Friday, October 30, 2009

Peluang akhir Manohara 5 November lantik peguam




KUALA LUMPUR - Manohara Odelia Pinot diberi peluang terakhir sehingga 5 November depan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam bagi melantik peguam baru jika tidak mahu dikenakan penghakiman ingkar dalam kes saman RM105 juta oleh suaminya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Ismail Petra.

Timbalan Penolong Pendaftar, Shazali Hidayat Shariff menetapkan tarikh tersebut di kamarnya selepas dimaklumkan peguam Noor Hisham Abdullah bahawa pihaknya telah menyerahkan dokumen perintah penarikan diri daripada kes itu kepada Manohara.

Noor Hisham dari Tetuan Fakhrul Hisham Abdullah & Associates merupakan firma guaman yang dilantik Manohara, 17, dan ibunya Daisy Fajarina untuk mewakili mereka dalam kes saman sivil tersebut.

Namun, pada 25 September lalu, firma tersebut mengemukakan permohonan penarikan diri sebagai peguamcara Manohara dengan alasan sukar bekerjasama dengan anak guam kerana urusan kes hanya melalui pengantara dilantik mereka.

Peguam Mohd. Haaziq Pillay yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, 31, ketika ditemui media berkata, tarikh akan datang ditetapkan bagi memberi peluang terakhir kepada anak beranak itu membuktikan fitnah mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: