Wednesday, October 28, 2009

Telefon tanpa wayar masih popular


KAKITANGAN Panasonic Malaysia, Simone Pan menunjukkan barangan komunikasi yang baru dilancarkan di Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Panasonic Malaysia Sdn. Bhd. (Panasonic Malaysia) optimis terhadap jualan telefon tanpa wayar di pasaran tempatan meskipun setiap orang kini memiliki sekurang-kurangnya satu telefon mudah alih.

Pengurus Produk Kumpulan Bagi Rangkaian Kediaman, Tan Tih Tjun berkata, ini dapat dilihat daripada jualan telefon tanpa wayarnya yang mencatat pertumbuhan dua digit pada separuh pertama tahun kewangan semasa serta terpaksa berdepan dengan persekitaran ekonomi yang sukar.

"Kami masih boleh mencapai sasaran yang ditetapkan meskipun populariti telefon mudah alih semakin meingkat di negara ini," katanya pada majlis pelancaran produk komunikasi Panasonic Malaysia di sini semalam.

Produk komunikasi yang dilancarkan semalam termasuklah sistem IP PBX, pencetak laser berwarna semua dalam satu dan dua model telefon tanpa wayar digital yang dipertingkatkan.

Selain itu, Panasonic Malaysia mengunjurkan segmen kemudahan perniagaannya menyumbang sebanyak 20 peratus kepada jumlah pendapatan syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010.

Pengurus Besar Panasonic Malaysia, Yoshiyuki Tanabe berkata, buat masa sekarang segmen tersebut menyumbang kira-kira 10 peratus kepada pendapatan syarikat.

"Syarikat menyasarkan segmen kemudahan perniagaan ini mencatat pertumbuhan jualan sebanyak 30 peratus dan dengan meningkatnya jumlah jualan, saya pasti tiada masalah untuk bahagian ini menyumbang dengan lebih banyak kepada pendapatan syarikat dan seterusnya menjadi antara penyumbang utama kami," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: