DUNIA kecantikan dengan pelakon Haryati Hamzah atau Yatt bagaikan tidak mampu dipisahkan lebih-lebih lagi dia merupakan seorang model dan pelakon yang mementingkan penampilan agar sedap dipandang.
Jelas Yatt yang kini sedang hamil enam bulan, tiada alasan yang mampu diberikan untuk dia mengabaikan kecantikan.
Jika dia sudah bersalin dan beranak pinak sekalipun, Yatt akan cuba memastikan dirinya berada dalam keadaan cantik, bersih dan kemas.
“Saya bergelar selebriti, jadi saya perlu menjaga kecantikan luaran dan dalaman. Kiranya kecantikan itu bukan sekadar mekap sahaja.
“Jadi, apabila saya tidak sibuk dengan kerja, saya akan belajar cara untuk bersolek dengan menghadiri majlis berkaitan demonstrasi bersolek dan kecantikan atau melalui jurumekap artis seperti Tiar Zainal.
“Ia memudahkan saya kerana jika jurusolek artis tiada, sekurang-kurangnya saya boleh buat sendiri,” katanya ketika menghadiri majlis ‘The Beauty Art Make-up Competition Asean 2009’ anjuran Shu Uemura di Pavillion, Bukit Bintang, pada Rabu lalu.
Menurut Yatt yang hadir sebagai tetamu Shu Uemura ditemani rakan baiknya, model TV komersil Azwani Abu Hashim, dia menggunakan produk jenama itu seperti ‘Cleansing Oil’ (pembersih mekap), ‘depsea water’ (penyegar muka) dan ‘eyelash adhesive’ (pelekat bulu mata) sejak dua tahun lalu.
“Saya memang obses dengan bulu mata jadi sebab itu saya memilih pelekat bulu mata Shu Uemura dan pembersih mekap sebab ia akan mencuci mekap saya hingga bersih.
“Saya suka datang ke majlis pertandingan mekap seperti ini kerana sebelum ini selalunya kita lihat hasil selepas mekap tetapi dalam pertandingan ini kita dapat melihat dari awal cara untuk mekap.
“Jadi, saya dapat praktikkan untuk pertunjukkan fesyen nanti,” ujarnya yang mula bersolek tebal sejak memulakan kerjayanya dalam industri seni ini iaitu berusia 24 tahun.
Hamil tidak halang untuk aktif berlakon
Walaupun sedang mengandung enam bulan, Yatt berkata dia masih sibuk berlakon tetapi tidak semua tawaran yang diterima atas nasihat suami, pengurus sebuah pusat rekreasi, Abdul Mutalib Abdul Shukor.
“Suami saya selalu nasihatkan supaya tidak terlalu aktif kerana takut komplikasi tetapi saya tetap aktif dan agresif seperti biasa.
“Buat masa ini saya perlu memilih watak juga bersesuaian dengan keadaan sekarang.
“Sekarang, saya sedang berlakon drama 13 episod ‘Fitrah Wanita’ di samping pelakon Catriona Ross, Sabrina Ali dan Siti Fazurina.
“Saya memegang watak seorang peguam dan ibu kepada dua orang anak. Ini merupakan kali pertama saya berlakon sebagai ibu dan kebetulan produksi mencari pelakon yang sedang mengandung,” katanya yang biasanya melakonkan watak stereotaip seperti remaja yang ‘gila-gila’ dan pelajar.
Yatt dijangka bersalin pada awal Februari depan dan setakat ini dia memikirkan untuk bersalin di Hospital Ampang Puteri.
“Sebagai persediaan, saya banyak membaca buku tentang cara untuk menjaga kandungan dan menjadi seorang ibu. Begitu juga dengan suami saya yang turut membaca buku sebagai persediaan untuk bergelar bapa.
“Selain itu, saya juga banyak bertanya petua dengan orang yang berpengalaman dan orang tua serta membanyakkan mendengar dan membaca ayat suci al-Quran untuk memudahkan waktu bersalin nanti,” akhiri wanita berusia 29 tahun ini.
Yatt dan Talib bernikah pada 29 Mac lalu di Seremban.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: