![]() |
| ANTARA barisan pelakon SpaQistina (dari kanan) Riezman, Keifli, Faradhiya dan Nanu. |
SELEPAS berjaya membawakan segala gosip, kontroversi serta konflik yang ternyata membangkitkan tumpuan di kalangan peminat, drama bersiri Spa Q yang sudah bersiaran selama dua musim kini kembali dengan wajah baru.
Bukan lagi di TV3 dan bukan lagi dinamakan Spa Q, bersesuaian dengan 'perpindahan' penyiarannya ke stesen televisyen berbayar Astro, ia kini dikenali sebagai SpaQistina.
Malah, 'perpindahan' itu juga turut melibatkan pertukaran beberapa pelakon asalnya bagi disesuaikan dengan kehendak stesen televisyen berkenaan.
Nanu Baharuddin 'mengetuai' senarai pertukaran itu dengan memegang watak Qistina yang sebelum ini dibintangi Norish Karman.
Lain-lain pelakon baru yang dibawa masuk ke dalam SpaQistina adalah Nora Danish (Maya), Amyza Aznan (Kathy) Riezman Khuzairi (Dr. Zulfadzli), Ainul Aishah (Vina), Watie Sadali (Ninie), Adiputra (Fahmi) Keifli AF3 (Aril) dan Wan Raja (Tarmizi).
Muka-muka lama yang masih dikekalkan untuk membintangi SpaQistina pula terdiri daripada Azizah Mahzan selaku Marlia, Faradhiya (Julia), Nik Zaris Nellydya (Melissa), Fazren Rafi (Dafi), Jasmin Hamid (Sofiera) serta Kenchana Dewi (Sheila).
Kemunculan band indie
"Kemunculan anggota Hujan dalam SpaQistina hanyalah sebagai cameo seperti mana kami mengundang Datuk Siti Nurhaliza dalam Spa Q sebelum ini.
"Hujan ada daya tarikan yang mampu menarik golongan muda menonton SpaQistina nanti.
"Untuk itu, kita bakal lihat bahawa peringkat penonton SpaQistina nanti akan mempunyai kepelbagaian umur mereka,'' kata Penerbit Eksekutif Global Station, Adila Ramly ketika majlis memperkenalkan barisan pelakon SpaQistina di ibu negara, baru-baru ini.
Hadir sama, Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, Penerbit SpaQistina, Datin Zaiton Muhd. Jiwa serta penulis skrip SpaQistina, Rina Khan.
Menurut Adila, pertukaran Norish kepada Nanu sebagai Qistina tidak melibatkan apa-apa permasalahan dan ia hanyalah sebagai memenuhi kehendak Astro.
"Nanu ada kelebihan tersendiri. Kami mahukan sesuatu yang baru dengan logo Spa Q juga bertukar wajah.
"Kalau sebelum ini ia melebihkan soal karier Qistina dan spa namun dengan SpaQistina, penonton akan dapat melihat kehidupan Qistina itu sendiri,'' ujarnya.
Kata Adila, melalui SpaQistina, pihaknya juga akan menemukan dua pelakon yang sebelum ini 'terjebak' dengan kontroversi peribadi iaitu Nora Danish dengan seorang pelakon lain.
SpaQistina memulakan penggambaran pada 19 Oktober lalu dan dijangka selesai 20 November ini.
Bakal ditayangkan pada tahun depan, namun, pihak Astro masih belum menetapkan saluran untuk menyiarkan drama bersiri popular itu.
Alasan Nanu memilih watak Qistina
Sementara itu, Nanu yang diajukan soalan tentang alasannya menerima tawaran berlakon dalam SpaQistina berkata, drama tersebut memiliki jalan cerita yang menarik kerana mengambil latar wanita selaku penceritaan utamanya.
"Alasan lain, saya memang tidak pernah dan sudah lama menyimpan keinginan untuk berlakon di bawah Kak Ton (Datin Zaiton),'' katanya yang kini selesa dengan imej berambut pendek.
Jelas Nanu, Qistina pembawaannya merupakan seorang wanita yang kembali bangkit selepas diduga dengan pelbagai cabaran menerusi Spa Q dan Spa Q 2.
Ditanya mengenai jangkaan perbandingan orang mengenai lakonannya dengan pelakon asal iaitu Norish, Nanu berkata : "Saya ada gaya lakonan sendiri. Saya sudah menjangkakan akan ada yang membandingkan saya dengan Norish.
"Memanglah ia memberikan tekanan tetapi apa yang perlu saya lakukan adalah mengikut skrip serta kehendak pengarah," kata Nanu.
Katanya, dia menjangkakan SpaQistina tidak akan tamat dalam tempoh 13 episod ini sahaja kerana konflik yang wujud boleh dikatakan masih lagi panjang.
Rezeki Keifli
Dalam pada itu, Keifli yang diberikan peluang berlakon dalam SpaQistina dengan watak Aril berkata, Aril merupakan teman lelaki kepada Melissa.
"Watak ini baru diwujudkan. Aril dalam SpaQistina merupakan seorang vokalis sebuah band. Sudah tentu saya dikehendaki menyanyi dalam drama ini nanti.
"Sebagai teman lelaki Melissa, Aril banyak menjadi penyokong kepada wanita tersebut. Aril juga berperwatakan biasa-biasa sahaja dan seorang yang tenang,'' kata Keifli.
Ditanya mengenai kariernya antara menyanyi dan berlakon, Keifli berkata, kedua-duanya berjalan seiring.
"Tetapi, tawaran berlakon lebih banyak berbanding nyanyian,'' tambahnya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: