Friday, October 2, 2009

Long Piah penerus filem purba Melayu


ABU Hassan (kiri) bersama Ahli Lembaga Pengarah Seven Sky, Tajudin Talib (dua dari kiri), Penerbit Long Piah, Maria T.J (tengah), Ruzaimei (dua dari kanan) dan Zamshuri pada majlis pelancaran filem itu baru-baru ini.


SEPANJANG pertumbuhan industri filem Melayu bermula dari 1930 hingga 2008, rekod filem Melayu mencatatkan sebanyak 120 buah filem purba Melayu pernah dihasilkan selama tempoh berkenaan.

Antara judul filem yang meninggalkan kesan paling besar dalam perhatian penonton ialah Pancha Delima, Dandan Setia, Lancang Kuning, Megat Terawis dan Panglima Harimau Berantai.

Terbaru, jumlah penghasilan filem Melayu purba akan menyaksikan peningkatan apabila sebuah lagi filem genre yang sama akan dihasilkan.

Filem berjudul Long Piah bakal diarahkan oleh sutradara muda, Ruzaimei Aziz atau Bob Singah.

Naskhah ini akan mengupas kepahlawanan seorang penghulu bernama Long Piah yang dikatakan berjaya membuka Changkat Beruas.

Ia akan dihasilkan dengan bajet sebanyak RM4 juta.

Berdasarkan rancangan, Long Piah akan menjalani penggambaran di Kelantan, Kedah dan Perak.

Seperkara yang menarik mengenai Long Piah ialah pihak produksinya, Seven Sky Pictures Sdn. Bhd., awal-awal lagi memukul canang dan melabelkan Long Piah sebagai filem purba Melayu pertama yang diterbitkan dalam kurun ke-21.

Malah, Long Piah juga dikatakan akan menjadi pencetus kepada genre epik, sejarah dan purba sebagai kandungan naratif yang begitu diinginkan oleh khalayak di pawagam pada tahun 2010.

Sungguhpun begitu, kenyataan yang menyebut bahawa Long Piah sebagai filem purba Melayu pertama yang diterbitkan di kurun ke-21 mencetuskan seribu satu persoalan.

Ini kerana, sekitar 2004, kisah mengenai Puteri Gunung Ledang telah difilemkan dengan secara keseluruhannya dilihat sebagai sebuah filem purba.

Menjawab mengenai perkara tersebut, penasihat penerbitan Long Piah, Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, Long Piah dan Puteri Gunung Ledang merupakan dua bentuk penceritaan yang berbeza.

Menurutnya, Long Piah merupakan sebuah filem genre purba manakala Puteri Gunung Ledang pula mengangkat tema epik legenda.

''Memanglah Puteri Gunung Ledang cerita purba tetapi ia masih filem epik. Penceritaannya diambil daripada catatan sejarah atau tercatat dalam mana-mana teks lama.

''Sebaliknya, cerita purba seperti Long Piah, sejarahnya tidak tercatat dalam buku atau hikayat, tetapi menjadi sebutan daripada generasi silam hingga ke generasi sekarang,'' katanya.

Dr. Abu Hassan yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya berkata, Long Piah merupakan sebuah cerita yang cukup unik dan ia bukan watak yang diangkat menerusi hero komik.

Jelasnya, genre purba Melayu perlu dihidupkan semula kerana selama ini, perfileman purba banyak dikuasai oleh Barat yang tampil dengan tokoh-tokoh purba mereka sendiri.

''Akibat daripada sambutan sepi yang diberikan kepada cerita purba Melayu, kita asyik memuja naskhah purba Barat.

''Bertambah buruk, kita sendiri yang mengenepikan naskhah Melayu. Oleh itu, Long Piah diharap akan membuka mata dan menjadi pencetus kepada penghasilan filem-filem purba selepas pasca filem seram tamat pada tahun depan,'' katanya penuh yakin.

Kata Dr. Abu Hassan, elemen utama yang mengangkat filem purba Melayu bergantung kepada tiga perkara iaitu kenegaraan, keperwiraan dan kesaktian.

Menerusi kenegaraan, jelasnya, ia akan mengisahkan negara-negara Melayu sebagai simbol kuasa empayar Melayu dengan kedaulatan raja atau penguasa seperti bendahara, penghulu atau laksamana.

Bagi keperwiraan pula, beliau memberitahu, kisah yang dipaparkan berlandaskan kepada kelahiran tokoh-tokoh satria atau pahlawan melayu yang menjadi sumber keperwiraan Melayu.

''Elemen terakhir iaitu kesaktian mengisahkan kemunculan pengaruh pengetahuan dengan ciri-ciri kuno yang digambarkan dalam peristiwa pemilikan kekuasaan serta pengaruh sakti,'' ujarnya.

Penyelidikan Long Piah

Sementara itu, Ruzaimei berkata, sebelum penggambaran dan hal-hal lain diselesaikan, pihak produksi mengambil masa enam bulan untuk menjalankan penyelidikan mengenai Long Piah.

Katanya, semua aspek mengenai jalan cerita berkenaan dikaji penuh teliti.

Filem ini juga jelas beliau, akan mengunakan banyak imej janaan komputer (CGI) bagi menzahirkan dengan lebih berkesan mengenai zaman silam yang gah dan realistik.

''Ini adalah cabaran yang paling hebat buat saya kerana Long Piah adalah sebuah filem purba. Skripnya sudah siap dihasilkan.

"Kami juga berharap agar ia dapat dipasarkan ke peringkat antarabangsa,'' jelas Ruzaimei.

Seven Sky turut mengumumkan pelakon utama filem Long Piah iaitu Datuk Dr. Zamshuri Ramli.

Dikhabarkan, selain Zamshuri, beberapa lagi pelakon akan dipilih dalam masa terdekat ini untuk menghidupkan filem purba berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: