|
|
SENTIASA mempunyai inisiatif untuk menyalurkan mesej bermoral kepada penonton, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) menerusi dua saluran televisyennya, TV1 dan TV2 sebenarnya sudah banyak menyiarkan program-program bercorak sedemikian.
Menggalas tanggungjawab sosial, RTM baru-baru ini juga telah bekerjasama dengan Pengasih Malaysia untuk menerbitkan sebuah program khas, Kekasih Awal...Akhir yang akan disiarkan di TV2, pada 1 November ini bermula pukul 8.30 malam sehingga 10 malam.
|
|
Program itu merupakan sebahagian daripada kempen Pengasih, Kenali Anak Kita yang sudah bermula sejak Mei lalu. Kempen itu bertujuan untuk menyedarkan ibu bapa supaya lebih prihatin terhadap anak-anak mereka supaya anak muda tidak terjebak dalam najis dadah.
"Pelancaran akan dilakukan oleh penaung kempen, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan akan dihadiri bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dewan Auditorium Perdana, Angkasapuri RTM.
|
|
"Ini merupakan kali pertama aktiviti kempen Kenali Anak Kita akan disiarkan secara langsung kepada penonton di rumah," kata Presiden Pengasih Malaysia, Mohd. Yunus Pathi ketika ditemui pada sidang media mengumumkan kerjasama itu.
Selain daripada segmen pelancaran, program selama satu jam setengah itu juga akan diisi dengan sketsa dan persembahan artis seperti Jamal Abdillah, Misha Omar, Mila, Bob dan Ernie. Selain daripada itu, satu konsert untuk golongan remaja, Gegar Generasiku akan diadakan di Padang Semarak.
|
|
"Sketsa yang bakal dipersembahkan sarat dengan informasi bagaimana untuk lebih mengenali dan memahami anak masing-masing. Namun, persembahan sedemikian mungkin kurang diminati golongan remaja. Maka, kami ada menyediakan konsert di Padang Semarak untuk mereka.
"Dalam program itu, kami turut membuat liputan langsung dari sana. Pendekatan program itu akan dilakukan secara santai kerana kami tidak mahu penonton berasa bosan. Jadi segmen bual bicara juga akan dipendekkan," kata Pengarah Penerbitan TV RTM, Rokiah Norma Ramli.
Sudah melawat Selangor, Perak, Kelantan dan Terengganu untuk menyebarkan kewujudan kempen itu, ia menerima sambutan baik daripada ibu bapa. Namun, jumlah 5,000 orang datang ke kempen itu masih belum mencukupi untuk menangani masalah dadah.
|
|
"Dengan adanya majlis pelancaran yang ditayangkan TV, ia akan mampu mendekati lebih ramai orang. Kami amat berterima kasih kepada RTM kerana memberikan ruang itu kepada kami. Ramai ibu bapa yang tidak sedar anak-anak mereka sebenarnya menggunakan dadah.
"Jadi mereka memilih untuk biarkan anak-anak mereka. Dengan adanya kempen seperti itu, ia akan sentiasa memberi peringatan kepada ibu bapa supaya tidak leka. Mencegah lebih baik daripada mengubat kerana ibu bapa adalah faktor yang paling berpengaruh dalam pembentukan nilai, sikap dan tingkah laku anak-anak," jelas Mohd. Yunus.
Kempen itu yang dilancarkan di Sekolah Menengah Wangsa Maju 2 akan berjalan selama dua tahun turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Dalam perancangan untuk menerbitkan 13 episod bagi menampung keperluan kempen itu pada tahun depan, mereka yang berminat untuk menyertai pelancaran itu boleh mengisi ruang Dewan Auditorium Perdana, Angkasapuri RTM pada 1 November nanti.
"Dewan itu hanya boleh mengisi 650 orang dan kami mengalu-alukan kedatangan ibu bapa. Ahli-ahli Pengasih juga akan turut serta. Namun, bagi mereka yang berada di tempat jauh, anda boleh menyaksikan program itu menerusi TV," tambah Rokiah Norma Ramli.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: