![]() JENNIFER pontianak jelita yang membunuh mangsa untuk membalas dendam. |
Judul: Jennifer's Body
Pelakon: Megan Fox, Amanda Seyfried, Adam Brody dan Johnny Simons
Pengarah: Karyn Kusama
Genre: Seram, komedi
Tarikh tayangan: 29 Oktober 2009
KETIKA menulis skrip filem ini, apa yang cuba dipaparkan penulisnya, Diablo Cody adalah mengenai kuasa wanita dan hubungan persahabatan yang rumit antara dua rakan karib. Perkara itu ditonjolkan menerusi dua watak utamanya iaitu Anita "Needy" Lesnicki dan Jennifer Check. Si ulat buku, Anita (Amanda Seyfried) dan Jennifer (Megan Fox), pelajar popular tetapi sombong bersahabat baik sejak mereka masih kecil lagi.
Walaupun berkongsi hanya sedikit persamaan namun ikatan itu tetap berkekalan sehingga dewasa. Sebagai tanda persahabatan, mereka memakai kalung yang sama iaitu bentuk hati terukir perkataan BFF. Suatu malam, Jennifer beriya-iya mengajak Anita ke sebuah bar untuk menyaksikan persembahan kumpulan indie, Low Shoulder. Hasil perkenalan singkat bersama vokalis kumpulan itu, Nikolai Wolf, Jennifer menaruh hati pada lelaki itu tanpa menyedari dia ada niat jahat di sebaliknya.
Biarpun dihalang Anita, namun kerana terlalu mengikut kata hati, Jennifer sanggup mengikut lelaki itu dan ahli kumpulannya dengan menaiki sebuah van. Rupa-rupanya, Nikolai dan rakan-rakannya adalah pemuja syaitan dan mahu menjadikan Jennifer sebagai korban untuk menjadikan kumpulan mereka lebih popular. Akibat perbuatan itu, Jennifer kembali menuntut bela atas kematiannya.
Mungkin apabila melihat poster filem ini, ramai yang menyangkakan filem ini setaraf dengan filem seram lain. Namun cuba ingat kembali pepatah lama, jangan menilai buku dari kulit depannya. Berbanding filem seram lain, filem arahan Karyn Kusama ini ada keasliannya. Filem ini bermula dengan teknik imbas kembali, bagaimana watak Anita yang ketika itu berada di hospital mental, menceritakan kembali kepada penonton apa sebenarnya yang berlaku sehingga dia di bawa ke situ.
Biarpun terdapat unsur komedi di dalamnya namun elemen cemas dan tetap menjadi keutamaan. Malah, babak seram ini adalah peringkat paling menarik dalam filem ini terutama apabila Jennifer mula membunuh mangsanya seorang demi seorang dengan cara paling kejam. Paling menakutkan apabila Jennifer bertukar rupa kerana sukar untuk dikenal pasti sama ada dia adalah serigala jadian atau pontianak.
Filem ini juga memberikan emosi yang berubah-buah kepada penonton. Ada ketika kita ketawa dan ada masanya jantung berdegup kencang
Dari segi watak dan perwatakan, tidak dapat dinafikan lakonan Megan lebih baik berbanding aksinya dalam Transformers: Revenge of The Fallen yang mengundang banyak kritikan kerana banyak menonjolkan susuk tubuhnya berbanding bakat lakonan.
Namun dalam filem ini, emosi Megan dan Jeniffer bersatu dan memang pilihan tepat untuk membawa watak pontianak jelita dan penggoda.
Begitupun, tidak dinafikan filem ini sedikit sebanyak turut mengeksploitasi tubuh Megan apabila terdapat beberapa adegan yang boleh diklasifikasikan sebagai 18SX, malahan, dialognya juga tidak sesuai untuk ditonton oleh golongan kanak-kanak sehinggakan terpaksa ditapis terlebih dulu sebelum dipertontonkan kepada khalayak.
Seperti yang dikehendaki oleh penulis filem ini, mesej mengenai keperkasaan wanita dan hubungan persahabatan berjaya ditonjolkan menerusi jalan ceritanya. Persahabatan yang disimpul sejak kecil, musnah begitu saja disebabkan nafsu dan dendam. Jangan menonton filem ini sekerat jalan kerana di penghujungnya ada kejutan yang bakal menanti.

blh blah la gak citenyee...tp kebanyakkn lam cite tu tnjuk body megan fox je yg lbh..semaga prepare la cite tu ngan lbh bagus ag..
ReplyDelete