DENGAN hanya memiliki tenaga kerja sebanyak 54 orang yang berkemahiran sebagai pemuzik tradisonal mahupun orkestra membuatkan dewan berprestij, Istana Budaya mulai mengambil langkah untuk mencungkil lebih banyak bakat-bakat baru.
Tidak dinafikan, ketandusan kuantiti pemuzik terutama anak-anak kelahiran tempatan untuk diketengahkan menyebabkan Istana Budaya terpaksa 'meminjam' pemuzik luar untuk merealisasikan sesebuah persembahan mahupun projek tertentu.
Enggan lagi dihantui masalah sama apabila terpaksa mengambil pemuzik luar setiap kali ada sebarang acara, maka pihak Istana Budaya mengalu-alukan para pemuzik kelahiran tempatan untuk memenuhkan kuota pemuzik tradisional ataupun orkestra.
Menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani, pihaknya kini giat membuat pengambilan untuk artis baru bagi menyertai Istana Budaya.
"Kami berusaha untuk mendapatkan lebih ramai bakat tempatan yang boleh bermain instrumen sekali gus menyamai tahap sebagai pemuzik simfoni. Pengambilan muka-muka baru ini akan dilakukan pada hujung tahun ini untuk 30 orang pemuzik yang benar-benar berkelayakan.
"Kepada sesiapa yang berminat terutama kepada mereka yang ada kepakaran sebagai pemuzik digalakkan untuk menyertai kami sebagai tenaga kerja Istana Budaya," katanya semasa ditemui pada acara Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 dan rumah terbuka di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Seramai 312 petugas Istana Budaya yang hadir memeriahkan majlis itu sambil diserikan dengan persembahan daripada artis-artis seperti Haziq AF4, Sahri AF1, Siti Saida, Rem dan ramai lagi yang mengalunkan lagu-lagu raya.
Tidak ketinggalan, seramai 26 orang petugas daripada pelbagai gred dan jawatan di Istana Budaya diberikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan wang tunai berjumlah RM1,000 atas usaha keras mereka berkhidmat sepanjang tahun lalu.
Sambung Johari yang mengepalai Istana Budaya sejak 2007, sebelum ini pihaknya dihambat kekangan pemuzik orkestra dan tradisional lalu meyukarkan misi Istana Budaya untuk bergerak lebih maju ke hadapan.
"Kami tidak boleh buat persembahan orkestra penuh sebelum ini disebabkan pemuzik untuk sesetengah alat muzik tidak mencukupi.
"Sampaikan ada satu tahap apabila pihak kami terpaksa pinjam orang daripada satu agensi kepada agensi lain bagi menyelesaikan masalah ini.
"Kami juga mahu mendapatkan lebih banyak khidmat para pemuzik etnik Melayu terutama di Sabah dan Sarawak kerana pemuzik yang ada kepakaran dalam irama Cina dan India sudah mencukupi di Istana Budaya.
"Tetapi kami percaya kekurangan pemuzik-pemuzik untuk genre tertentu bukan saja berlaku kepada Istana Budaya. Sebaliknya ia juga terjadi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM)," jelasnya.
Dalam pada itu, Juhari sempat membicarakan tentang progres dan perkembangan positif Istana Budaya yang semakin hari semakin dikenali khalayak di seluruh negara.
"Dengan adanya kerjasama daripada pihak media selama ini membuatkan Istana Budaya terus mencapai kejayaan membanggakan dalam pelbagai aspek.
"Istana Budaya dianggap sebagai isi rumah yang berjaya menghimpunkan peminat tersendiri. Kejayaan ini dapat dilihat pada tahun lalu menerusi penjenamaan semula orkestra kami.
"Selain itu, pungutan tiket di Istana Budaya terus bertambah dari semasa ke semasa apabila penonton baik di negara ini mahupun luar sudah ada sikap bersedia untuk membeli tiket sebelum persembahan bermula dengan harga setinggi RM30.
"Selama ini kami anggap mustahil kepada audiens untuk membayar harga tiket yang dikenakan untuk menonton sesebuah persembahan di Istana Budaya.
"Kini persepsi ini tidak lagi wujud kerana masyarakat sudah ada kesedaran masing-masing," terang Juhari gembira dengan atmosfera itu.
|
|
Ditanya tentang hala tuju Istana Budaya pada tahun 2010 nanti, Juhari bersedia untuk berkongsi perancangan pihaknya dengan pihak media dan umum.
"Untuk penghujung tahun ini, Istana Budaya mempersembahkan teater muzikal Cuci, Natrah, Piano Duet dan Gema Zafana sebagai penutup tirai 2009.
"Setakat ini kami menerima banyak kertas kerja yang dihantar oleh bermacam-macam produksi dengan program tempatan dan antarabangsa menarik untuk tahun baru nanti.
"Konsert-konsert besar juga bakal menjadikan Istana Budaya sebagai lokasinya pada tahun depan. Paling penting, saya dapat lihat bukan saja projek bahasa Melayu dipentaskan, ia turut merangkumi pelbagai program yang berkaitan banyak kaum di negara ini.
"Saya percaya Istana Budaya terus mencatat satu persatu kejayaan pada tahun depan ditambah dengan sokongan pihak media dan peminat," akhirinya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: