Friday, October 30, 2009

'Ratu' jumpa pulau di Sabah


SIAPAKAH lapan heroin baru bakal membintangi filem Ratu, belum diputuskan lagi, tetapi Lineclear Motion Pictures (LCMP) Sdn Bhd sudah mengenal pasti beberapa lokasi menarik untuk filem kesembilan syarikat produksi itu.

Selain Kuala Lumpur dan Putrajaya, tidak mustahil beberapa pulau indah di Sabah akan menjadi lokasi penting filem terbaru arahan Prof A Razak Mohaideen itu berikutan 'lampu hijau' diberi Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun hasil pertemuan singkat kedua-dua pihak di Kota Kinabalu (KK), baru-baru ini.

Ketika ditemui Razak berkata, kunjungannya ke KK tempoh hari selain mencernakan integrasi nasional, pada waktu sama bagi menuntut janji kerajaan negeri ketika menjadi tuan rumah Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) untuk membantu produksi tempatan daripada segi logistik jika menjadikan negeri di bawah bayu itu lokasi drama atau filem.

"Dalam filem Ratu banyak adegan membabitkan pulau. Sudah pastilah pulau yang cantik dan boleh merangsang pesona mata menjadi pilihan, lalu yang terlintas di fikiran saya adalah rangkaian pulau indah di negeri Sabah.

"Kebetulan ketika FFM22 berlangsung buat julung kali di KK pada Ogos lalu, kerajaan negeri membuka pintu pada produksi tempatan dan pihak LCMP mengambil inisiatif bagi merealisasikan janji kerajaan negeri itu," katanya.

Pertemuan Razak dengan Masidi turut disertai Presiden Gabungan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Ahmad Puad Onah, Eksekutif Produser LCMP, Abd Latiff Mohaideen, Pengurus Pengurus Besar Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Datu Rosmadi Datu Sulai, Pengarah Komunikasi Pelancongan Sabah, Hana S. Harun dan Penolong Pengarah Pemasaran Pelancongan Sabah, Zarinah Amiludin.

Bagi Razak, informasi awal diberi Masidi membantu kerja kreatifnya sebelum memulakan penggambaran hujung November dan pertengahan Disember di negeri itu.

"Saya diberitahu satu lokasi di mana terdapat hutan persendirian seluas 64 hektar menempatkan tiga orang hutan.

"Pemandangan indah di lokasi itu jelas apabila tiga gunung iaitu Kinabalu, Murut dan Tambayukon boleh kelihatan.

"Mendengar cerita itu membuat saya teruja," katanya.

Bukan sekadar janji kosong kata Razak, kesungguhan kerajaan negeri jelas apabila dua pegawai Pelancongan Sabah, Abdul Latif Abd Majif dan Stephen Rampangajaum membawa unit produksi LCMP ke beberapa pulau persekitaran Sabah seperti Pulau Gayana, Pulau Manukan dan resort ekslusif Bunga Raya di Pulau Gaya yang baru beroperasi Ogos lalu.

"Di Pulau Gayana kami diberi peluang menaiki bot mewah, di mana dalam Ratu ada adegan dalam bot mewah. Keindahan Bunga Raya Resort dengan prasarana menarik sukar untuk diluahkan namun pihak kami akan membuat susulan sebelum memutuskan pulau mana menjadi lokasi Ratu," katanya.


Ibarat sambil menyelam minum air kunjungan ke KK, selain bertemu Masidi, unit produksi LCMP mengadakan uji bakat pencarian Ratu selama dua hari di 1 GSC, 1 Borneo.

Lebih 100 remaja hadir sesi uji bakat itu dan LCMP mengenal pasti tiga gadis Sabah berpotensi diserap dalam Ratu. Sesi uji bakat pencarian lapan ratu untuk filem Ratu diteruskan pada hari ini dan esok (Jumaat & Sabtu ) di GSC, Pavilion, Kuala Lumpur, sementara Ahad di GSC Pelangi Leisure Mall, Johor Bahru, Johor pada 1 November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: