|
|
|
|
KUALA LUMPUR - "Ini yang terbaik, minta maaf jika selama ini saya berbohong, saya sengaja pilih tarikh ini untuk bercerai, lagipun dia sudah kahwin lain, cukuplah."
Demikian ujar dramatis, Noorakma Yunus (gambar) atau dikenali sebagai Emma Akma dalam deraian air mata setelah Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini semalam mengesahkan perceraian kali ketiga iaitu talak ba'in kubra dengan bekas suaminya, seorang editor akhbar tabloid.
Emma, 40, sebelum itu menyatakan rasa terkejut dengan kehadiran wartawan yang menghadiri prosiding kesnya malah bekas suami Emma, Mohd. Kamal Jaafar Sidik, 35, bergegas meninggalkan mahkamah bagi mengelakkan gambar dirakam.
Terdahulu, Hakim syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad mengesahkan perceraian pasangan itu selepas berpuas hati dengan lafaz cerai talak satu oleh Mohd. Kamal mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Emma dan Mohd. Kamal yang berkahwin pada 1 Mei 2005 disahkan bercerai talak ba'in kubra iaitu talak yang tidak boleh rujuk setelah mereka sebelum ini memaklumkan telah dua kali bercerai sejak 2008.
Menurut peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri yang mewakili Emma selaku plaintif dalam permohonan cerai itu, kali terakhir pasangan berkenaan rujuk kembali pada 23 Mac lalu namun setelah hidup berasingan selama 11 bulan, mereka mengambil keputusan bercerai semalam.
Hasil perkahwinan tersebut mereka tidak dikurniakan cahaya mata namun mengambil seorang anak angkat bernama Dayang Izzati Kamal, 4. Setelah disahkan bercerai, Emma diperintah bersuci edah selama tiga bulan bermula semalam.
Sementara itu, Emma yang sebelum ini pernah berkahwin lain berkata, dia telah berfikir semasak-masaknya untuk bercerai kali ketiga meskipun dipujuk rayu Mohd. Kamal atas alasan masih sayangkannya.
"Sampai bila saya harus begini! sebelum ni dah dua kali saya beri peluang pada dia (dua kali rujuk) tapi tak nampak ada harapan, malah 11 bulan kami duduk berasingan," katanya walau tidak menafikan perasaan sayang masih wujud antara mereka.
Menurut Emma sambil mengesat air mata, punca utama dia meminta cerai kerana bekas suami melarang dirinya memberitahu sesiapa termasuk media ketika mereka rujuk kembali setelah bercerai tahun lalu.
Ditanya kenapa Mohd. Kamal menyuruhnya berbuat demikian, Emma memberitahu: "Keluarga dia tak suka saya, benci saya pasal laporan media kes pukul pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas. Dia kata saya telah mengaibkan keluarganya."
Emma yang membintangi drama Sembilu dan drama Kepadamu Kekasih yang disiarkan di TV2 berkata: "Sebab paling utama saya meminta maaf kerana famili dia tak tahu kami telah merujuk kembali dan kedua, dia sendiri telah berkahwin dengan orang Indonesia. Jadi kenapa saya nak seksa diri saya lagi."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: