Faradhiya beranikan diri terima dua tugasan dalam satu masa
BERKULIT putih gebu dan lahir dalam keluarga berdarah campuran serta diiringi bakat yang boleh terus digilap, nama Farahdhiya dilihat antara yang terus memberi kesinambungan kepada kehadiran bakat pelapis dalam dunia lakonan.
Penyanyi lagu Bertakhta Di Hati Ini yang mesra disapa dengan panggilan Farah, sebenarnya cukup bertuah kerana terus mewarnai industri seni tanah air.
Satu demi satu siri drama dan telefilem dari pelbagai produksi memberi kepercayaan kepada Farah membuktikan bakatnya tidak boleh dipandang mudah. Malahan, dengan peluang lakonan yang semakin berkembang, dia mula memberanikan diri untuk menerima dua tugasan berlakon dalam satu masa. Ketika ini, dia sedang bijak membahagikan masa untuk dua drama.
Pada peringkat awal memang ia dianggap sebagai 'kerja gila'. Dalam nada berseloroh lagi, keretanya kini sudah seperti almari baju yang bergerak kerana penuh dengan pakaian yang dipakai untuk penggambaran drama. Ketika ini, dia sedang rancak menjalani penggambaran drama Spa Qistina musim ketiga dan Di Bawah Ketiak Isteri musim kedua.
"Pada mulanya takut juga untuk menerima dua kerja dalam satu masa. Tapi Alhamdulillah setakat ini ia masih terkawal. Harapnya ia tidak akan menimbulkan masalah. Farah bersyukur dengan rezeki yang datang ini, malah ada juga tawaran lain yang datang serentak terpaksa ditolak," katanya.
PELAKON ini mengakui sudah agak lama tidak bertemu teman baiknya, Zizie Ezette. |
Melalui beberapa drama seperti Spa Q musim pertama dan kedua serta Ku Milikmu, umum juga tahu watak wanita terkinja-kinja sering dilabelkan kepadanya hingga mula dibenci peminat gara-gara karakter sedemikian. Dibenci bererti dia sebenarnya berjaya membawa watak yang diharapkan itu dengan baik.
Dalam usaha mencipta kepelbagaian itu, dia diberi peluang buat pertama kali berlakon genre komedi iaitu Di Bawah Ketiak Isteri. Menerusi drama itu, dia memegang watak Siti. Drama Di Bawah Ketiak Isteri memberi cabaran baru kepadanya. Malah tidak langsung terlintas di hati untuk lari daripada watak yang sering dibayanginya.
"Farah tidak menyangka untuk berlakon watak komedi. Tapi sekurang-kurang watak ini dapat mengubah sedikit persepsi penonton bahawa Farah juga boleh mencuba watak lain. Selepas ini, Farah nak berlakon cerita seram pula.
"Untuk watak Siti (dalam drama Di Bawah Ketiak Isteri), Farah digandingkan dengan Ropi Cecupak, jadi suami Farah. Memang agak mencabar watak ini kerana berlakon dengan orang yang suka berlawak memang sepanjang masa.
"Tapi apapun, Farah hargai peluang ini kerana ia satu perkara baru. Bukan senang sebenarnya nak memegang watak komedi," katanya yang berhasrat untuk memakai pendakap gigi untuk bahagian gigi bawah tak lama lagi.
Mengenai Spa Qistina pula, watak Julia masih menjadi miliknya. Menurutnya, biarpun drama terbabit sudah berubah siaran dari TV3 ke stesen berbayar, Astro, dia berharap peminat dan pengikut setia siri popular ini akan terus memberi sokongan padu.
Katanya lagi, selepas meneliti skrip musim terbaru ini, watak Julia akan semakin mengganas.
Ditanya mengenai perubahan watak Qistina yang kini disandang oleh Nanu Baharuddin menggantikan Norish Karman, Faradhiya berkata, dia tidak menghadapi masalah untuk bekerja dengan sesiapa. Umum sudah mengetahui mengenai hubungan Norish dengan abang Faradhiya.
"Hubungan Farah dengan sesiapapun tiada kaitan dengan kerja. Biarpun dia (Norish) sudah tidak lagi bersama Spa Qistina, kami masih okey. Dulu pun, Farah pernah dengar ada ura-ura kononnya kami bergaduh.
"Farah tidak mahu lagi cakap cerita lama. Kami tidak ada masalah dan dengan sesiapapun abang saya berkawan, ia bukan urusan Farah. Kami pernah keluar bersama, ke gim dan makan-makan," kata Farah yang cuba membezakan watak dua drama terbabit dengan memakai rambut palsu untuk drama Spa Qistina dan menggunakan rambut sendiri untuk Di Bawah Ketiak Isteri.
Menyanyi tidak ditinggalkan
MENGENAI kerjaya nyanyian, Faradhiya menjelaskan bidang itu tetap menjadi keutamaan dan tidak ditinggalkan walaupun sibuk dengan tawaran berlakon.
Malahan single pertama, Renyai ciptaan Tam Spider akan muncul tak lama lagi. Namun, kesibukannya berlakon memang sedikit sebanyak membuatkan tumpuannya terhadap bidang itu mula renggang.
"Bukan soal menyanyi saja, malah kerana setiap hari berada di lokasi penggambaran, Farah sudah merindui sesi memanjakan diri. Bayangkan masa dengan kekasih Farah pun tak menentu. Dia pun baru bertukar kerja, lalu masing-masing sibuk dengan agenda kerja.
"Tapi, Farah sendiri takkan jadikan alasan sibuk untuk tidak berjumpa dengannya. Cuma biasalah kalau berjumpa sesekali, Farah seperti hilang tenaga kerana penat berlakon. Mungkin ini pengorbanan yang harus dilakukan. Farah sendiri tidak percaya kepada cinta yang dijarakkan atau berjauhan setiap masa," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: