![]() |
| PERSATUAN-persatuan artis yang menaungi para karyawan muzik di negara ini haruslah digerakkan dengan pelbagai aktiviti demi manfaat ahli-ahlinya untuk jangka masa panjang. |
DALAM dunia hiburan di mana-mana sekalipun, terdapat dua cabang utama dalam bidang tersebut. Satu, ia mewakili bidang lakonan seperti pementasan teater, drama dan filem, sementara satu lagi pula mewakili bidang muzik.
Apabila bercakap soal muzik, ia merangkumi pelbagai pihak seperti syarikat rakaman, penggubah lagu, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik.
Bidang muzik di negara ini bolehlah dikategorikan sebagai sebuah industri kerana ia mampu menjana pendapatan besar, termasuklah penerbitan album tempatan dan yang diimport dari luar negara yang nilainya melebihi RM50 juta setahun.
Sebagai buktinya, Public Performance Malaysia Sdn. Bhd., (PPM) yang dipertanggungjawabkan mengutip royalti hak cipta rakaman bunyi mewakili syarikat-syarikat rakaman di negara ini mengaut tidak kurang RM25 juta pendapatan setahun.
Itu tidak termasuk bayaran royalti lebih RM25 juta yang dikutip oleh Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) pada setiap tahun untuk ahli-ahlinya yang kebanyakannya merupakan kalangan komposer dan penulis lirik tempatan serta dari luar negara.
Selain PPM dan MACP, industri muzik kita juga mempunyai banyak lagi persatuan yang mewakili para karyawan yang terbabit dalam bidang muzik. Contohnya, Persatuan Penganjur Persembahan Pentas Malaysia (Malep), Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Pencipta Lagu dan Penulis Lirik (Papita), Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM) dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).
Kalau difikirkan secara logiknya, dengan jumlah persatuan yang banyak itu, sepatutnya aktiviti-aktiviti berkaitan bidang muzik di negara ini lebih rancak. Kerancakan aktiviti itu secara tidak langsung akan menjana pendapatan buat para karyawannya.
Sayangnya, perkara yang sebaliknya pula berlaku. Persatuan hanya tinggal persatuan. Lihat sahaja persatuan seperti Papita. Ke mana pergi ahli-ahlinya yang lain? Mengapa Papita kini lebih ramai dianggotai oleh ahli-ahlinya yang tidak aktif lagi dalam bidang masing-masing?
Pelik
Apa peranan persatuan seperti Papita untuk menjana aktiviti buat ahli-ahlinya? Pelik juga apabila kalangan karyawan muzik termasuklah generasi penyanyi baru yang seperti kurang berminat menyertai Papita.
Aktiviti untuk ahli-ahli Papita amat jarang kita dengar, sebaliknya yang biasa dipaparkan ialah projek-projek yang dijalankan atas nama persatuan tersebut. Bagaimana pula dengan faedah yang dikongsi untuk ahli-ahli mereka?
Perkara yang sama juga berlaku kepada persatuan seperti PPM yang dipertanggungjawabkan bagi mengutip royalti untuk persembahan awam. Difahamkan, kebiasaannya persatuan itu mengutip sekitar RM25 juta setahun untuk ahli-ahlinya.
Ia meliputi persembahan termasuklah lagu-lagu yang disiarkan di tempat-tempat awam melibatkan golongan seperti komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik yang terbabit.
Sayangnya, difahamkan pada tahun 2007 PPM hanya sekadar mampu mengutip sekitar RM500,000 sahaja untuk diagih-agihkan kepada ahli-ahlinya. Jika benarlah dakwaan itu, maka PPM seharusnya bekerja lebih keras bagi mengutip royalti atas karya-karya yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.
Pada masa sama, yang agak menghairankan juga ialah tahap kesedaran para penggiat muzik yang terbabit seakan-akan tidak mahu mengambil tahu akan hak dan senario yang sedang berlaku pada ketika ini.
Pengurangan jumlah kutipan itu antara lain akan mengalir kepada syarikat-syarikat rakaman yang mengimport album-album dan lagu-lagu dari luar negara. Keadaan itu menyebabkan berlakunya pengaliran wang ke luar negara.
Persatuan Performers and Artistes Rights (M) Sdn. Bhd., (Prism) yang berperanan mengutip royalti persembahan lagu di tempat-tempat awam mewakili karyawan muzik tanah air seperti penyanyi dan pemuzik juga seolah-olah kurang menyerlah menerusi sumbangan mereka itu.
Kalaulah persatuan seperti Prism benar-benar aktif dan memainkan peranan mereka, rasanya pasti ramai kalangan penyanyi dan pemuzik di negara ini yang ingin tahu, berapakah jumlah kutipan royalti mereka pada tahun ini?
Namun, jika ia sebaliknya maka agak kurang adil buat kalangan ahli persatuan terbabit. Paling mengejutkan apabila ada khabar angin mengatakan sejak hampir 10 tahun lalu Prism tidak pernah memanggil ahli-ahlinya dalam mesyuarat agung yang mereka adakan.
Penjelasan
Mungkin dalam hal ini, Prism mempunyai penjelasan tersendiri berhubung perkara tersebut. Selain itu, ramai juga pemuzik yang ingin tahu apa sudah jadi dengan persatuan seperti Persatuan Pemuzik Malaysia (MAM) yang senyap begitu sahaja?
Begitu juga dengan PAIMM yang ditubuhkan pada 1994 bagi mengendalikan Anugerah Industri Muzik (AIM), tetapi selama ini ramai yang melihatnya sekadar tidak lebih sebagai sebuah syarikat pengurusan acara tanpa banyak melibatkan aktiviti-aktiviti untuk para ahlinya.
PAIMM hanya menyerlah setahun sekali, itu pun menerusi anugerah AIM bagi mengiktiraf kalangan karyawan muzik di negara ini.
Sementara itu, RIM juga tidak banyak memperlihatkan fungsi mereka menaungi syarikat-syarikat rakaman di negara ini. Misalnya, apakah usaha RIM untuk menjana jumlah rakaman album di kalangan ahli-ahlinya?
Album-album tempatan bukan sahaja semakin mengecil penerbitannya, malah jumlah unit edarannya juga semakin lama semakin menjunam. Di sinilah perlunya komitmen dan idea daripada RIM bagi mengurangkan masalah-masalah tersebut.
Ahli-ahli RIM bukan setakat kurang aktif menerbitkan album-album tempatan, sebaliknya tanpa disedari mereka kini kebanyakannya lebih cenderung menjadi pengimport album-album dari luar negara. Senario itu jelas meminggirkan album-album artis-artis tempatan.
Ini kerana pengimport album-album artis dari luar negara tidak memerlukan modal untuk kos rakaman, sedangkan artis-artis tempatan harus mengeluarkan kos untuk rakaman dan promosi album.
Pihak-pihak terbabit harus mengambil langkah pemantauan supaya ada keseimbangan kuota kemasukkan album-album artis dari luar negara demi kesinambungan jualan album-album tempatan.
Majlis Muzik Malaysia (MMM) yang menjadi penaung ke atas kebanyakan persatuan-persatuan muzik terbabit pula sepatutnya lebih menyerlah dalam menjana aktiviti-aktiviti untuk ahli-ahlinya.
Ramai yang mula menyedari senario yang kini sedang berlaku secara senyap itu. Persatuan-persatuan muzik seakan-akan buat tidak tahu tanggungjawab mereka terhadap ahli masing-masing.
Lebih malang lagi apabila ramai penggiat muzik seperti penyanyi dan pemuzik juga seolah-olah enggan ambil tahu atau mereka mungkin putus asa dengan keadaan industri muzik yang kini semakin malap.
Cuma yang ketara daripada senario ini ialah, kemunculan segelintir golongan pemimpin dalam persatuan artis atau industri muzik terbabit yang seakan-akan mahu muncul sebagai 'jaguh' dalam memperjuangkan bidang muzik di negara ini.
Sebab itu, apabila adanya cadangan untuk menguar-uarkan penubuhan Perbadanan Kemajuan Industri Muzik Malaysia, maka makin ramai golongan seperti ini yang tampil ke depan bagi menonjolkan diri masing-masing.
Mungkin sudah ada juga di antara mereka yang kini berangan-angan mahu mencalonkan diri atau melobi pihak-pihak tertentu seperti Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bagi merebut jawatan penting seperti Ketua Pengarahnya yang pertama kelak.
Itu pun kalau perbadanan yang lebih kurang sama fungsinya seperti Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) itu diambil perhatian oleh kementerian terbabit dalam waktu yang terdekat ini.
Apapun, kita berharap selepas ini bukan setakat persatuan-persatuan muzik yang akan semakin aktif dalam menjalankan peranan mereka selain ahli-ahlinya yang juga harus prihatin dan tahu hak masing-masing.
Malah, pada masa sama kita juga haruslah menyedari akan sikap golongan-golongan tertentu yang suka mengambil kesempatan atas senario yang sedang berlaku ini semata-mata untuk kepentingan diri mereka sendiri!

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: