![]() |
| TIGA pelakon utama siri Kelab Jeng-Jeng, Siti Fazurina (tengah), Zila Bakarin (kiri) dan Norseha. |
DI BAWAH jenama Inspirasi Wanita, TV3 membawakan tiga drama bersiri terbaru iaitu Kelab Jeng-Jeng menerusi slot Senda Pagi, Cinta Balqis (Akasia) dan Nenek Kebaya (Lagenda).
Ketiga-tiga siri tersebut membawa penonton menyelami kehidupan serta gaya hidup wanita dengan pelbagai telatah lucu cuba dipaparkan dalam siri 13 episod, Kelab Jeng-Jeng yang memulakan siarannya setiap Khamis, pukul 11 pagi bermula 22 Oktober lalu.
Siri komedi arahan Adam Hamid yang diterbitkan oleh Talisman Pictures Sdn. Bhd., itu menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Siti Fazurina (Balkish), Norseha (Roza), Zila Bakarin (Liana), Fadilah Mansor (Jamilah), Didie Alias (Normah) dan Zaryn Min (Liza).
Tidak ketinggalan ialah Fadhil Dani (Hakimi), Sabri Yunus (Hamidon) serta dua wajah baru, Norliana (Azian) dan Hanif (Didi).
Siri yang bertemakan keluarga dan masyarakat itu turut mengupas pelbagai isu berkaitan keluarga, masyarakat, tanggungjawab serta persoalan mengenai cinta.
Menariknya, siri tersebut turut mengajak wanita berdikari serta mencari jalan penyelesaian terbaik dalam mencari sumber kewangan untuk mengejar impian mereka.
Ringkas mengenai Kelab Jeng-Jeng, berpaksi kepada naluri kewanitaan yang sentiasa ingin kelihatan cantik dan bergaya, sekumpulan wanita iaitu Jamilah, Normah, Balkish dan Roza telah menubuhkan sebuah kelab iaitu Kelab Jeng-Jeng.
Tujuannya ialah untuk mengumpul dana bagi membolehkan mereka ke luar negara membeli barangan serta aksesori yang mereka minati.
Namun, dalam usaha mengumpulkan dana, pelbagai masalah yang dihadapi terutama datangnya daripada suami, anak-anak serta rakan-rakan mereka.
Cinta Balqis pula melatari slot Akasia yang menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 6.30 petang mulai 2 November ini.
Siri 44 episod yang diterbitkan oleh Radius One Production Sdn. Bhd., itu diarahkan oleh Heykal Hanifah yang sebelum ini pernah menghasilkan siri Pertama Ramadan dan Cinta Untuk Ain.
Siri tersebut dibintangi oleh Eira Syazira (Balqis), Zamarul Hisham (Ezani / Emran), Fezrul Khan (Hasan), Memey Suhaiza (Marisa), Mak Engku (Mak Bilah), Hamidah Wahab (Habshah) dan Ainul Aishah (Siti).
Tidak ketinggalan, Aripah Damanhuri (Mak Wok), Hafizudin (Tuan Baharom) dan Megat Shahrizal sebagai Mukhriz.
kisah cinta tiga segi
Cinta Balqis mengetengahkan kisah percintaan tiga segi antara Balqis, Ezani dan Hasan. Dalam satu pertemuan yang tidak dirancang, Ezani dan Balqis saling jatuh cinta.
Sedangkan, sejak kecil lagi, Hasan yang merupakan teman sepermainan Balqis telah menaruh hati terhadapnya.
Ezani nekad berkahwin dengan Balqis secara rahsia. Setelah berkahwin, Ezani membawa Balqis ke rumah orang tuanya untuk meminta restu daripada mereka. Bagaimanapun, pergaduhan besar berlaku antara Tuan Baharom dan Ezani sehingga dihalau dari rumah tersebut.
Dalam perjalanan memulakan kehidupan baru, malang menimpa. Kereta yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga mengorbankan nyawa Ezani manakala Balqis koma selama sebulan.
Setelah sedar dari koma, kesedihan akibat kehilangan suami bertambah apabila Balqis disahkan mengandung.
Kepayahan dalam membesarkan anak tunggalnya, amat dirasainya, apatah lagi ibunya Mak Wok telah diberhentikan kerja oleh Tuan Baharom gara-gara membiarkan perkahwinan anaknya dengan Ezani.
Slot Lagenda pula muncul dengan sebuah siri seram, Nenek Kebaya yang menyingkap kisah di sebalik mitos nenek kebayan.
Siri 20 episod terbitan Suhan Movies Sdn. Bhd., itu bakal menemui penonton setiap Isnin hingga Khamis, pukul 4.30 petang bermula 3 November ini.
Barisan pelakon yang membintangi siri arahan Ismail Yacob itu ialah Diana Rafar (Samsiah), Raisuddin Hamzah (Tuan Adam), Amyza Aznan (Mastura), Zed Zaidi (Shafie), Pekin Ibrahim (Hazami), Ghazali Abu Noh (Pak Salleh), Nadia Kesuma (Umairah), Izreen Aminda (Marini) dan Mariani (Mak Putih).
Kisah tersebut di zaman purba mengenai persengketaan dan antara rakyat biasa, anak raja dan manusia hebat dikenali sebagai Sang Petapa.
Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan tiga drama bersiri terbaru di bawah jenama Inspirasi Wanita, hanya di TV3.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: