"Biasalah kerana saya belum menyesuaikan diri lagi dengan dunia artis. Kini saya masih mencuba tetapi keadaan sudah bertambah baik" – WANA
MENJUARAI program realiti pencarian bakat nyanyian, My Starz LG 2 pada Februari lalu, Wana barangkali masih kurang mendapat perhatian ramai berbanding penyanyi baru lain yang dilahirkan menerusi program realiti berbeza.
Bukannya langsung tidak dikenali, tetapi populariti yang dirasai Wana tidak sehebat fenomena yang dicipta peserta program realiti lain. Namun, nasibnya mula melihatkan perubahan apabila album sulungnya, Siapa...? dilancarkan pada 11 Ogos lalu.
Dijual di pasaran seminggu kemudian, single pertamanya, Orang Biasa juga membantu menambahkan rezeki Wana. "Selepas menang My Starz LG 2, memang ada orang yang mengenali saya. Tapi selepas itu saya senyap selama enam bulan untuk proses membikin album pertama.
"Dalam jangka masa itu, ramai yang sudah melupakan siapa Wana. Nasib baik sebaik sahaja album saya dilancarkan, lebih ramai lagi orang mengetahui kewujudan saya dalam industri," kata Wana ketika hadir ke Studio Utusan, baru-baru ini.
Selain bergantung kepada penerbitan album, hadiah kemenangan Wana dalam My Starz LG 2 yang merupakan kontrak rakaman bersama Warner Music juga telah mengubah nasib penyanyi berusia 23 tahun itu dalam industri muzik tempatan.
"Selepas keluar daripada My Starz LG 2, saya sudah kekurangan promosi. Jadi saya berasa amat bertuah untuk berada di bawah payung Warner Music.
"Bayangkan penyanyi baru seperti saya berpeluang untuk berada dalam syarikat rakaman yang hebat. Mereka yang banyak membantu dalam mempromosikan saya," tambahnya yang menandatangani kontrak selama setahun bersama Warner Music sejak April lalu.
Dua bulan menemui peminat, Wana akui penjualan albumnya agak lembap tetapi jualan muat turun single pertamanya, Orang Biasa pula amat memberangsangkan.
"Mungkin kerana lagu itu dihasilkan dengan genre pop reggae, ia berjaya menarik perhatian ramai. Lagipun tidak ramai penyanyi wanita kita yang menyampaikan lagu reggae.
"Tapi apa yang menyedihkan, tidak ramai yang membeli album. Mereka lebih suka muat turun lagu tersebut. Tiada apa yang boleh dibuat sebenarnya kerana muat turun adalah trend terkini."
Memuatkan lima buah lagu, Wana memberitahu album itu merupakan percubaan pertamanya sebagai penyanyi baru. Memiliki asas dalam nyanyian serta tarian kerana sering membuat persembahan di kampung halamannya, di Johor Bahru, Wana kini menetap di Sri Damansara bersama emak saudaranya.
Berpuas hati dengan hasilnya, Wana sebenarnya pernah terfikir untuk kembali menyanyi di Johor jika kariernya di sini tidak mampu berkembang.
"Kini semuanya bergantung kepada penerimaan orang ramai terhadap lagu saya. Bukannya saya tidak yakin dengan kedudukan saya tetapi dalam dunia seni suara sekarang, ramai penyanyi baru yang berbakat.
"Jika mahu bertahan lama, saya perlu bekerja keras. Saya mahu dikenali ramai dan ingin menjadi penghibur yang berjaya. Impian saya adalah menjadi seorang penghibur di atas pentas dan itu yang perlu banyak saya pelajari lagi," kata anak kedua daripada tiga adik-beradik itu.
Mempunyai minat dalam nyanyian sejak kecil, Wana bagaimanapun hanya pernah menyertai koir sekolah. Dia yang kemudian bekerja di firma peguam berhenti selepas mahu menyanyi sepenuh masa. Ketika itulah Wana secara kebetulan menemani kawannya untuk menghadiri sesi uji bakat My Starz LG 2.
"Sebenarnya saya hanya menemani kawan tetapi dia suruh saya mendaftar sama. Tapi rezeki berpihak kepada saya kerana dia tidak dipilih. Saya tidak berniat sebenarnya untuk menyertai program itu. Siapa tahu saya akan menang," senyum Wana yang gembira walaupun penat bekerja.
Menyukai hidup bujang, Wana kini hanya mahu memberi fokus sepenuhnya kepada karier. Katanya, selagi dia tidak mencapai apa yang dikehendaki, dia mahu kekal bujang. Lagipun dirinya kini masih muda.
Wana juga memberitahu dia seorang yang pemalu dan penakut terutama apabila berjumpa dengan orang baru. "Mula-mula saya menjadi penyanyi, saya berasa janggal untuk bercampur dengan artis lain yang sudah popular.
"Biasalah kerana saya belum menyesuaikan diri lagi dengan dunia artis. Kini saya masih mencuba tetapi keadaan sudah bertambah baik. Memang ia akan mengambil masa lebih lama kerana saya tidak pernah tinggalkan keluarga untuk berada di tempat asing. Nasib baik ibu bapa saya sentiasa memberi sokongan."
Ada menerima tawaran berlakon dalam drama, Wana bagaimanapun menolak semua kerana merasakan dirinya masih belum bersedia. Buat masa ini dia sedang sibuk menjalankan promosi jelajah albumnya dan sudah melawat Kuantan, Pahang, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Alor Setar, Kedah dan Taiping, Perak.
"Jika saya ada masa terluang, saya akan cuba berlakon kerana semasa di Johor dulu, saya ada berlakon dalam teater. Sekarang selain sibuk dengan promosi album, saya juga perlu menyertai My Starz LG musim ketiga pada konsert pertama dan menjadi memberikan nasihat kepada peserta," ujarnya.
Bagi mereka yang ingin muat turun lagu-lagu Wana, anda boleh berbuat demikian dengan melawat laman sosial, Facebook dengan mencari nama Wana My Starz LG selain e-mel kepada nawty_wana@yahoo.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: