![]() BARISAN pelakon, pengarah, penerbit dan produser Pisau Cukur yang hadir pada majlis tayangan perdana. |
BERMULA 5 November ini, sebuah lagi filem Melayu yang dinanti-nantikan ramai peminat, Pisau Cukur, akan menemui penonton di pawagam seluruh negara. Membariskan ramai bintang terkenal seperti Maya Karin, Nur Fazura, Aaron Aziz, Umie Aida, Datuk Rahim Razali dan Liyana Jasmay, filem arahan Bernard Chauly ini dilihat keluar daripada kebiasaan yang disaksikan menerusi kebanyakan judul komedi sebelum ini.
Sejak awal pembikinannya lagi, Bernard sudah menghebahkan betapa filem terbarunya itu bakal membawa perubahan. Dia berkata, rentak yang dipamerkan dalam filem berkenaan agak pantas berbanding judul lain yang pernah dihasilkan. Lalu, apabila filem terbabit berputar di layar lebar pada majlis tayangan perdananya baru-baru ini, elemen kepantasan rentak jelas kelihatan.
Menurut jejaka yang terlebih dulu menghasilkan Gol & Gincu (2005) dan Goodbye Boys (2006) ini, setiap kali dia mengarahkan sesebuah filem, dia mahukan perubahan. Justeru, apabila penonton berhibur bersama judul terbabit, mereka tidak akan membandingkannya dengan filem lain.
Menonton Pisau Cukur sememangnya pengalaman yang menyeronokkan. Sebagaimana penonton bergembira tatkala mengikuti rentetan cerita pengacara televisyen dan peserta program realiti berusaha mencari lelaki kaya di atas kapal percutian, begitu jugalah Bernard berseronok ketika menghasilkannya.
"Tunjang ceritanya sudah ada, apabila Lina Tan (penerbit eksekutif) dan Rafidah Abdullah (penulis skrip) membentangkan projek Pisau Cukur kepada saya. Namun, saya mahukan Rafidah membuatkannya jauh lebih gila.
"Bekerja dengan kedua-dua wanita ini memang pengalaman mengujakan. Lina kaya dengan idea, manakala Rafidah pula mempunyai rasa yang cukup kuat dalam penceritaan. Gabungan itulah yang sebenarnya membuahkan hasil memberangsangkan," ujar Bernard yang sudah beberapa kali bekerjasama dengan pasukan Red Films, sama ada dalam pembikinan filem mahupun siri televisyen.
Bukan sekadar barisan belakang tabir yang membuatkan Bernard teruja, sebaliknya dia juga diberikan peluang bekerjasama dengan pelakon bernama besar. Sebahagiannya pula tidak pernah berlakon di bawah arahannya.
Namun begitu, besar atau kecil, mereka semua mengikuti bengkel yang dianjurkan syarikat penerbitan filem berkenaan dalam memastikan persiapan sebelum bermulanya penggambaran dilakukan sebaik mungkin. Bengkel itu jugalah yang membolehkan Bernard mengenal pasti di mana kurang dan di mana lebihnya persembahan yang bakal mereka pentaskan di layar nanti.
Kata Bernard, Pisau Cukur ialah sebuah filem yang mengangkat kebolehan seseorang pelakon. Lakonan merekalah yang sebenarnya menjadi akar kepada kekuatan filem itu sendiri. Lalu, hendak tak hendak dia perlu juga menguatkan semangat untuk mengarahkan mereka walaupun sebahagian daripada pelakon terbabit sudah berdekad-dekad bergelar pelakon atau pengarah, lama sebelum dia sendiri muncul dengan filem pertama.
Mengaku Pisau Cukur sebagai penghasilan terbaiknya setakat ini, Bernard bagaimanapun tidak menafikan usaha menyudahkan sebuah filem dalam genre komedi bukanlah kerja yang mudah.
Ujarnya, dia lebih suka melihat penonton ketawa dalam resah, iaitu mentertawakan sesuatu perlakuan atau babak yang sebenarnya amat dekat dengan kebenaran. Dalam Pisau Cukur pula, banyak sekali adegan sedemikian, yang membuatkan penonton pecah perut, tetapi apa yang disaksikan itu sebenarnya kuat mencucuk hingga ke tulang.
Bagi mendapatkan elemen itulah, membuatkan Bernard terpaksa bekerja lebih keras. Tentu sekali pengarah ini tidak mahu komedinya gagal membawa sebarang makna atau dicap kelakar murah. Usah bimbang Bernard, Pisau Cukur sebuah persembahan yang ada ‘class’.
Hakikatnya, filem terbarunya ini pasti meninggalkan kesan lebih besar di kalangan penonton yang berkunjung ke pawagam, bermula 5 November depan.
Carta pecah panggung:
1 - Aathavan
2 - Surrogates
3 - Cloudy With A Chance Of Meatballs
4 - Pandorum
5 - Papadom
6 - Whiteout
7 - Sorority Row
8 - Peraanmai
9 - Rebellion
10 - Tsunami At Haeundae

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: