ROZITA sebagai Hani dalam drama Mentadak. |
KEMUNCULAN Rozita Che Wan menerusi layar skrin TV membawakan pelbagai watak pastinya cukup dinantikan peminatnya. Malah kemampuan menghayati watak diberikan ternyata berupaya memadamkan 'cakap-cakap' pelakon yang pernah bergelar pramugari ini diterima hanya kerana bersandarkan wajah cantik semata-mata.
Namun menerusi drama menyayat hati penuh konflik berjudul Mentadak yang disiarkan 30 Oktober nanti, jam 8.35 malam di TV2, kakak kepada dramatis Ayu Raudhah ini memegang watak seorang wanita tabah yang menghadapi tekanan hidup akibat penyakit kronik bergandingan dengan pelakon lain antaranya Emelda, Ezani Nizarif dan Intan Azura.
Watak Hani dijayakan Rozita memerlukannya berubah menghidupkan watak seorang wanita penghidap sejenis penyakit Lupus SLE yang sedang menghampiri hari-hari kematian. Hani seorang wanita kaya dan mempunyai sejarah latar belakang yang mewah sejak kematian suaminya kerana peninggalan wang pampasan dan insuran yang tinggi untuk menampung hidupnya.
Hani ditemukan dengan seorang rakan karib yang bernama Shila yang juga senasib dengannya. Kebetulan Shila memperkenalkan seorang rakan bernama Anas, seorang pengedar dan pengimport buku-buku agama. Perkenalan Hani dan Anas menjadi intim dan menimbulkan bibit cinta. Mereka membuat keputusan untuk hidup bersama.
Di akhir hubungan mereka, rupa-rupanya Anas bukanlah lelaki baik yang disangkakan. Anas seorang yang penipu besar. Rahsianya terbongkar apabila dia bersekongkol dengan Shila untuk mengaut kekayaan dari insan yang lemah dan berpenyakit yang menanti saat kematian seperti Hani.
Setelah diselidiki latar belakang kehidupan Anas, dia rupa-rupanya pernah berkahwin dengan empat wanita yang berpenyakit berbahaya seperti Hani. Tugas Anas dan Shila yang sering bersatu untuk menjatuhkan kehidupan dan mengaut keuntungan serta kekayaan dari wanita yang lemah setiap kali berkahwin dengan wanita-wanita yang bernasib malang dan menanti saat kematian.
Kehidupan Hani diselit dengan pelbagai dugaan dan cabaran hidup setelah diperdayakan Anas dan rakan baiknya Shila. Namun, di sebalik noda hitam yang berselindung pada wajah ceria Hani, mampukah Hani melawan kuasa Yang Maha Esa? Ikutilah kesudahan kisah mereka dalam drama yang menyentuh emosi dalam Mentadak bersiaran pada 30 Oktober ini, jam 8.35 malam di saluran TV2.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: