Saturday, October 31, 2009

Komuniti kecil Bukit Bendera




"Ramai juga pekerja kereta api yang bertemu jodoh di atas puncak Bukit Bendera dan membolehkan beberapa generasi mereka menetap dan mencari rezeki di sini.

"Hubungan ini diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Persatuan Penduduk Bukit Bendera yang menjaga kebajikan penduduk dan menjalankan pelbagai aktiviti," kata seorang peniaga, Norma Majid yang berkahwin dengan pesara kereta api Bukit Bendera, Ghazali Ibrahim, 73.

Menurut Norma, 51, penduduk Bukit Bendera kebanyakannya adalah petugas kereta api selain peniaga dan kakitangan kerajaan yang menguruskan destinasi pelancongan itu.

Kerajaan pada masa itu membina kuarters kepada pekerja kereta api yang membolehkan mereka membina komuniti penduduk yang merangkumi pekebun sayur di stesen tengah kereta api Bukit Bendera.

Tambah Norma, sebanyak tiga generasi keluarganya mencari rezeki di Bukit Bendera bermula daripada arwah bapanya yang bertugas sebagai polis selain suaminya yang bersara sebagai pekerja kereta api.

Selain itu, dua menantu Normah juga bertugas di atas Bukit Bendera sebagai anggota polis di Balai Polis Bukit Bendera dan pekerja kereta api.

Hubungan

Kata Norma, ada juga penduduk yang berkahwin berlainan kaum di Bukit Bendera bagi mengukuhkan lagi hubungan sesama mereka.

"Pada majlis perkahwinan anak saya dulu, jiran tetangga pelbagai kaum datang meraikannya dan membantu menyediakan hidangan pada hari bersejarah itu.

"Keakraban ini juga dapat dilihat setiap kali musim perayaan apabila semua kaum menyambutnya selain pelancong asing yang berkunjung ke Bukit Bendera," ujarnya yang telah 23 tahun meniaga di Bukit Bendera.

Biarpun berlainan kaum dan agama, kehidupan penduduk Bukit Bendera amat harmoni dan memiliki pertalian yang utuh antara satu sama lain.


PENGUNJUNG menaiki kereta api untuk ke Bukit Bendera.


Tinggal dalam komuniti kecil, hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India di puncak bukit peranginan setinggi 830 meter itu sungguh rapat dalam suasana kekeluargaan yang kukuh.

Malah itulah yang menjadi tarikan para pengunjung ke pusat pelancongan terkenal di Pulau Pinang sejak perkhidmatan kereta api dibuka di Bukit Bendera kira-kira 86 tahun lalu.

Mengikut sejarah, pusat peranginan itu dibuka oleh tentera British pada zaman kolonial selepas Francis Light mendarat di Pulau Pinang pada tahun 1786 yang kemudian membina sebuah rumah rehat untuk unit tentera pengibar bendera di sebuah kawasan yang dinamakan sebagai Bel Retiro pada tahun 1789.

Komunikasi

Dengan kedudukannya yang strategik, unit itu berkomunikasi dengan rakan mereka di Kubu Cornwallis, George Town menerusi bahasa isyarat. Mereka menggunakan bendera dan kerlipan cahaya bagi memberitahu ada kapal musuh yang datang ke perairan dan sebagainya.

Pada kurun ke-19, penjajah cuma membina banglo bagi para pegawainya untuk menghilangkan rasa rindu pada kampung halaman di England, sesuai dengan suasana hutan dan persekitaran ala Inggeris di puncak Bukit Bendera.

Ketika itu, untuk pergi ke puncak perlu melalui denai kuda dari air terjun di kaki bukit yang kini dikenali sebagai Kebun Bunga. Ia dibina oleh Light pada tahun 1788 dengan menaiki tandu yang diusung enam lelaki.

Selepas itu barulah landasan kereta api kabel dibina pada tahun 1897 dan siap menjelang tahun 1906. Kereta api itu mengguna konsep kereta api gunung Switzerland.

Perkhidmatan kereta api kabel pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara itu hanya bermula pada tahun 1923 dengan landasan sejauh lebih dua kilometer.

Penggunaan rel menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pusat peranginan tersebut sebagai tumpuan pelancong yang ingin menikmati pengalaman indah berada pada tahap kecerunan sehingga 45 darjah.

Pengunjung yang ingin ke puncak boleh menggunakan dua buah kereta api iaitu dari bahagian bawah ke bahagian tengah dan dari tengah ke puncak yang berada pada ketinggian 830 meter dari paras laut.

Kemudahan

Antara kemudahan yang terdapat di Bukit Bendera adalah balai polis, pejabat pos, masjid dan klinik selain gerai menjual makanan dan cenderamata.

Sementara itu, suami Norma, Ghazali yang bekerja sebagai petugas kereta api menjelaskan, ketika diperkenalkan koc kereta api yang diguna adalah koc kayu.

Koc itu kemudiannya ditukar kepada koc yang ada sekarang pada tahun 1978 dan ia boleh memuatkan 60 penumpang pada satu-satu masa.


PELANCONG asing tidak ketinggalan singgah di kedai cenderamata di Bukit Bendera.


"Dulu koc dibahagikan mengikut kelas iaitu kelas satu yang disediakan kusyen sebagai alas tempat duduk dan dikhaskan untuk isteri-isteri pegawai British dan golongan bangsawan.

"Koc kelas dua pula hanya dilengkapi kerusi kayu dan digunakan oleh rakyat tempatan serta pekerja asing," katanya.

Kini terdapat hanya sebuah koc asal itu di Bukit Bendera yang dikekalkan sebagai rujukan dan kenangan untuk tatapan pelancong asing dan tempatan.

Bagi A. Sathivel, 37, Bukit Bendera amat istimewa di hatinya kerana tiga generasi telah berniaga kacang putih di atas bukit itu.

"Ia bermula daripada bapa saya yang berniaga kacang putih di tepi jalan di atas tong sebelum saya mewarisinya di gerai ini.

"Saya juga seumpama kaunter maklumat pelancongan di Bukit Bendera kerana lokasi gerai yang strategik menjadikan gerai saya tumpuan para pelancong," katanya yang fasih berbahasa Arab hasil pergaulan dengan pelancong dari Asia Barat.

Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen bagaimanapun mengumumkan bahawa kereta api Bukit Bendera digugurkan daripada senarai ikon pelancongan negara tahun depan. Pengumuman itu menimbulkan kebimbangan kepada pencinta tanah tinggi itu khususnya masyarakat yang mendiaminya.

Pendapatan

Ini kerana sekiranya tiada perkhidmatan kereta api, pendapatan mereka pasti terjejas seandainya tiada pelancong yang naik ke puncak bukit itu.

Perkhidmatan kereta api itu akan dinaik taraf selepas Tahun Baru Cina tahun depan dan kerja-kerja itu mengambil masa sepuluh bulan untuk disiapkan.


PENGUNJUNG menikmati keindahan suasana di sekitar Bukit Bendera.


Sehubungan itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Bendera, M. Arunasalam mahu kerajaan negeri mengambil langkah proaktif membela nasib peniaga di Bukit Bendera agar pendapatan mereka tidak tersekat

Katanya, janganlah disebabkan tiada perkhidmatan kereta api maka kunjungan pelancong ke Bukit Bendera dihentikan dan ia ditinggalkan sehingga projek menaik taraf kereta api itu siap pada tahun depan.

"Kami akan berbincang dengan kerajaan negeri supaya mengadakan perkhidmatan jip untuk membawa naik pelancong dari laluan Kebun Bunga ke Bukit Bendera.

"Jika ada perkhidmatan ini, sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban peniaga selain memberi peluang kepada pelancong untuk terus menikmati pemandangan indah George Town dari puncak bukit itu," jelasnya.

Perkhidmatan kereta api itu pernah dihentikan sebanyak beberapa kali. Ini termasuklah selama lapan bulan pada 2004 dan enam bulan pada tahun lalu kerana kerosakan kabel.

Arunasalam juga mencadangkan supaya lebih banyak aktiviti diadakan di Bukit Bendera termasuk kursus ataupun perkhemahan untuk pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan serta swasta.

"Malah program mendaki Bukit Bendera juga perlu dianjurkan seperti yang pernah diadakan sebelum ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: