Thursday, October 29, 2009

Cinta Untuk Di Lelong?

Agak janggal bila mendengar cinta seseorang untuk dilelong seperti di pasar pula. Bagaimana cinta boleh dilelong sedangkan ianya datang dari hati yang tulus suci?


Itulah yang menjadi keistimewaan telefilem bersiri arahan Micheal Ang yang cuba memaparkan realiti mengenai persaingan antara peniaga di pasar basah bagi mendapatkan pelanggan. Namun, terdapat persoalan yang tersirat dalam cerita penuh elemen kehidupan ini. Persoalan mengenai impian mendapatkan pasangan sempurna di dalam hidup yang tidak selalunya indah.

Cinta Lelong membariskan pelakon handalan seperti Erra Fazira dan Aaron Aziz mengisahkan Emma (Erra) terpaksa membantu bapanya di kedai pasar basah bagi mendapatkan duit bagi melunaskan hutang daripada pemiutang haram. Pelbagai cara dilakukan untuk melariskan perniagaan sehingga sering bertengkar dengan jiran kedainya, Azrul (Aaron Aziz).

Emma bernekad untuk berkahwin dengan lelaki yang sempurna agar hidupnya tidak lagi ditimpa musibah dan seboleh-bolehnya mengelakkan perasaan cinta kepada Azrul walaupun sedar keduanya telah jatuh hati. Pelbagai kejadian menimpa sehingga menyebabkan Emma meninggalkan pasar tersebut dan membuatkan Azrul menyesal kerana tidak meluahkan perasaannya kepada Emma. Adakah Azrul dan Emma akan bersama?

Bagi Micheal Ang, idea untuk telefilem ini muncul apabila melihat suasana pasar di sekitar Taman Tun Dr Ismail di mana keadaannya begitu tersusun. Masyarakat Melayu dengan jualan daging, India dengan rempah dan Cina dengan jualan sayur. Ianya cukup tepat untuk menggambarkan kehidupan satu Malaysia yang sebati dalam kehidupan kita.

"Saya tengok walau pelat atau tidak begitu fasih berbahasa Melayu, namun masyarakat kita tetap akan menggunakannya untuk berkomunikasi. Inilah perfect view of 1 Malaysia," ujarnya.

Drama ini turut menampilkan Vanessa Chong dan Kanchana Devi dan juga Engku Emran sebagai penampilan istimewa dalam telefilem ini. Saksikan Cinta Lelong arahan Micheal Ang dari Box Lite Film yang juga penerbit Gugu Gaga Erra setiap Jumaat bermula 30 Oktober ini jam 9.30 malam di saluran Astro Ria (saluran 104).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: