| Pereka fesyen terkenal Rizalman Ibrahim dan jurusolek Zulfazli Suhadi kini makin hangat apabila diberikan tugas sebagai agen untuk mengubah penampilan dan gaya baru individu terpilih dalam program Tangkap Muat kelolaan mereka bersama Sarimah Ibrahim di Astro.
Lebih hangat apabila kritikan mula dilemparkan dengan alasan mereka memperlekehkan peserta ketika baru bersiaran sebanyak dua episod. Itu petanda bagus atau tidak sihat?
Rizalman dan Zulfazli ada alasan tersendiri apabila cara mereka mengendalikan program itu mula mendapat kritikan dan teguran. Ada peminat yang mengirimkan pesanan ringkas kepada pihak media dengan kata-kata tidak manis mengkritik Rizalman dan Zulfazli.
"Biasalah... apabila kita muncul dengan cara penyampaian baru, orang akan terkejut dan berasa kekok. Sebenarnya program ini juga ada unsur pendidikan, baik kepada peserta serta kepada penonton.
"Kita biasa menegur kawan-kawan kita dengan kritikan sedemikian dalam perbualan seharian, tapi ia tidak dirakam dan tak ada yang jadikan isu. Sebenarnya itulah cara kita seharian pun. Kita selalu tegur kawan kita dengan berkata... eh fesyen baju kau ketinggalan zamanlah," kata Rizalman.
Rizalman juga percaya lama kelamaan apabila penonton sudah terbiasa mereka tidak mudah melenting dengan cara mereka mengendalikan program itu.
"Kami mengajar dengan cara itu... kita sudah ada banyak program bual bicara yang memberitahu penonton secara langsung apa yang kena dan apa yang tak kena dengan penampilan seseorang di kaca TV.
"Sejak tahun-tahun 70-an lagi sudah ada program sebegitu dan program kami lari daripada cara itu, namun tujuannya sama, iaitu kami mendidik sebab itu penonton terkejut dengan cara ini. Kami sebenarnya menyampaikannya secara bersenda bukannya memperbodohkan peserta," sambung Rizalman.
Dapat hadiah daripada peserta
Zulfazli juga berkongsi cerita kegembiraan peserta selepas rakaman tamat. Mereka juga masih dihubungi peserta untuk bertanyakan sesuatu pasal kecantikan.
"Jangan tak tahu... kami juga menerima hadiah daripada peserta yang berterima kasih kepada kami kerana mereka mula sedar apa yang mereka tidak tahu selama ini. Kalau mereka memarahi kami dan tak berkenan dengan cara kami, takkan mereka memberikan hadiah pula," kata Zulfazli.
Zulfazli juga berpendapat, orang yang mengirimkan pesanan ringkas kepada pihak media dengan mengutuk mereka sebagai orang yang terasa pedas dengan apa yang dipaparkan.
"Mungkin dia juga sama dengan apa yang kami paparkan... misalnya ambil mudah soal kecantikan, tak suka mengemas dan sebagainya, sebab itulah dia marah-marah apabila perkara itu dipaparkan," kata Zulfazli.
|
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: