Tuesday, October 27, 2009

Kuasa cinta Mario Llosa

Tidak pasti sebenarnya tentang bagaimana untuk melihat kisah cinta ini. Sama ada ia kisah agung atau pun kisah tolol yang merosakkan.


MARIO VARGAS LLOSA


PENULIS-PENULIS dari Amerika Latin, jika diamati dengan tekun, mempunyai gaya dan suara yang berlainan daripada penulis dari tempat-tempat lain. Ia jauh berbeza daripada nada penulis Amerika Syarikat. Malah, dalam kebanyakan waktu, kerja-kerja mereka lebih menggamit perhatian dan memberi kesan yang bervariasi kepada pengalaman membaca itu sendiri.

Idea yang dicerminkan pada setiap hasil kerja itu juga cemerlang. Apa yang dimaksudkan ialah idea bagaimana sebuah novel itu sampai ke tahap yang sebetulnya boleh dipanggil 'novel'. Indah, kepelbagaian rencam penyampaian, dramatik, penceritaan yang hidup dan paling utama, meninggalkan kesan mendalam terhadap pembaca.

Itu semestinya tidak akan dapat dicapai tanpa pemahaman mendalam dan fikiran yang tajam terhadap format tulisan yang dipanggil novel.

Mario Vargas Llosa ialah seorang daripada penulis kelompok Amerika Latin, lahir di Peru yang sudah membuktikan keupayaannya. Beliau meletakkan namanya di persinggahan tersendiri dunia sastera Latin. Untuk menguji kesahihan pernyataan ini dan jika kamu belum pernah menikmati tulisan beliau, ambil sahaja mana-mana judul novel tulisannya, duduk dan mula membaca.

Ia akan serta-merta membawa kita ke dalam ruang keterasingan, sebelum imaginasi dan diskripsi terperinci dalam novel berkenaan mula memberi kesan. Perlahan-lahan bayangan seperti apa yang digambarkan Llosa akan membangun dengan sendirinya. Lancar dan ketagih sehinggakan kita tidak mahu lagi melepaskan buku itu dari tangan.

> Jampi imaginasi

Dengan The Bad Girl, antara novel paling baru dihasilkan Llosa (dua tahun lalu), ia menonjolkan kisah cinta pada tingkat paling absurd. Beliau dalam usaha ini memukau dan menyihir pembaca dengan tenaga dan jampi imaginasi yang luar biasa.

'Cinta' menurut kamus Llosa tidak sama dengan kisah cinta picisan yang selalu disogokkan kepada kita, terutama daripada kelompok penulis novel cinta pop di Malaysia. Cintanya, mungkin cinta agung dari tahun-tahun 50-an; seperti dekad di mana latar belakang novel ini bermula, di Peru.

Cinta dalam novel itu dipotretkan sebagai satu takdir yang penuh kegilaan dan keghairahan tersendiri untuk meraikan cinta. Obsesi dan perasaan yang mendalam terhadap seorang wanita inilah yang disampaikan oleh Llosa sehingga ketika membacanya, kita terlepas terus daripada pemahaman cinta konvensional seperti yang selalu ada di dalam novel-novel cinta lain yang membosankan.

>Menghilangkan diri

The Bad Girl mengisahkan seorang perempuan yang sejak awal perkenalan dengan Ricardo Somocurcio - watak narator novel ini - mempunyai identiti yang selalu diragui dan bertukar-tukar pengenalan.

Sejak usia 15 tahun, Ricardo sudah jatuh cinta dengan gadis yang awalnya mengakui berasal dari Chile dengan nama Lily pada tahun 1950. Sehinggalah pada satu ketika, Lily menghilangkan diri tanpa pesan dan cinta Ricardo masih belum berbalas secara lisan dari mulut gadis itu. Dari detik itu bermulalah perjalanan imaginasi yang yang mengujakan.

Ricardo ke Paris, bekerja sebagai penterjemah untuk UNESCO. Walaupun dia sebetulnya tidak mengejar lagi Lily, perasaannya masih tebal dan bergelora. Bermula dari sinilah Llosa mempamerkan kehebatan sama seperti kebanyakan penulis novel Latin lain; kekuatan plot yang bercelaru, melarikan pembaca daripada meramalkan kejadian seterusnya di samping menyuntik perasaan suspen yang membuatkan kita akan terus mahu membaca.

Jika pertama kali menyelak helaian buku tebal itu dan hanya meletakkannya semula pada muka surat 100 untuk sekali baca, kita tahu bahawa ia ada roh yang menggiurkan.

Lily yang selepas itu dipanggil 'the bad girl' akan terus memberikan kejutan kepada Ricardo. Disebabkan kejutan-kejutan inilah yang mempotretkan Lily sebagai gadis jahat dan membuatkan Ricardo semakin kuat cintanya kepada perempuan itu.

Kisah mereka berlangsung sehingga usia lima puluhan. Ada tragedi yang singgah, ada juga depresi yang menghurung watak-wataknya. Tetapi, dalam tempoh itu, absurditi semakin menebal. Ricardo tahu yang 'the bad girl' itu menjalani hidup yang bagaimana. Ada waktu muncul, ada waktu lainnya dia hilang sesuka hati dan membuat kerja-kerja jahat.

Pengorbanan dalam ketidakpastian yang dilakukan oleh Ricardo sampai kepada kemuncak untuk membunuh diri. Dia cuba menjawab persoalan-persoalan cinta dalam parodi yang bermacam-macam. Apa yang pastinya, ia bukan persoalan cinta murahan.


The Bad Girl Mario Vargas Llosa Faber and Faber Limited 2007 (www.jelir.wordpress.com)


>Falsafah cinta

Melalui Ricardo, walaupun tidak secara terang-terangan, Llosa mempersembahkan sisi falsafah cinta dan perasaan seseorang yang tidak sedar yang dia sedang mengalami obsesi dan tekanan. Tapi, permainan cinta absurd itu tidak berakhir selepas si perempuan bertemu jodoh - tidak seperti kisah cinta Melayu klasik amnya.

Jiwa dan fizikal 'the bad girl' juga selalu punah. Dia tidak pernah berterus-terang dengan sesiapa pun. Hanya Ricardo yang mampu membaca perjalanan hidupnya. Walaupun pada awal setiap pertemuan semula itu dia selalu tertipu dan mudah jatuh simpati.

Tidak pasti sebenarnya tentang bagaimana untuk melihat kisah cinta ini. Sama ada ia kisah agung atau pun kisah tolol yang merosakkan. Tetapi, apa yang mujarab ialah ada insan seperti Llosa yang bersungguh-sungguh mempersonafikasikan cinta sampai ke tahap itu.

Orang mungkin akan jadi gila. Tetapi, melalui dua watak ini, Llosa menunjukkan yang cinta itu tidak pernah lupus daripada dalam dada. Biarpun berapa banyak kali terluka, dengan kesedaran yang sama, orang akan masih mahu bersama.

Watak-watak itu juga cuba berbicara tentang proses pemahaman cinta. Hampir 50 tahun watak-wataknya terikat dalam satu ikatan yang longgar. Masing-masing tidak pernah merasakan diri faham dan arif tentang cinta. Bayangkan, 50 tahun berhubungan, terputus, sambung kembali dan mereka masih belum faham apa itu cinta. Inilah kecantikan dan kejujuran yang dipotretkan oleh Llosa.

Jadi, bagaimana kita harus percaya kisah-kisah cinta cetek yang datang membuai imaginasi kita sebentar dan terus membuat kesimpulan yang kita sudah merasakan cinta serta sudah faham benar apa itu cinta? Ada yang sekali terluka sudah mengelupur seperti orang yang mati jiwa.

Lupakan apa saja novel cinta yang anda baca sekarang dan cari novel ini. Berpuluh-puluh novel cinta murahan yang ada terpamer di rak-rak kedai buku belum tentu dapat menyamai perasaan, pergolakan dan tekanan yang terkandung dalam novel Llosa.

Tidak salah belajar daripada orang yang arif, walaupun orang itu datang dari Amerika Latin, bukan? Kepada penikmat novel tema cinta, anda tidak akan kecewa dengan The Bad Girl.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: