SEKALIPUN hasrat untuk bergelar penyanyi tidak kesampaian, ia nyata bukan noktah dalam perjalanan seni, Rafidah Ibrahim atau Fida. |
Pada usia 23 tahun, gadis manis ini nampaknya kian selesa menyusun langkah sebagai anak wayang apabila aktif berlakon.
Bernaung di bawal label MIG Talent dengan menandatangani kontrak selama setahun, bakat Fida dalam lakonan terus digilap.
Malah, baru-baru ini disiarkan lakonannya di samping Nora Danish menerusi telefilem Tiga Serumah terbitan MIG Production sempena Aidilfitri.
Kata Fida yang pernah menyandang gelaran juara pertandingan Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene pada 2007, sejak menyertai MIG Talent pada April lalu, tidak dinafikan, karier seninya sekarang lebih cenderung pada lakonan berbanding nyanyian.
"Saya pernah mendapat peluang menjadi artis rakaman sebelum ini. Namun, entah kenapa, tiba-tiba projek yang dirancang tidak menjadi. Justeru, apabila Pengarah Urusan MIG Production, David Teo menghulurkan tawaran menjadi artis MIG Talent, saya terima.
"Apa yang pasti, karier seni saya sekarang lebih teratur dan stabil walaupun bertukar bidang.
"Kalau dulu, fokus lebih pada menyanyi, tetapi kini saya selesa berlakon. Ditambah lagi, David sentiasa memberi saya peluang untuk terus maju dalam karier ini.
"Terutama sebagai pelakon drama. Mungkin disebabkan sedikit bakat yang ada membolehkan David yakin untuk memberi saya peluang menggalas watak utama dalam drama. Bergandingan dengan Farid Kamil, saya dipilih berlakon drama Cinta Tikar Sejadah.
"Terus terang diakui, sejak berkecimpung dalam bidang lakonan saya sangat seronok. Banyak pengalaman berlakon mula ditimba dan ia cukup mematangkan diri.
Kata Fida, bila sampai waktu sesuai mungkin dia akan aktif menyanyi semula dan ketika itu pilihan dibuat benar-benar tepat.
"Bukan apa, cukuplah pengalaman dengan syarikat rakaman terdahulu yang dipilih untuk menghasilkan album saya. "Dalam soal ini, saya hanya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Bagaimanapun, saya tetap simpan impian untuk miliki album sendiri.
"Tidak dinafikan, ada komposer berpengalaman melamar saya sebagai artis untuk syarikatnya. Namun, saya terpaksa menolak sekarang kerana mahu memberi tumpuan pada lakonan. Buat masa ini, biarlah saya memantapkan diri sebagai pelakon dulu.
"Apapun, saya yakin dengan rezeki yang ditetapkan Tuhan. Andai kata, apa yang dihajati itu memang milik saya pasti masa ditunggu akan muncul akhirnya. Jadi, kesabaran sangat penting terutama apabila memilih seni sebagai karier sepenuh masa," katanya.
Aktif sebagai pengacara, Fida turut memaklumkan dia juga mendapat peluang untuk menjadi artis rakaman di bawah MIG.
Kata hos program Riwayat Kamil ini, seingatnya David pernah kata jika dia mahu menghasilkan album, mungkin ia boleh diurus MIG kemudian.
"Justeru, saya tidak mahu terburu-buru lagi atau buat tangkap muat saja. Jika ditakdirkan, saya muncul dengan album suatu hari nanti, biarlah perancangannya lebih teliti untuk hasil berkualiti. Ditambah lagi, keadaan pasaran album yang berlaku sekarang.
"Sebagai artis baru, saya sedar perlu berhati-hati dalam mencari peluang terutama untuk menghasilkan album yang hakikatnya menggunakan kos besar. Bahkan, melihat pada senario pasaran sekarang boleh dikatakan pendengar kini senang memilih single," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: