Friday, October 30, 2009

Jamal mahu terus lebarkan magis



Konsert Jamal... Kembara Seniman yang menampilkan seniman tersohor, Jamal Abdillah di Istana Budaya (IB) pada Ogos lalu berlangsung penuh gemilang.

Ternyata, ramai yang berpuas hati dengan konsert berkenaan dan teruja dengan lontaran vokal Jamal yang diakui tiada tandingannya. Jamal sememangnya masih punyai peminat yang bukan sedikit jumlahnya.

Walaupun diselubungi pelbagai cerita negatif, sokongan terhadap Jamal oleh peminatnya tidak pernah putus.

Begitulah hebat dan magis yang dimiliki Jamal, anak kelahiran Teluk Intan, Perak yang mula mencipta nama sebaik menjuarai Bintang RTM 1979.

Berbulan berlalu, teruja dengan sambutan menggalakkan yang diterima pada konsert berkenaan, Jamal mengumumkan untuk menzahirkan sebuah lagi konsert solo di tahun depan.

Konsert yang dinamakan Nada Legenda itu seperti biasa akan diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Bintang Channel Sdn Bhd, dan bakal diadakan di IB.

Nada Legenda akan memperlihatkan Jamal mendendangkan lagu-lagu nyanyian bintang legenda pujaannya seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Puan Sri Saloma serta R Azmi.

Tidak terhad kepada bintang legenda dalam negara, Jamal turut akan menyanyikan lagu daripada bintang luar negara seperti Santana dan Frank Sinatra.

Menurut Jamal, Nada Legenda mengikut perancangannya akan dilangsungkan selama tiga hari selepas Aidilfitri tahun depan.

"Untuk konsert ini, saya akan berusaha untuk mendapatkan tajaan dan tetap menggunakan pentas IB kerana kemudahan di sana cukup bagus. Lagipun, IB sudah ada peminat dan khalayak penontonnya tersendiri.

"Berlainan dengan Jamal... Kembara Seniman yang diselitkan dengan segmen teater, Nada Legenda akan menyaksikan konsert nyanyian sepenuhnya.

"Buat masa ini, saya dan Bintang Channel sedang mengumpul bahan untuk konsep dan pemilihan lagu-lagu di konsert itu nanti," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri bersama anak-anak yatim Rumah Penyayang Raudhah anjuran Hotel Quality Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada majlis itu, selain Jamal, penyanyi Nash turut mendendangkan beberapa buah lagu sempena rumah terbuka tersebut.

Turut hadir, Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Datuk Abd Karim Munisar dan Presiden Rotary Club Danau Desa, Michael Kuan.

Menyambung bicara, ulas Jamal, beberapa artis lain akan turut diundang untuk menyanyi bersamanya pada konsert itu nanti terutama membabitkan lagu-lagu duet.

Menggunakan khidmat orkestra, Jamal berkata, beberapa lagu baru popular juga akan dinyanyikannya dalam konsert selama dua jam itu.

Ditanya mengenai konsert Jamal...Kembara Seniman, Jamal menjelaskan bahawa dirinya tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dilakukan.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana konsert terbabit mendapat sokongan baik daripada peminat.

"Walau tanpa penaja, ada beberapa malam menyaksikan tiket telah habis dijual.

"Sebagai artis, saya tidak pernah berpuas hati dengan apa yang saya lakukan.

"Sebab itu, saya amat teruja untuk menganjurkan konsert lagi dan akan berusaha mendapatkan penaja," katanya.



Pelabur ternakan ikan hiasan

Sementara itu, diajak berbicara tentang perkembangan hidupnya, Jamal berkata, dia kini menceburi perniagaan ternakan ikan hiasan.

Bertindak selaku pelabur kepada sebuah syarikat yang menjalankan ternakan ikan itu di Bukit Merah, Perak, kata Jamal, ternakan tersebut adalah untuk eksport ke pasaran luar.

Antara pasaran tersebut ialah China, Hong Kong, Dubai, Taiwan dan Amerika Syarikat.

"Saya cuma salah seorang pelabur. Lagipun saya baru sahaja terlibat dengan syarikat tersebut.

"Keuntungan jualan ikan hiasan memang tinggi dan sebab itu saya amat berminat. Kalau ada rezeki lebih, saya merancang untuk menambah pelaburan," katanya.

Jelasnya, minatnya terhadap ikan hiasan sememangnya sudah berputik sejak zaman remaja lagi.

"Di Bukit Merah, keluasan tempat untuk ternakan ikan hiasan ini mencakupi 50 ekar," tambahnya.

Menurutnya, meski sibuk dengan ternakan ikan hiasan, jadual kerjanya selaku penghibur tidak pernah diabaikan.

"Sehingga Mac depan, jadual kerja saya memang padat. Syukur atas rezeki yang Allah kurniakan," kata Jamal sambil sempat bergurau dengan anak sulungnya, Osama Yamani, 8 tahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: