Monday, October 26, 2009

Scha optimis demi masa depan


SCHA semakin optimis dengan kerjaya seninya yang semakin mengharum.


KEJAYAAN filem Papadom yangg mengaut kutipan kasar sebanyak RM2.3 juta dalam tempoh 12 hari sememangnya memberi petanda yang cukup positif.

Ternyata, kemenangan filem tersebut yang merangkul lima anugerah termasuk Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-22 (FFM22) di Sabah, Ogos lalu berjaya menyakinkan penonton.

Bukan itu sahaja, barisan pelakon dalam filem arahan Afdlin Shauki itu juga boleh dilihat sebagai salah satu tarikan utama untuk penonton berkunjung ke pawagam dan menonton filem hebat itu.

Salah seorangnya ialah Scha Al-Yahya yang berjaya memberikan lakonan yang cukup menyakinkan dan memberangsangkan menerusi watak Shasha.

Manakan tidak, sebelum ini Scha cukup terkenal dengan watak baik tetapi menerusi Papadom, Scha berjaya melakukan transformasi watak yang boleh dikira meninggalkan impak yang besar.

Pertama kali membawakan watak antagonis, Scha mengibaratkan ia sebagai satu peluang keemasan dan cukup berharga sebagai seorang pendatang baru.

"Memang sudah lama saya mengidamkan untuk berlakon di bawah Afdlin dan apabila tawaran itu datang kepada saya, sungguh berat untuk saya menolaknya.

"Apatah lagi, watak Shasha adalah watak jahat yang pertama kali saya bawakan dan sungguh teruja serta gembira dengan watak ini.

"Saya mahu menjadi seorang yang versatil dan tidak terikat dengan satu jenis watak saja," katanya dalam nada bersungguh sewaktu menghubungi Hits baru-baru ini.

Menyambung bicara, watak Shasha yang dibawakannya dalam filem Papadom adalah berbeza dengan watak gadis nakal yang pernah ditonjolkan dalam filem tempatan sebelum ini.

Akui Scha, ia adalah permintaan daripada Afdlin sendiri yang tidak mahu watak itu digambarkan secara stereotaip dan tipikal.

"Memang susah juga nak bawa watak gadis jahat ini kerana Afdlin mahu ia nampak semula jadi dan kehalusan karakter jahat itu sendiri yang membuatkan saya berasa puas hati dengan lakonan saya.

"Alhamdulillah, respons yang saya terima daripada peminat juga kebanyakannya positif dan saya gembira kerana kehadiran saya kini mula diterima dengan baik," kata pemilik nama penuh Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya ini ini lagi.

Scha menarik nafas lega apabila dikhabarkan tentang berita kejayaan filem tersebut yang mampu membuat kutipan luar biasa dalam tempoh singkat.

"Kejayaan ini saya sifatkan sebagai kejayaan seluruh karyawan filem ini dan saya bangga kerana menjadi sebahagian daripada filem ini.

"Saya percaya kelebihan filem Papadom terletak pada jalan cerita dan skripnya yang bagus selain lakonan pemainnya yang bukan calang-calang," ujarnya yang mengharapkan kutipan filem Papadom akan terus meningkat.

Dalam pada itu, pemenang Dewi Remaja 2006 ini juga tidak mampu menyembunyikan perasaan gembiranya apabila melihat karier seninya semakin berkembang.

Biarpun dihimpit kontroversi dengan kisah cintanya bersama bekas kekasihnya, Fahrin Ahmad, namun Scha tidak melihatnya sebagai satu halangan.

"Saya bertuah kerana sebelum gosip percintaan saya timbul, saya terlebih dahulu dikenali menerus dua buah filem iaitu Antoo Fighter dan Histeria serta drama bersiri, Awan Dania.

"Sehingga kini pun, orang tetap memanggil saya Dania dan itu sudah jelas membuktikan impak karier saya begitu besar pada mereka.

"Apa sahaja yang berlaku saya ambil dan jadikan satu pengalaman dalam meniti kehidupan saya sebagai seorang anak seni," ujar Scha yang akan muncul dengan filem Libas dan masih sibuk di lokasi drama bersiri Awan Dania musim kedua.

Melihatkan kepada profil seninya, Scha dilihat lebih cenderung kepada filem berbanding drama mahupun telemovie.

Adakah ini memberi tanda bahawa Scha seorang yang begitu selektif dan menjaga reputasinya dengan hanya mahu membintangi filem sahaja?

Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, ujar Scha, dia tidak mahu menjadi seorang yang tamak.

"Saya komited pada kerja dan tidak akan menerima lebih daripada satu tawaran dalam satu-satu masa kerana bimbang tidak terkejar nanti. Biarlah saya lakukan secara perlahan-lahan," katanya yang pernah membintangi dua buah drama iaitu Terlalu Istimewa dan Naik Hantu serta drama bersiri Bella.

Begitu juga dengan tugasnya sebagai pengacara Sehati Berdansa musim ketiga di mana Scha mahu melihat semua pihak melihatnya dari sudut positif.

Jelasnya, dia mahu menjalankan tugasnya secara profesional dan dia mengharapkan Fahrin juga akan bersikap demikian.

"Rancangan ini adalah sebuah program yang cukup besar dan tanggungjawab ini sungguh berat untuk saya galas dan cuba memberikan yang terbaik," katanya penuh mengharap.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: