|
|
Di awal kemunculannya, begitu ramai yang terpesona dengan keanggunan wajah serta kecantikan milik si gadis berdarah kacukan Melayu - Pakistan, Fouziah Gous ini.
Dengan lirikan mata yang menawan, senyuman yang tidak lekang dari bibir serta rambut panjang mengurainya begitu menarik perhatian sesiapa sahaja yang memandang.
Benar, dua tahun lalu nama bekas kelasi awan biru itu cukup mekar di kalangan peminat.
Biarpun ketika itu langkahnya masih hijau di dunia glamor, namun publisiti terhadapnya setanding bintang yang telah lama mencipta nama di persada seni tempatan.
Masa berlalu, namanya masih lagi diingati, namun apa yang membezakan ialah populariti yang menguliti dirinya kini tidak lagi sehebat dulu. Dimana silapnya?.
Sedangkan berbanding kebanyakan artis baru yang menempa nama sealiran dengannya, dia antara bintang yang berjaya menyerlah dan semakin menyinar.
Tawaran yang diterimanya juga tidak putus-putus, malah mutu lakonan yang dipamerkan dalam setiap lakonannya semakin lama semakin meyakinkan.
Apa yang nyata kelibat gadis itu kini jarang kelihatan muncul di mana-mana majlis anugerah ataupun tertulis kisahnya di dada-dada akhbar mahupun majalah.
Fouziah, Hits temui dalam satu temujanji yang diatur di The Curve, Mutiara Damansara, selangor baru-baru ini.
Biarpun tidak sihat, ternyata si jelita ini berpegang teguh pada janjinya. Dengan wajah berseri yang dirias cantik, dia sedia ditemubual.
"Saya jarang keluar ke majlis-majlis. Mungkin juga sebab saya kini banyak terikat dengan komitmen drama jadi masa untuk bercampur dengan ramai orang sedikit terbatas," ringkas jawapan yang dikemukakan Fouziah sebaik ditebak persoalan berkaitan popularitinya.
Menyambung bicara, kata Fouziah, dia bertuah kerana pada saat dia mula-mula mencari tapak dalam lapangan lakonan dia tidak memerlukan masa yang lama untuk dikenali dan diterima oleh masyarakat.
"Memanglah populariti penting untuk bertapak terutamanya artis baru seperti saya. Terus terang, saya memang perlukan semua itu untuk memperkenalkan diri saya kepada umum dan mendapatkan pelbagai tawaran lakonan.
"Sekarang biarpun publisiti di majalah dan akhbar agak berkurangan, namun saya bersyukur kerana berbanding dahulu rezeki saya kini lebih banyak malah tidak putus-putus," katanya sambil menguntum senyum.
Fouziah mula dikenali menerusi drama Cinta Medik yang bersiaran di TV9 tidak lama dahulu. Ketika itu lakonan baginya hanya sebagai kerjaya sampingannya selain bertugas sebagai pramugari MAS ( Syarikat Penerbangan Malaysia).
Tempoh setahun digunakan sebagai kayu ukur, melihat dan menilai sejauh mana penerimaan masyarakat terhadap dirinya yang cuba membuktikan bakat yang ada sebelum memutuskan untuk mengorbankan kerjaya di awan biru.
Dua tahun di lapangan lakonan membuatkan Fouziah mengerti rezeki sebagai pelakon bukanlah bergantung sepenuhnya kepada populariti. Oleh sebab itu, dia ligat menerima pelbagai tawaran lakonan drama sementelah menunggu tawaran untuk beraksi di layar perak.
Fouziah tak takut badi
Mungkinkah kerana sering kelihatan dalam pelbagai drama di kaca televisyen menyebabkan Fouziah kehilangan nilai eksklusif diri?.
Dan bagaimana pula dengan dakwaan sesetengah pihak yang menganggap badi berlakon drama menyukarkan langkah seseorang pelakon untuk lebih menonjol di layar perak?.
Sambil ketawa kecil, kata Fouziah, dia mempercayai rezeki pemberian Tuhan , malah selain drama sehingga kini dia masih lagi menerima pelbagai tawaran filem.
"Nak kata saya hanya berlakon drama tidak juga, sebab saya ada juga menerima tawaran untuk berlakon filem. Malah, tahun ini sahaja ada beberapa filem lakonan saya ditayangkan iaitu Sifu dan Tongga, Skrip 7707 dan Malaikat Maut.
"Apa yang penting tawaran lakonan untuk saya sentiasa ada. Saya sudah pernah bekerja di mana pendapatan bulanannya tetap. Berlakon pula pendapatannya tidak menentu, jika kita rajin rezeki banyak begitulah juga sebaliknya.
"Pelakon di negara ini bukan seperti pelakon di Hollywood yang berlakon satu filem sudah memadai kerana terlalu menjaga nilai eksklusif dan populariti yang ada pada mereka.
"Saya tidak takut jika orang kata berlakon drama membawa badi kerana saya percaya ia adalah rezeki pemberian Tuhan. Itu lebih baik daripada saya menolak rezeki kerana terlalu memilih," kata pasangan hos rancangan Roda Impian bersama Kieran di TV3 itu lagi.
Tahun depan, Fouziah bakal muncul dalam filem Dua Hati Satu Jiwa bergandingan dengan Yasmin Hani sebagai kembar siam.
Dua lagi tawaran filem yang menantinya ialah, Rasuk terbitan White Merpati Entertainment Sdn. Bhd., yang bakal memulakan pengambarannya pada pertengahan November ini serta Ratu arahan Professor Madya A. Razak Mohaideen yang memulakan pengambarannya Disember ini.
Antara drama-drama yang pernah dilakonkan oleh Fouziah ialah Sutera Maya, Spa Q 2, Kasihmu Di Bulan Ramadan, Kepulangan, Ibu Ampunkan Aku, Kala Rindu, Terlebih Sudah dan Kasih Tercipta.
Bakal ditayangkan tidak lama lagi di TV2 ialah Berikan Aku Kasih dan Banding.
Fouziah tidak 'kejar' lelaki kaya
Bakal menginjak ke angka usia 27 tahun pada tanggal 11 Disember ini, sengaja persoalan mengenai pasangan hidup diajukan kepada Fouziah.
Iyalah, orang cantik, berdikari dan mudah didekati, sudah pasti ramai jejaka di luar sana yang mengejar cintanya.
Mengakui ramai jejaka yang cuba mendekatinya namun, pesanan ibu, Sadali Ibrahim, 55, agar dia menjaga batasan pergaulan sentiasa terngiang-ngiang dan menjadi pegangan utuh buatnya sehingga kini.
"Saya tidak memilih. Kalau diikutkan memang saya boleh saja bercinta tetapi untuk mencari yang serasi dengan saya cukup susah.
"Kadang-kadang kalau dapat yang terlalu kaya pun, di kemudian hari menimbulkan pelbagai masalah tiada gunanya juga.
"Sekurang-kurangnya biarlah lelaki itu bekerjaya tetap dan apabila kerjaya saya sudah jatuh nanti masih ada rezeki buat saya.
"Saya percaya orang baru akan datang dalam hidup dan saya mahu tetapkan nawaitu dalam diri saya. Saya kalau boleh tak mahu ambil sebarang risiko. Perkahwinan sesuatu yang terlalu besar buat saya, apa yang saya impikan ialah perkahwinan yang sederhana dan berkekalan selamanya," kata Fouziah sambil tersenyum manis.
Sempat bertanya perihal perancangan masa depannya, kata Fouziah, selain ingin berjaya dalam bidang lakonan, dia merancang untuk membuka perniagaannya sendiri suatu masa nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: