Saturday, October 31, 2009

Bintang Slumdog Millionaire kaki ponteng


AZHARUDDIN MOHAMMED ISMAIL dan Rubina Ali dirakam menaiki teksi di Mumbai baru-baru ini.


MUMBAI – Dua bintang kanak-kanak filem Slumdog Millionaire, Azharuddin Mohammed Ismail dan Rubina Ali diberi kata dua bahawa mereka akan kehilangan elaun bulanan dan akaun tabung amanah jika berterusan ponteng sekolah, kata seorang pemegang amanah tabung berkenaan kelmarin.

Penyelaras tabung amanah tersebut, Noshir Dadrawala memberitahu, beliau kesal kerana Azharuddin dan Rubina yang masing-masing berusia 11 tahun dan 9 tahun, mencatat rekod kehadiran yang amat tidak memuaskan iaitu cuma 27 peratus.

“Tingkah laku mereka amat menyedihkan,” kata Dadrawala yang menyelaras tabung amanah Jai Ho susulan penubuhannya oleh penerbit Slumdog Millionaire untuk menyediakan pendidikan, elaun sara hidup dan perumahan kepada dua bintang kanak-kanak itu yang membesar di kawasan setinggan Mumbai.

Menurutnya, Azharuddin dan Rubina Ali melonjak popular selepas membintangi Slumdog Millionaire namun, jadual promosi yang ketat menjadi punca mereka kerap ponteng sekolah.

“Mereka berulang kali berkunjung ke luar negara seperti Paris dan Cochin. Kunjungan seperti itu boleh dilakukan pada hujung minggu namun, mereka tidak boleh sesekali mengabaikan pelajaran,” jelasnya.

Tambahnya, pihak pengurusan tabung amanah Jai Ho telah memutuskan akan memotong elaun bulanan setiap seorang sebanyak AS$120 (RM410) jika peratusan kehadiran mereka gagal melepasi tahap 70 peratus selain kehilangan dana amanah itu.

Sementara itu, ibu Azharuddin, Shameen Ismail berkata, anaknya kerap ponteng sekolah sejak dua minggu lalu kerana sukar dipujuk selepas kematian bapanya pada September lalu akibat penyakit batuk kering.

“Dia asyik menangis, oleh itu saya membiarkan dia berada di rumah untuk seketika,” katanya.

Namun, wanita itu turut berjanji akan memastikan bahawa perkara tersebut tidak akan berulang pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: