PERANAN media kepada masyarakat lebih sekadar menyampaikan berita. SS tertarik berkongsi cerita bagaimana media dapat layanan setiap kali bertugas. |
Mungkin tidak ramai yang tahu, media iaitu wartawan dan jurugambar yang hadir pada sesebuah acara bukan sekadar suka-suka tetapi menggalas tanggungjawab besar sebagai wakil dan perantara kepada masyarakat.
Baru-baru ini, rakan media termasuk rakan SS yang juga wartawan akhbar bahasa Malaysia nombor satu ini hadir pada Majlis Penghargaan Finas sempena Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang diadakan di Finas, Hulu Klang, Selangor.
Mulanya rakan SS cukup bersemangat untuk hadir pada acara itu kerana beranggapan ia adalah acara penghargaan Finas yang tentunya memberi 'sesuatu' sebagai tanda terima kasih mereka atas sokongan media pada FFM22 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah pada 5 hingga 8 Ogos lalu.
Kata rakan SS, acara berlangsung dalam suasana meriah dengan ramai jemputan termasuk Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Iliyas Ibrahim yang hadir pada malam itu. Tetamu turut dijamu dengan aneka juadah yang menyelerakan.
Namun, ketika acara seterusnya iaitu majlis penyampaian sijil dibuat, rakan SS yang menjamah makanan yang disediakan tiba-tiba menjadi kurang berselera.
SS ingatkan makanan yang dijamu tidak sedap rupanya rakan SS tadi 'makan hati' bila nama media tidak dipanggil untuk terima sijil penghargaan.
Bukan hanya rakan SS yang tertanya-tanya melihat situasi ini tetapi SS juga hairan mengapa perkara sebegini boleh berlaku pada acara sebesar ini.
FFM22 berlangsung dengan jayanya atas sokongan dan publisiti media. SS fikir sepatutnya majlis sebegini turut menghargai media dan tidak hanya memandang ahli jawatankuasa yang terbabit semata-mata.
Media bukan terlalu mengharap sijil penghargaan yang ingin diberikan tetapi sekurang-kurang ada tanda ingatan terima kasih pada usaha media sebelum ini yang banyak memberi liputan pada FFM22.
Malah sebelum ini Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim turut beri penghargaan pada semua wartawan dari setiap penerbitan dalam satu majlis khas.
Mungkin Finas tidak sedar situasi ini mengguris perasaan media yang hadir. SS cuma berharap perkara ini dijadikan iktibar pada pihak lain yang berinteraksi dengan media agar lebih berhemah umpama orang berbudi, kita berbahasa, orang memberi kita merasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: