Thursday, October 29, 2009

Elak pisang berbuah dua kali




TUHAN pernah menduga dan menguji Dynas apabila anak sulungnya Emma Malissa lebih dulu meninggalkan dunia tanggal 10 April lalu tanpa sempat merasai nikmat kehidupan. Dalam ketabahan penyandang gelaran Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama dua tahun berturut-turut itu melalui hari mendatang, si tinggal lampai ini juga tidak lepas dengan usikan yang mencalar hatinya.

Timbul tuduhan yang dilempar mulut tak berinsurans kononnya pelakon bernama penuh Wan Intan Edrinaz Wan Mokthar itu menggugurkan kandungan anaknya yang dikatakan lahir tidak cukup sifat sedangkan hanya empunya badan yang tahu kebenarannya. Enggan terus membiarkan kisah lara itu terus bersarang di hatinya, Hip cuba mengalih cerita itu kepada khabar yang kembali menggembirakan hatinya.

Bak kata pepatah lama, yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti. Lalu, tidak hairan ketika ini, senyuman bagaikan tidak lekang di bibirnya apabila disahkan mengandung lagi. Usia kandungan Dynas kini sudah mencecah empat bulan dan dia hanya mendapat tahu sejak sebulan lalu. Rupa-rupanya duka yang ditanggung tidak berpanjangan kerana ada sinar baru menantinya di kemudian hari.


“Bonus buat saya kerana Allahyarham anak sulung menunggu saya di syurga. Kini, saya terus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana diberi peluang sekali lagi untuk kembali merasai nikmat bergelar ibu mengandung. Pada mulanya memang saya takut dengan berita ini kerana terdetik juga rasa bimbang perkara lama berulang kembali.

“Mulanya memang saya malas nak kecoh kerana usia kehamilan ini masih terlalu awal. Tak tahu sama ada akan melekat lagi ke tak kali ini. Banyak perkara bermain di minda saya. Bayangkan kawan keluarga pun hanya dimaklumkan perkara ini selepas dua bulan. Tak sangka, ia mula dihidu media,” katanya ketika dihubungi Hip baru-baru ini ketika sedang menjalani penggambaran drama sekuel Di Bawah Ketiak Isteri.

Ketika ini, penggambaran drama itu akan berlanjutan hingga ke bulan depan. Selagi berdaya dan kuat, dia akan mempertimbangkan mana-mana tawaran berlakon yang datang. Dalam takut untuk terus bergiat aktif ketika berbadan dua, doktor sendiri turut mengesyorkan untuk tidak hanya duduk berehat di rumah saja.



“Suami saya (Mohd Hafizy Mohd Hafiz) sendiri tidak mahu saya bekerja lagi. Dialah yang paling teruja apabila mendapat tahu saya mengandung lagi. Bertuah juga saya kerana perhatian suami berganda. Saya dilayan dan ditatang bagaikan minyak yang penuh.

“Malah, dia sempat berpesan kepada Farahdhiya yang turut berlakon dalam drama Di Bawah Ketiak Isteri 2 untuk mengawasi saya di set penggambaran. Saya juga sedar apa juga yang dilakukan kini perlu dilakukan dengan lebih berhati-hati supaya pisang tidak berbuah dua kali,” katanya.

Malahan ketika di lokasi penggambaran pun pemenang Anugerah Gaya Terbaik, Shout Awards! 2009 ini dilayan bagaikan anak raja di kalangan pihak produksi dan pelakon drama itu.

“Kadang-kadang apabila leka berlakon, saya hampir lupa yang saya kini mengandung. Kenchana Dewi antara yang banyak memberikan nasihat dan semangat untuk saya supaya tidak membuat kerja yang terlalu berat. Sebagai ibu kepada tiga anak, Kenchana semestinya berpengalaman dalam selok belok bergelar ibu.


“Pihak produksi pun lebih banyak bertolak ansur dengan saya. Mereka memahami dan saya juga sentiasa diizinkan pulang awal. Kalau nak berehat pun mereka tak kisah selagi saya masih boleh memberi tumpuan melunaskan baki penggambaran drama itu,” katanya lagi.

Kata Dynas, selain sibuk berlakon, butik DnA Celebrity Style yang dimilikinya bersama Awal Ashaari juga dalam proses untuk berpindah tempat. Masih di bangunan yang sama di Desa Sri Hartamas, butik itu akan dipindahkan dari tingkat atas ke tingkat bawah.

“Insya-Allah, kalau ada masa, kami bawa barang sikit-sikit turun ke bawah. Mungkin awal tahun depan, saya dan Awal akan betul-betul memberikan tumpuan kepada proses memindahkan barang ini,” katanya ringkas.

Tak lupa peminat

SELEPAS menempa kejayaan di ABPBH dan demi menghargai peminat yang begitu setia menyokongnya, pelakon yang mula meledak menerusi drama Susuk itu terdetik mahu mengadakan satu majlis bertemu peminat. Sepatutnya acara ini sudah diadakan, namun dengan kesibukannya berlakon termasuk kembali berbadan dua, tarikhnya masih belum dapat ditetapkan.

“Saya sedang merancang sebuah majlis yang lebih intim meraikan peminat dan rakan media. Perancangan itu yang sedang berlegar-legar di dalam fikiran saya ketika ini. Selepas menang dua kali di ABPBH saya rasa tiba masanya untuk saya melakukan sesuatu bagi menghargai mereka.

“Peminat juga boleh membuat komen di dalam blog atau secara e-mel, sama ada patut atau tidak saya meneruskan hajat ini. Peminat boleh berbuat demikian dengan melayari www.dynasmokhtar.blogspot.com. Insya-Allah, majlis ini akan diadakan juga, namun dengan keadaan saya begini, saya belum mampu memberi kata putus,” katanya mengakhiri perbualan.

INFO: Dynas

  • Nama Penuh: Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar
  • Tarikh Lahir: 8 Mac 1983
  • Asal: Petaling Jaya, Selangor
  • Pendidikan: Diploma Komunikasi Massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
  • Pencapaian: Pelakon TV Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007 dan 2008.
  • Suami: Mohd Hafizy Hafiz, 37, (Berkahwin pada 15 Mac 2008).
  • Drama: Susuk, Di Bawah Ketiak Isteri, Ezora, Ai Di Beijing, Julia Juli.
  • Filem: Impak Maksima, Haru Biru, Kayangan, Apa Kata Hati.
  • Laman web D&A: Celebrity Style: www.dna.com.my (boleh dibeli secara online).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: