Saturday, October 24, 2009

Cinta Swift


Taylor Swift

Pemenang Anugerah Video Muzik MTV ini mengakui lebih selesa bersendirian

JIKA disebut nama Taylor Swift, tentulah satu perkara mustahil jika ada peminat yang tidak mengenali artis wanita ini. Andai Britney Spears, Christina Aguilera, Avril Lavigne dan Miley Cyrus pernah mengisi kedudukan penyanyi remaja paling digemari, kini masanya untuk Swift mendabik dada sebagai artis muda idola peminat seluruh dunia.

Dengan bakat serta paras menarik yang dimiliki, gadis berusia 19 tahun ini juga menjadi idaman setiap jejaka. Dia sendiri sering menulis irama cinta dan lelaki yang datang dalam hidupnya. Jadi, tentulah ramai yang memasang impian untuk berkasih dengan bintang berkenaan. Usahlah membuang masa kerana penyanyi dan pencipta muzik ini terus terang berasakan dirinya lebih selesa bersendirian.

Ketika membuat pengakuan kepada Oprah Winfrey dalam rancangan temu bual popular kendalian wanita itu baru-baru ini, Taylor berkata, walaupun dia pernah mempunyai teman lelaki, tetapi dia tidak pernah berasakan dirinya gadis yang menjadi milik kepada lelaki terbabit.


"Saya berusia 15 tahun ketika bercinta buat kali pertama. Kami berhubungan selama setahun. Kalau difikirkan, rasanya saya hanya mencari alasan untuk mempunyai perhubungan kerana saya sebenarnya lebih suka bersendirian. Kalaulah saya benar-benar inginkan cinta sejati, saya harus mempunyai waktu untuk tujuan itu," katanya.

Mengenai lelaki yang pernah ‘memalukan’ dirinya pada Anugerah Video Muzik MTV baru-baru ini, Taylor nampaknya tidak bercakap banyak mengenai Kanye West serta insiden berkenaan. Tetapi, dia memberitahu Oprah yang dia sudah pun menerima permohonan maaf daripada penyanyi berkenaan, malah ibunya sendiri pernah bercakap dengan Kanye pada majlis anugerah itu.

Namun, mungkinkah Taylor akan melakukan sesuatu untuk ‘membalas dendam’ apabila dia diberikan peluang mengacarakan rancangan Saturday Night Live pada November ini? Peminatnya haruslah menunggu buat beberapa ketika sehingga Taylor muncul di kaca TV mengendalikan program terkenal terbabit.

Menurut Taylor, dia amat berterima kasih kepada ibu bapanya yang membantu dirinya menjadi gadis yang tidak terlepas cakap sebagaimana dirinya hari ini.

"Saya berasakan, ajaran ibu bapa ketika membesarkan saya banyak membantu. Contohnya, mereka mengatakan, dunia ini tidak berhutang apa-apa pun dengan saya.

"Sepanjang hayat, saya hanya menyintai muzik. Apabila saya menonton bintang ternama mengadakan persembahan, saya tidak pernah terfikir saya mampu melakukannya," luah Taylor.

Bagaimanapun, rasa cintanya kepada muziklah yang menjadikan dirinya kini seorang bintang besar. Dia juga kini mula percaya, menjadi insan terkenal tidaklah seteruk yang pernah disangkakan olehnya.

"Tidak ada satu pun dalam hidup saya sekarang, berdasarkan aktiviti serta cara orang lain melihat saya, yang tidak normal. Malah memang banyak bezanya dan semuanya adalah lebih baik. Saya pernah mengimpikan keadaan bagaimana jika satu hari nanti saya berjalan-jalan, lalu ditegur mereka yang mengenali lagu saya. Tentulah gila bukan? Namun, hari ini ia benar-benar terjadi dan tentunya ia satu perkara yang menakjubkan," katanya.

Hari ini, bukan hanya peminat yang mengenali lagu nyanyiannya. Bahkan, usaha Taylor turut diiktiraf penganjur anugerah dan beberapa hari lalu, Taylor tentu sekali berada di awangan apabila dia mengetuai senarai calon Anugerah Muzik Amerika dengan enam pencalonan, mengatasi Michael Jackson yang mendapat lima pencalonan dan Eminem, dengan empat.

Kata Taylor, tidak pernah pun dalam sejarah karier seninya menyaksikan dirinya dicalonkan sebanyak enam kali dalam mana-mana anugerah sebelum ini. Penyanyi itu menganggap, pencalonan berkenaan satu penghormatan yang cukup tinggi.

"Apatah lagi bagi seorang gadis yang tinggal di Nashville dan menyanyikan irama country. Mempunyai pendengar di luar genre ini menjadikan hari-hari saya lebih cerah," kata Taylor yang dicalonkan bagi kategori artis terbaik, penyanyi pop wanita pilihan, penyanyi country pilihan, album pop pilihan dan country pilihan (kedua-duanya untuk Fearless) dan artis kontemporari dewasa pilihan.

Anugerah Muzik Amerika ditentukan oleh undian peminat secara online dan keputusannya akan diumumkan dalam majlis yang akan diadakan di Los Angeles pada 22 November ini. Ia disiarkan secara langsung oleh saluran ABC.

Info:

  • PENYANYI Taylor Swift mula dikenali dalam dunia muzik country selepas melahirkan single pertama, Tim McGraw, pada 2006. Tiga tahun kemudian, gadis manis ini muncul artis country dan pop pilihan ramai. Dia satu-satunya artis country yang pernah memenangi trofi Anugerah Video Muzik MTV.

  • SEBELUM bergelar penyanyi, Taylor seorang pemuisi. Dia memenangi pertandingan puisi kebangsaan pada usia 9 tahun dan pada usia 12 tahun, dia mula menjadikan puisinya sebagai lagu.

  • PADA usia 14 tahun, Taylor berpindah dari Pennsylvania ke Nashville, di mana dia memainkan CD demonya kepada sesiapa yang ingin mendengar. Kesabarannya berbayar apabila pada usia 16 tahun, lagu Tim McGraw mula disiarkan di radio.

  • SELAIN ibu bapa, Taylor amat menghargai sokongan peminatnya. Malah, dia mengenali nama sebahagian daripada mereka apabila sering bertemu pada sesi bersama peminat. Dia berasakan, peminat terbabit tak ubah seperti rakan-rakan.

  • KETIKA ini, Taylor memberikan fokus kepada karier dan perpindahannya ke kondominium yang baru dibeli. Dia cukup teruja mengenai tempat tinggal barunya, selepas sekian lama tinggal sebumbung bersama orang tua. Kini, Taylor sibuk memastikan pengubahsuaian kondominium itu berjalan seperti dirancang.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: