Thursday, October 29, 2009

Razak mencari 'ratu' baru




SENTIASA mencari bakat baru. Begitulah strategi pengarah terkenal, A. Razak Mohaideen setiap kali mahu muncul dengan filem terbaru arahannya. Terbaru, Razak sibuk mencari lapan orang pelakon baru bagi filem terbarunya, Ratu.

Pelakon yang dicarinya bukanlah sebarang, sebaliknya perlu mempunyai kriteria-kriteria seperti yang diperlukan dalam filem bergenre pengembaraan seram itu.

Menurut Razak, dia bukan sahaja mencari wanita dengan raut wajah cantik dan berbakat, sebaliknya perlu memiliki bentuk badan yang menarik dan mempunyai ketinggian seperti seorang model.

"Setakat ini, kami telah menjumpai 22 orang calon yang dikenal pasti melalui uji bakat yang diadakan di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Selangor.

"Filem ini memerlukan pelakon yang berbilang bangsa seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Benggali dan sebagainya.

"Sasaran calon yang diperlukan ialah 25 orang sebelum disenarai pendekkan menjadi lapan orang," kata Razak yang masih lagi meneruskan mencari 'ratunya' bagi uji bakat yang akan berlangsung pada 30 dan 31 Oktober di GSC Pusat Membeli-Belah Pavillion, Kuala Lumpur serta GSC Pelangi Leisure Mall, Johor Bahru (1 November). Sesi uji bakat itu bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

Beritahu Razak, setakat ini, respons yang diterima sangat menggalakkan meskipun banyak calon yang hadir tidak memenuhi kriteria yang diingini.

Ditanya mengapa tidak melibatkan pelakon-pelakon yang tersedia ada untuk memudahkan kerjanya, Razak mempunyai pendapat tersendiri.

"Kalau menggunakan pelakon seperti Erra Fazira atau Nasha Aziz, sudah tak nampak asli kerana mereka sudah banyak kali berlakon, orang sudah kenal. Lagipun, inilah caranya untuk penggiat seni mencari bakat-bakat baru selain membuka peluang kepada nama-nama baru untuk dikenali," katanya.

Bagaimanapun, beberapa pelakon telah pun ditawarkan dalam filem penerbitannya termasuk Yusri KRU dan Fouziah Ghaus.

Syarikat produksi milik Razak, LineClear Motion Pictures dijangka mengumumkan lapan pelakon bertuah yang telah disenaraipendekkan pada sidang akhbar awal November ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: