BEBERAPA gambar mencemaskan ini menunjukkan bagaimana seekor kerbau menjadi punca kesesakan jalan raya.
Bagaimanapun, pelancong yang memandu di Taman Negara Kruger di Afrika Selatan tidak boleh menyalahkan haiwan itu yang lebih bimbang terhadap singa betina yang mengekorinya daripada di langgar kenderaan.
Berpuluh-puluh kereta terpaksa berhenti dan pelancong mendapati diri mereka menjadi sebahagian daripada kejadian yang mencemaskan, pergelutan sengit dua haiwan berkenaan.
Kejadian berlaku di Jambatan Phelwana di teman negara berkenaan baru-baru ini, apabila pelancong melihat seekor kerbau betina bersendirian berhampiran sebatang pokok kira-kira 10 meter dari jalan raya.
| |
Ketika itu, keadaan di sekeliling kelihatan tenteram. Tetapi, tiba-tiba pelancong ternampak seekor singa betina muncul, kira-kira 20 meter dari kerbau terbabit.
Pelancong mungkin terlepas daripada melihat pergelutan terdahulu memandangkan kerbau berkenaan kelihatan cedera dan cuba melarikan diri dari kawasan itu.
Saksi, ‘Mgdoony’ menyiarkan beberapa gambar menerusi laman Flickr untuk berkongsi cerita mengenai kejadian itu.
“Kami duduk di kawasan itu untuk selama kira-kira sejam. Kerbau itu kemudian cuba bangun. Tetapi, agak sukar untuknya berbuat demikian. Namun, selepas beberapa kali mencuba, ia akhirnya berjaya.
“Sebaik ia berdiri, singa betina itu meluru ke arahnya dan melompat di belakangnya, untuk menjatuhkan mangsa.
“Kaki belakang singa betina itu kelihatan cedera, mungkin berpunca daripada cubaan menyerang kerbau itu sebelum ini. Kerbau itu mula mengerang dan berlari untuk menyelamatkan diri sambil pemangsanya berada di atasnya.
“Ia berlari ke arah jalan raya dan melanggar belakang sebuah kereta. Singa berkenaan tidak dapat menahan pautannya di belakang kerbau berkenaan, lalu jatuh.
“Ketika ini, pelancong menjadi kurang selesa apabila dua singa jantan kelihatan di kawasan berkenaan. Mujur kedua-duanya setakat berpuashati untuk berada di tepi jalan raya sambil memerhatikan rakan betina mereka berusaha membawa pulang habuan untuk makan malam.”
Mgdonny berkata lagi: “Kerbau itu masih di jalan raya - melanggar sebuah lagi kereta dengan tanduknya.”
“Dua singa jantan yang besar itu berjalan menghala ke jalan raya tetapi mereka kemudian hanya duduk sambil memerhatikan dari jarak jauh. Tidak lama selepas itu, singa betina berkenaan cuba dua kali lagi untuk menjatuhkan kerbau itu, tetapi masih tidak berjaya.”
“Kerbau berkenaan bernasib baik. Ia ternyata bukan lawan singa betina itu. Selepas beberapa kali gagal, singa berkenaan akhirnya berundur, membiarkan kerbau itu hidup bebas.”
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: