Saturday, October 31, 2009

Sekuel Mamma Mia! bakal menyusul


AMANDA SEYFRIED


FILEM muzikal Mamma Mia! yang ditayangkan tahun lalu sememangnya mengejutkan ramai pihak apabila mencatatkan kutipan sebanyak RM2.1 billion di seluruh dunia.

Biarpun menerima kritikan hebat, namun itu bukan satu halangan untuk peminat menonton filem lakonan Meryl Streep, Pierce Brosnan dan Colin Firth itu.

Filem yang diadaptasi daripada teater muzikal dengan judul yang sama itu diinspirasikan daripada lagu popular kumpulan Abba. Filem itu juga turut menampilkan kebanyakan lagu-lagu hits kumpulan berasal dari Sweden itu.

Ekoran daripada kejayaan luar biasa itu, khabar angin kini mula bertiup kencang apabila filem susulannya dikatakan sedang dalam pembikinan.

Ini diakui sendiri oleh salah seorang aktres filem tersebut iaitu Amanda Seyfried yang menyatakan, ada pihak yang memberitahunya pihak penerbit filem berkenaan sudah pun merangka jalan ceritanya.

“Apa yang saya tahu filem sekuel ini akan diterbitkan tetapi untuk saya ceritakan butiran lanjut mengenainya, maaf saya tidak tahu.

“Cuma, saya diberitahu filem ini kelak tetap akan menampilkan lagu-lagu Abba kerana filem ini tidak berjiwa jika tiada lagu-lagu kumpulan itu,” kata Seyfried dalam satu temu ramah dengan BBC Radio 1 baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, filem terbaru lakonan Seyfried bersama Megan Fox iaitu Jennifer's Body kini sedang hangat ditayangkan di pawagam tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: