Monday, October 26, 2009

Misteri berjalan kaki belum terjawab


KENANGAN... para peminat mengiringi Herman Tino untuk majlis pelancaran albumnya Apa Dosaku ke Dewan Orang Ramai Rapat Jaya, Ipoh, Perak pada Disember 1989.


PADA November 1989, Herman Tino pernah mencetuskan kontroversi apabila dia mengambil keputusan berjalan kaki dari Rawang ke Ipoh, Perak untuk majlis pelancaran albumnya, Apa Dosaku sebagai suatu protes peribadinya terhadap keadaan semasa yang berlaku ketika itu.

Bagaimanapun sehingga hari ini, motif sebenar Herman berjalan kaki selama tujuh hari sejauh 227 kilometer itu belum terjawab. Sebabnya, sehingga kini beliau enggan mendedahkan secara terperinci punca yang menyebabkan protes tersebut.

Menurut Herman, dia berasakan belum sampai masanya untuk mendedahkan secara terbuka tindakan yang telah diambilnya itu biarpun pada masa sama mengakui 'matlamatnya' itu berjaya disampaikan kepada pihak-pihak yang terbabit.

"Secara jujurnya, saya rasa protes itu 'sampai' sasarannya. Tetapi saya belum bersedia untuk berterus terang punca protes itu diadakan ataupun apa yang tersirat di sebaliknya. Kalau ada masa yang sesuai, saya akan dedahkan nanti.

"Saya ingat lagi, pada ketika itu saya berjalan hampir 15 kilometer sehari. Kadang-kala hingga 40 kilometer sehari sampaikan kaki saya melecet. Biarlah protes saya itu terus menjadi misteri sampailah sekarang.

"Meskipun pada masa itu ramai orang yang kata saya gila publisiti, tetapi saya tidak kisah. Biarlah hanya saya seorang sahaja yang memendam protes itu," katanya mengimbau nostalgia itu ketika ditemui Hits pada pertemuan baru-baru ini.

Biarpun tidak memperincikan punca protes itu, namun kata Herman, ia merangkumi pelbagai ruang lingkup sosial yang telah dan sedang berlaku termasuklah dalam kariernya sebagai penyanyi, pencipta lagu serta penulis lirik dalam persada seni tanah air.

Sambil menyifatkan perjuangannya sebagai anak seni bukan setakat untuk memeriahkan persada seni suara tempatan, sebaliknya ia turut membabitkan rasa tanggungjawab sosialnya bagi menjana pemikiran masyarakat di negara ini.

"Bagi saya, seniman itu seorang pejuang dalam masyarakat. Sayangnya, pada hari ini apabila seseorang pejuang itu mendekati pemimpin, dia bukan lagi pejuang yang sejati. Ini kerana, bagi saya, pejuang itu upahnya 'penjara' atau kepayahan yang akan diterimanya.

"Dalam konteks ini, pejuang termasuklah pejuang seni secara prinsipnya makan untuk hidup bukan hidup untuk makan. Biarlah pejuang seni itu akan lebih dihargai selepas mereka mati kelak.

"Malah, seniman itu juga bukan setakat penyanyi sahaja tetapi ia juga meliputi bidang-bidang seni yang lain. Kalau boleh kita mahu mencari 'pandai bangsa' yang boleh berjuang untuk kepentingan anak bangsanya," ujarnya.

Pendekatan Herman itu dapat dilihat menerusi lirik-lirik lagunya yang banyak menyelitkan mesej, contohnya lagu berbahasa Jawa berjudul Ojo Kesandung yang antara lain membawa nasihat antara lain supaya 'jangan sudah terhantuk baru terngadah'.

Sayangnya, penyanyi berketurunan Jawa ini yang mewakili golongan penyanyi dan anak-anak seni tidak berpuas hati dengan layanan serta perhatian oleh pihak-pihak tertentu dalam memberi kebebasan kepada mereka untuk berkarya.

"Saya tidak puas hati kerana golongan seniman tidak dijaga dengan baik. Akhirnya nanti kita tidak mempunyai kualiti dalam karya-karya yang dihasilkan oleh anak-anak seni kita untuk disebar luaskan.

"Sepatutnya, pihak kerajaan mengenal pasti golongan karyawan yang berpotensi besar untuk dikembangkan di kalangan masyarakat. Ia bagi memastikan karya-karya mereka dapat dihayati oleh semua orang.

"Setakat ini, kita tidak ada ramai pejuang atau 'pandai bangsa'. Seharusnya bangsa kita (Melayu) ada lebih ramai orang seperti Karam Singh Walia (wartawan TV3) yang berani mengetengahkan isu-isu semasa dalam masyarakat," pintanya penuh makna.

Perit

Menyedari peritnya bergelar anak seni sejak 25 tahun lalu, Herman tidak pernah menyesal memilih kerjaya sebagai penyanyi sehingga kini biarpun pada awalnya ia mendapat tentangan daripada arwah bapanya.

Ini kerana kata penyanyi yang popular dengan lagu Derma Bukan Tontonan ini, beliau akan berasa puas jika lagu-lagu yang disampaikannya dapat membuka minda masyarakat meskipun menyanyi bukanlah kerjaya asalnya.

"Saya mula menyanyi secara serius ketika berusia 30 tahun sedangkan saya bercita-cita untuk menjadi penyanyi sejak berusia 12 tahun lagi. Sebelum itu, saya bekerja sebagai tukang membuat rumah dari umur 15 tahun sehinggalah umur saya 28 tahun.

"Arwah bapa saya tidak setuju saya menjadi penyanyi kerana dia kata ia bukannya kerja yang senang. Kena ada kehebatan yang kuat daripada segi rupa, vokal, disiplin dan komitmen yang tinggi sebelum boleh berjaya sebagai penyanyi.

"Pernah pada usia saya 15 tahun arwah bapa saya mencabar saya dengan menanam sebiji benih kelapa. Dia kata, pokok kelapa itu akan tumbuh dan membesar dengan cepat tetapi cita-cita saya untuk menjadi penyanyi belum tentu tercapai.

"Ternyata arwah ayah saya menang kerana selepas pokok kelapa itu tinggi dan setelah 15 tahun barulah saya menjadi penyanyi. Sekarang barulah saya sedar tanggungjawab menjadi penyanyi adalah besar dan berat," akuinya.

Herman yang kali terakhir tampil dengan lagu duet berjudul Akhirnya Kita Bersua bersama Aishah kira-kira setahun lalu, tidak menafikan berasa teringin untuk menghasilkan album penuh terbarunya dalam waktu terdekat ini.

Namun, beliau berasa takut untuk tampil dengan album dan lagu-lagu baru jika kualiti yang akan dihasilkannya kelak tidak mampu menandingi lagu-lagu lamanya yang masih diminati sehingga kini.

"Saya kurang berani untuk merakamkan album atau lagu-lagu baru melainkan kalau saya ada produk yang lebih baik berbanding dulu. Apa pun, saya bersyukur dengan segala pencapaian sebagai penyanyi yang telah saya kecapi sejak dari dulu sehinggalah sekarang," katanya.

Dalam pada itu, Herman juga tidak menafikan nama Herman Tino yang digunakan sebagai nama komersialnya sejak sekian lama seakan-akan membawa tuah kepadanya.

Jelasnya, setiap huruf pada namanya itu mempunyai maksud-maksud tersendiri di mana ia merupakan individu-individu penting dalam membantu kerjaya seninya.

"Saya rasa ada roh yang baik di sebalik nama Herman Tino. Saya yakin Tuhan restu saya menggunakan nama itu biarpun nama sebenar saya ialah Masrun Tamsi.

"H itu ialah Hasiah iaitu nama emak saya, ER (Erham adik emak saya), MAN (nama cikgu nyanyian saya, AJ Ajman). T ialah Tamsi nama bapa saya, NO (Yusno iaitu anak sulung saya)," terangnya membuka rahsia tersebut.

Selain masih menerima undangan menyanyi di persembahan terbuka dan majlis tertutup, Herman juga kini sedang giat mengusahakan sebuah pusat persembahan yang terletak di kampungnya di Tanjong Karang, Selangor.

Tambahnya, pusat yang dikenali sebagai Santino Park itu kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sekitar Mac tahun depan bagi digunakan untuk pelbagai aktiviti kesenian dan kemasyarakatan setempat pada masa akan datang.

"Mungkin pusat persembahan itu merupakan aktiviti atau punca pendapatan saya pada masa depan," ujarnya lagi yang mesra dengan gelaran Wak Herman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: