Tuesday, October 27, 2009

Filem lesen kreatif tafsir sejarah?


brad pitt sebagai Lt. Aldo Raine.


DALAM sejarah memang terdapat banyak konspirasi dan komplot untuk membunuh pemimpin Nazi, Adolf Hitler. Tidak kurang daripada 15 percubaan telah dilakukan dan yang paling hampir adalah komplot Valkyrie.

Tetapi fakta sejarah juga telah memastikan bahawa Adolf Hitler tidak mati dalam sebarang komplot untuk membunuhnya yang cuba dilakukan oleh musuh-musuhnya. Seperti serigala yang licik, Hitler sentiasa mampu mencium sebarang konspirasi untuk membunuhnya dan dia sentiasa berjaya melepaskan diri.

Inglourious Basterds (atau ejaan sebenarnya bastards) adalah sebuah karya fiksyen. Lakonlayar filem ini ditulis oleh Quentin Tarantino. Walaupun terdapat sebuah filem kecil genre perang dari Itali arahan Enzo yang menggunakan judul Inglorius Basterds tetapi Tarantino mengakui filem ini merupakan karya asli beliau sungguhpun dia tidak menafikan pengaruh dan inspirasi daripada filem tersebut.

Namun dalam sejarah soal filem dan interteks (dalam konteks filem) adalah sesuatu yang banyak berlaku. Pembikin filem sentiasa dipengaruhi oleh filem-filem sebelumnya atau kerja-kerja pengarah yang dikaguminya. Filem sendiri adalah sebuah karya kreatif. Dan Tarantino telah menggunakan elemen kreatif pada filem untuk menggunakan fakta sejarah sebagai satu karya kreatif yang baru berasaskan sejarah.

Dalam Inglourious Basterds, Tarantino sengaja mencampur adukkan fakta sejarah dan fiksyen, antara tokoh sebenar sejarah dan watak-watak fiksi. Malah lebih melampau, Tarantino sengaja menyelewengkan fakta apabila Hitler digambarkan mati daripada tembakan yang merabakkan wajahnya. Penonton seharusnya sedar pendekatan Tarantino ini apabila dia memulakan filemnya dengan rawian "Once upon a time ..." sepertimana lazimnya sebuah buku cerita kanak-kanak.

Struktur filem ini sengaja dibahagikan kepada lima bab, dalam adegan tertentu imejnya diberikan tanda "captions" untuk mengenal tokoh tertentu malah dalam adegan yang lain terdapat suara perawi (narator) menjelaskan tentang sesuatu peristiwa. Kesemua ini adalah teknik yang sering digunakan dalam menulis buku cerita. Kita juga jangan lupa, antara kegemaran Tarantino adalah menggunakan teknik seperti membaca sebuah novel popular dalam pembikinan filemnya. Menonton filemnya Pulp Fiction kita dihidangkan seperti membaca sebuah fiksyen popular yang boleh kita mulakan dimana sahaja atau mengulang pada bab tertentu.

Sisi gelap yang lain

Inglourious Basterds mengambil kisah tentang dua plot konspirasi untuk membunuh Adolf Hitler. Dalam bab pertama filem ini, pegawai Gestapo German, Kolonel Hans Landa (yang dimainkan dengan cukup cemerlang oleh Christoph Waltz) telah menyiasat keluarga Yahudi di daerah Peranchis yang dikuasai oleh German. Landa kemudian bertindak ganas, membunuh seluruh keluarga itu tetapi melepaskan Shosanna Dreyfus (Melanie Laurent) yang berjaya melarikan diri.

Dalam bab kedua mengisahkan tentang sekumpulan tentera komando Yahudi yang diketuai oleh Lt. Aldo Raine (Brad Pitt) yang mahu memusnahkan tentera German (setiap seorang tenteranya mahu mencukur 100 tentera Nazi) dari dalam sebelum tentera berikat mendarat di Normandy. Mereka cuba menyamar sebagai orang Itali. Antara dua plot selari ini muncul seorang aktres German Briget Von Hammersmark (Diane Kruger) yang bertindak sebagai mata-mata bagi pihak Amerika dan British. Kedua-dua plot selari antara yang digerakkan oleh Shohanna dan Raine bertemu di sebuah pawagam kepunyaan Shohanna (selepas empat tahun melarikan diri dari Landa, Shosanna mengubah identiti dan berjaya menguruskan sebuah pawagam.

Di pawagam ini Joseph Goebbels, Menteri Penerangan dan Propaganda Nazi) dan pemimpin Nazi, Adolf Hitler akan hadir menyaksikan pembukaan filem propaganda Goebbels A Nation Pride tentang kejayaan seorang tentera muda Frederick Zoller (Daniel Bruhl) membunuh beratus tentera Berikat. Shosanna akan membakar pawagam tersebut melalui longgokan filem nitrate aka dibakar oleh temannya sebagai dendam Yahudi terhadap Nazi dan di pawagam itu juga Raine telah merancang untuk menembak tentera Nazi dan meletupkan pawagam tersebut. Tetapi sebelum rancangan itu terlaksana, Landa telah berjaya membongkar pengkhianatan Hammersmark apabila menjumpa sebelah kasut wanita dalam pertempuran disebuah bar yang menyaksikan kecedaraan kaki Hammersmark. Dari siasatan itu, Landa mengetahui Hammersmark menjalankan tugas sebagai agen pengintip bagi pihak tentera berikat.

Dalam Inglourious Basterds, Tarantino bukan sahaja mengambil pendekatan filem-filem gred B Perang Dunia Kedua yang menyaksikan bagaimana tentera Amerika menewaskan dengan mudah tentera German, malah stailnya turut dipengaruhi oleh filem-filem koboi Spaghetti Western yang dihasilkan oleh Sergio Leornie.

Adegan pembukaan dengan lanskap luas dan kemudian kemunculan Kolonel Landa yang awalnya kelihatan manis dan baik dan kemudian berubah menjadi pengancam, sadis dan zalim serta diikuti oleh tembakan yang membunuh keluarga Dreyfus adalah pengaruh langsung filem-filem koboi gred B ini. Pengaruh koboi spaghetti ini juga jelas dalam adegan pertempuran di bar. Kemunculan kumpulan tentera komando Inglourious Basterds yang diketuai oleh Aldo Raine dengan misi membunuh dan memusnahkan tentera German dalam adegan pertempuran yang stailnya adalah mengikut langsung pengaruh daripada filem-filem perang gred B ini.

Filem Inglourious Basterds memperlihatkan bagaimana Tarantino menggunakan sejarah, fakta dan watak-watak sejarah untuk membentuk sebuah fiksyen sejarah. Sejarah dan holocoust mengambarkan kezaliman Nazi dan Hitler, tetapi di dalam filem ini Tarantino menunjukkan sisi gelap yang lain. Dalam satu adegan Hitler kelihatan emosional, sedangkan Yahudi bertindak sebaliknya menjadi begitu zalim, keras berdendam, membakar, menyembelih dan membunuh sekumpulan manusia di pawagam. Bukankah ini juga sebuah holocoust?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: