![]() |
| SEMBILAN pasangan yang akan meneruskan perjuangan masing-masing minggu ini yang mengangkat tema disko. |
LANTAI tari Sehati Berdansa musim ketiga (SB3) sudah pun dibuka minggu lalu dengan mengambil tema Malam Yo! Hip Hop.
Minggu pertama pertandingan realiti itu menyaksikan sembilan pasangan selebriti menggalas tanggungjawab mereka dalam memberikan persembahan terbaik.
Melihatkan sembilan pasangan tersebut, harus diakui persembahan yang diberikan cukup menyakinkan terutama daripada peserta wanita.
Pasangan Sazzy Falak dan Nazril Idrus misalnya, memperlihatkan kehebatan mereka di atas lantai tari dengan memberikan persembahan yang penuh energetik dan menghiburkan menerusi lagu Impak Maksima (KRU).
Begitu juga dengan pasangan Syed Hussein Syed Mustafa atau Sein dan isterinya, Nana yang berjaya melunaskan cabaran mereka dengan baik dan cemerlang.
Tidak kurang dengan Didie Alias, Anita Baharom, Isma bersama pasangan masing-masing yang mengejutkan ramai pihak dengan tarian yang ditonjolkan.
Malah, rata-rata persembahan mereka mendapat pujian dan undian yang agak tinggi daripada Joseph Gonzales selaku juri tetap SB3 selain dua juri undangan iaitu Cat Farish dan Michael Xavier Moon.
Mungkin secara lahiriah, muzik hip hop merupakan genre yang dilihat senang untuk dipersembahkan tetapi hakikatnya tidak.
Jika tidak memiliki stamina dan tenaga yang mencukupi, boleh semput dibuatnya dan perkara ini sebenarnya dapat dilihat pada sesetengah peserta terutamanya lelaki.
mempamerkan bakat
Namun, semua itu adalah perkara kecil yang boleh diatasi seandainya pasangan ini terus diberi peluang untuk mempamerkan bakat mereka di atas lantai tari Sehati Berdansa.
Jika diukur kepada peratusan, tiga pasangan yang mendapat undian terendah adalah Enot-Zainul dan Anita-Ismadi yang mendapat undian sebanyak 45 peratus.
Dengan memperolehi markah sebanyak 41 peratus, pasangan Mirna-Norah sepatutnya meninggalkan lantai tari SB3 seperti mana yang diumumkan pengacara, Awal Ashaari.
Sudah namanya pun program realiti, maka elemen kejutan menjadi perkara wajib maka pasangan Mirna-Norah diberi peluang kedua untuk meneruskan perjuangan mereka.
Sewaktu ditemui selepas program Debaran Sehati Berdansa di Astro, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam Ahad lalu, Mirna atau nama sebenarnya Mirnawan Nawawi dengan penuh jujur memberitahu dia akan berasa sedih seandainya disingkirkan.
Ini kerana katanya, dia belum berasa puas dan baru hendak berjinak-jinak dengan perkara yang belum pernah dicubanya sebelum ini.
Biarpun hanya seminggu mengikuti program ini, tetapi katanya, pengalaman yang diperolehinya dalam tempoh itu cukup berharga.
"Saya lega bila tiada penyingkiran kerana saya dan isteri masih lagi berpeluang untuk belajar dan menimba ilmu tentang dunia tarian.
"Menerusi musim ketiga ini, saya mahu melakukan satu perubahan dan juga mengubah pandangan skeptikal mereka yang mengatakan ahli sukan tidak berupaya menari dengan baik.
"Beri kami peluang dan nilai bakat kami seadil-adilnya. Jangan hanya kerana saya ahli sukan, saya tidak berhak untuk bertahan lama dalam pertandingan ini," katanya penuh bersungguh sambil dipersetujui isterinya, Norah atau nama sebenarnya, Noorah Mokhsin.
Memang benar. Jika diperhatikan corak undian penonton terhadap Sehati Berdansa pada musim pertama dan kedua, ahli sukan selalunya antara mangsa penyingkiran terawal.
Tambah bekas pemain hoki kebangsaan itu lagi, selain menimba pengalaman, hubungannya dengan pasangan selebriti yang lain juga bertambah erat.
"Menerusi program ini baru kami kenal antara satu sama lain dan hubungan itu semakin hari semakin erat. Kerana itu, kalau kami tersingkir, sudah pasti ia adalah perkara yang sungguh menyedihkan.
"Dari sudut lain pula, kalau mahu diukur pada persembahan kami, rasanya kami telah lakukan yang terbaik biarpun ada kesilapan kecil dilakukan yang masih boleh diperbaiki untuk minggu kedua," ujarnya yang berusia 38 tahun itu lagi.
Perjuangan pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 14 Mac lalu di pentas SB3 adalah untuk mengumpul sumbangan bagi rumah kebajikan yang diwakili mereka iaitu Persatuan Kanak-Kanak Spastik Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Bagi Norah pula, biarpun masa latihan hanya selama tiga hari sahaja, itu bukan alasan untuk mereka tidak memberikan fokus dan komitmen terhadap penglibatan mereka.
Walaupun terpaksa menerima habuan seperti sakit badan dan lenguh, tetapi pengalaman baru yang dialami itulah membuatkan mereka berkeyakinan dan bersemangat untuk terus beraksi di SB3.
"Cuma kini, kami perlu menyakinkan audiens dan pengundi kerana setakat ini, juri tiada masalah dengan persembahan kami.
"Tekad kami adalah untuk menjanjikan persembahan yang menghiburkan setiap minggu dan harap peluang itu terus diberikan kepada kami," ujar pramugari Malaysia Airlines berusia 30 tahun ini.
Sementara itu, bagi Joseph dia juga gembira apabila tiada penyingkiran pada minggu pertama kerana ia mampu menaikkan semangat peserta untuk terus memberikan persembahan terbaik pada minggu-minggu seterusnya.
Namun, apa yang membanggakan aktivis teater terkenal ini adalah prestasi serta kesungguhan yang ditonjolkan oleh hampir kesemua peserta terutama wanita.
Ini kerana katanya, musim ini dia dapat melihat kemampuan peserta menari dengan baik mengikut ritma lagu yang diberikan.
"Tidak keterlaluan saya katakan, musim ketiga memiliki kualiti peserta yang cukup bagus kerana hampir kesemuanya ada bakat dalam tarian.
"Tarian mereka penuh dengan tenaga dan bersemangat tinggi, tetapi harus saya tekankan kepada peserta lelaki bahawa mereka perlu berusaha lebih sedikit," katanya yang memuji kehebatan Sein dan suami Isma, Zul.
Bagi Michael pula, setiap pasangan perlu ada kejujuran dalam memberikan persembahan agar apa yang dicurahkan di lantai tari mampu sampai kepada audiens.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: