranan dalam memenuhi impian masyarakat dari sudut positif dan ilmiah.
Idea yang dicetuskan pihak PruBSN itu adalah satu program pilihan yang dapat memberi dorongan dan semangat kepada masyarakat untuk terus berusaha memajukan diri.
"Satu objektif penerbitan program ini adalah menggalakkan perasaan saling bantu membantu di kalangan komuniti, khususnya mereka yang kurang bernasib baik selaras dengan konsep asas takaful iaitu berkongsi tanggungjawab, bekerjasama dan saling membantu untuk kepentingan bersama.
"Sejak menyiarkan iklan promosi menerusi saluran kami menerima banyak maklum balas daripada masyarakat. Program dijalankan dengan cara membantu merealisasikan impian individu tertentu yang mampu memberi pengajaran dan pendorong semangat kepada penonton.
"Sebagai contoh menerusi episod pertama yang memaparkan kisah ibu tunggal kurang upaya yang menyara hidup keluarga dengan menjahit.
"Kami cuba merealisasikan impiannya dengan memberi bantuan sebuah mesin jahit. Pihak Takaful juga turut memainkan peranan dengan memberi pandangan dan nasihat untuk memperkembangkan perniagaannya menerusi beberapa skim.
"Masih ramai antara kita yang kurang pengetahuan mengenai skim perlindungan sebagai motivasi kepada masyarakat untuk memperkembangkan perniagaan mahupun perlindungan bagi setiap ahli keluarga yang kurang berkemampuan dan berdepan masalah seperti wanita berkenaan.
"Setiap kisah yang dipaparkan menerusi siri ini mempunyai keunikan tersendiri. Di samping mahu memajukan diri, kami juga perlu realistik dalam membantu masyarakat," katanya.
Pada majlis sidang akhbar, Izelan memaklumkan permohonan masih dibuka malah, pihaknya mengalu-alukan permohonan bertulis kepada Astro Oasis.
Hadir sama ada majlis itu, Ketua Kandungan Penjenamaan, Haris Ismail; Ketua Pegawai Operasi PruBSN, Azim Mitahni; Ketua Sokongan Pemasaran PruBSN, Tengku Sheila Tengku Azib; Ketua Pegawai Pengedaran PruBSN, Wan Azman Wan Mamat dan Pengacara Program, Ustaz Nabil Ahmad.
Tambah Izelan lagi permohonan tidak semestinya untuk menjayakan impian diri sendiri sebaliknya pihaknya juga menerima permohonan yang ditulis bagi pihak individu lain. Setakat ini, pihaknya menerima lebih 100 permohonan begitupun ia masih dalam peringkat saringan.
Program berkonsep majalah ini mengandungi tiga segmen utama iaitu Catatan Kehidupan yang menyingkap kehidupan individu, segmen Menjejak Impian yang akan menyelami impian individu selain usaha yang dijalankan bagi memenuhi impian berkenaan manakala paparan impian yang sudah dilaksanakan menerusi segmen Menggenggam Impian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: