Monday, October 26, 2009

Madonna terus kekal di puncak kejayaan


TIADA siapa yang mampu menggugat kedudukan Madonna sebagai penghibur meski penyanyi baru silih berganti.


MULA menceburi bidang seni suara pada tahun 1983 menerusi album perdananya, Madonna, anak kelahiran Bay City, Michigan, Amerika Syarikat (AS) Madonna atau nama sebenarnya, Madonna Louise Veronica Ciccone telah membuka satu lembaran baru dalam dunia muzik antarabangsa.

Bukan sahaja muzik pop yang dipertaruhkannya, tetapi Madonna hadir dengan pakej yang sungguh lengkap.

Sering kali tampil dengan imej yang pelbagai mengikut peredaran masa, maka dengan itu tidak mustahil Madonna diangkat sebagai ikon pop dunia.

Dalam usia 51 tahun, Madonna masih lagi berkuasa sebagai salah seorang artis yang pengaruhnya cukup utuh.

Biarpun penyanyi baru silih berganti, namun takhta Madonna sebagai Ratu Pop Dunia masih belum berpindah milik.

Malah tidak keterlaluan dikatakan pengaruh dan muzik Madonna sebenarnya banyak mempengaruhi penyanyi seperti Britney Spears, Christina Aguilera, Jennifer Lopez, Kylie Minogue dan Pink.

Ini sendiri diakui oleh penulis Santiago Fouz-Hernández menerusi bukunya, Madonna's Drowned Worlds yang menyifatkan penyanyi yang disebutkan tadi umpama anak-anaknya.

"Mereka ini mendengar dan membesar dengan muzik dan lagu yang dibawakan Madonna dan maka dengan itu, tidak mustahil percikan persona dan pengaruh itu ada dalam diri mereka.

"Bukan itu sahaja, mereka mahu mengikut jejak langkah Madonna dalam menjadi seorang artis yang berjaya walaupun ada segelintir pihak yang mendakwa Madonna telah membawa imej negatif," kata Fouz-Hernandez seperti mana yang tercatat dalam bukunya itu.

Tidak keterlaluan dikatakan, pengaruh Madonna banyak dapat dilihat dalam diri Britney Spears yang telah digelar sebagai protege Madonna.

"Kami mempunyai daya penggerak yang sama. Apabila kami mahukan sesuatu, kami akan cuba sedaya-upaya untuk mendapatkannya," kata Spears yang pernah mengundang Madonna berduet dengannya menerusi lagu Me Against The Music.

Katalah apa sahaja tentang Madonna, harus diakui impak yang terhasil daripada imej dan muziknya telah merobah senario muzik antarabangsa.

Biarpun dikritik dan dikecam hebat gara-gara personaliti dan imejnya yang berunsurkan seksual itu, namun Madonna terus berada di puncak.

Walaupun sudah berusia setengah abad tetapi muzik Madonna terus diminati dan maka dengan itu, tidak hairanlah dia memiliki kekayaan yang cukup luar biasa.

Sehingga kini, tiada siapa yang mampu mengenepikan Madonna dalam konteks pendapatan yang diterima setiap tahun sehingga dia digelar penghibur wanita paling kaya di dunia.

Hasil pendapatan Madonna bukan sahaja daripada penjualan album sahaja, tetapi dia memperolehi keuntungan yang berlipat ganda menerusi konsert-konsertnya.

Konsert-konsert jelajahnya seperti Confessions Tour (2006) dan Sticky & Sweet Tour (2008/2009) telah membawa keuntungan sebanyak AS$603 juta (RM2.11 billion) sekali gus membuktikan kehebatan dan kekuasaannya sebagai seorang penghibur Gred A.

Tidak cukup dengan itu, Madonna yang dilahirkan pada 16 Ogos itu turut tersenarai sebagai salah seorang artis yang memiliki penjualan album terbanyak di dunia.

Dengan 11 buah album yang diterbitkannya sejak tahun 1982, kesemua albumnya telah terjual sebanyak 200 juta salinan di seluruh dunia di samping Celine Dion, Mariah Carey, Bee Gees, Elton John dan The Rolling Stones.

Bukan hanya sekadar menunjukkan bakatnya sebagai penyanyi dan komposer, Madonna juga merupakan seorang pelakon filem yang berada dalam kelasnya tersendiri.

Siapa yang boleh lupa peranannya sebagai Breathless Mahoney dalam filem Dick Tracy pada tahun 1992.

Selain itu, filem Evita yang diterbitkan pada tahun 1996 telah menyerlahkan bakatnya sebagai seorang aktres sehingga dia layak memenangi anugerah Pelakon Wanita Komedi atau Musical pada acara anugerah Golden Globe.

Madonna juga memperlihatkan bakatnya menerusi penulisan buku dan pastinya siapa yang tidak dapat melupakan buku kontroversinya, SEX yang telah mencetuskan polemik di seluruh dunia.

Namun, menyedari peredaran usianya dia beralih kepada penulisan buku untuk kanak-kanak dan apa yang membanggakan, ia telah mencatatkan penjualan yang cukup memberangsangkan.

Antaranya ialah The English Roses, Mr. Peabody's Apples, Yakov and the Seven Thieves, The Adventures of Abdi dan Lotsa De Casha.

Jika diselak diari hidup Madonna, sebenarnya kisah hidupnya cukup menarik untuk diceritakan lantaran dunianya yang penuh warna-warni itu.

Sebagai seorang penghibur, hidup Madonna tidak pernah lekang daripada kontroversi yang langsung tidak menjejaskan karier seninya.

Biar dikritik dan dikecam hebat, namun Madonna tetap dihormati kerana keberaniannya serta usahanya untuk terus menghasilkan karya yang terus meletakkan namanya di tangga teratas.

Usia juga bukan penghalang untuk Madonna mencuba dan memberikan variasi kepada muzik serta lagu-lagu dendangannya.

Seperti mana kata Madonna, sebaik sahaja dia melangkah kaki ke dunia seni, dia tidak pernah membuang masa dan memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya.

"Pada saya, ia adalah perkara yang membuang masa untuk saya fikir siapa yang mahu diangkat sebagai idola saya atau memikirkan sampai bila saya mahu terus menyanyi.

"Saya hanya meneruskan perjuangan saya dan melakukan sesuatu yang baru menerusi cabang yang berbeza tetapi muzik tetap nombor satu di hati saya," kata penyanyi yang cukup masyhur dengan lagu Papa Don't Preach, True Blue dan Vogue ini lagi.

Berbicara tentang album Celebration, ibu kepada sepasang cahaya mata, Lourdes Maria Ciccone Leon, 13 dan Rocco, 9, ini memberitahu album tersebut merupakan penutup kepada 'perkahwinannya' bersama Warner Bros.

Bersama syarikat rakaman terulung itu selama suku dekad, Madonna menyifatkan ia umpama ikatan abadi yang membawa sehingga ke syurga.

"Untuk itu, saya mahu menghargai dan memberi sesuatu yang berharga kepada peminat-peminat setia saya.

"Saya percaya retrospektif karier adalah yang terbaik untuk meraikan pembabitan saya dalam dunia seni bersama para peminat saya," ujarnya yang kini menetap di London bersama anak-anaknya dan juga anak angkatnya dari Malawi.

Album kompilasi tersebut yang mula berada di pasaran sejak 29 September lalu menampilkan 34 karya terbaik dan popular penyanyi itu termasuk dua buah lagu baru iaitu Celebration dan Revolver.

Pastinya peminat setia Madonna akan berpuas hati dengan album ini kerana lagu-lagunya pasti akan menggamit nostalgia seperti Like A Virgin, Holiday, Frozen, Holiday, La Isla Bonita, Secret, Erotica, Take A Bow, Who's That Girl dan banyak lagi.

Selain itu, peminat dan pendengar juga akan dapat mendengar transisi muzik yang dibawakan Madonna selama 25 tahun menjadi anak seni yang membuktikan bahawa Madonna sememangnya tiada tandingan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: